TAK LAPUK DEK HUJAN, TAK LEKANG DEK PANAS; KAJIAN KES PERIBAHASA MELAYU
Pengenalan
Peribahasa merupakan suatu warisan leluhur Melayu yang sehingga kini masih mampu bertahan,tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Pendeta Za’ba di dalam Ilmu Mengarang Melayu mendefinisikan peribahasa sebagai susunan kata-kata ringkas yang telah melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama serta mengandungi kata-kata yang bijak dan benar tujuannya.
Sebenarnya, masyarakat Melayu mempunyai jiwa yang sensitif dan mudah tersinggung. Oleh yang demikian, dengan penciptaan peribahasa masyarakat melayu dapat menggunakannya sebagai suatu cara untuk menyampaikan maksud atau perasaan dengan menggunakan bahasa yang halus. Selain itu juga, peribahasa dapat dijadikan sebagai pegangan hidup dan renungan kepada penuturnya. Bagi generasi muda, peribahasa boleh dijadikan sebagai asas untuk mereka berpijak dalam menghadapi cabaran hidup yang sentiasa berubah dan penuh dengan cabaran(Lokman Abdul Samad 2004, 95-100). Contohnya dalam peribahasa Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali, menasihati dan mendorong manusia supaya sentiasa melakukan kebaikan serta meninggalkan kejahatan dalam kehidupan seharian. Dalam peribahasa juga, terdapat unsur-unsur nasihat diselitkan yang merupakan tujuan utama penciptaan peribahasa. Peribahasa bukan sahaja boleh dijadikan teladan, malahan juga mengingatkan supaya mengelakkan diri dari sifat-sifat yang tidak baik(Asmad 1990,12).
Penutur, pencipta dan pengamal peribahasa di kalangan masyarakat Melayu terdiri daripada golongan yang tidak mendapat pendidikan formal. Walaupun kota merupakan pusat perkembangan ilmu pengetahuan dengan kewujudan sekolah, namun peribahasa tidak dapat berkembang di dalam masyarakat kota. Pembelajaran di sekolah secara tidak langsung telah menggalakkan penggunaan bahasa yang formal. Justeru dengan itu, mereka sukar untuk menyelitkan peribahasa apabila bahasa formal digunakan dalam komunikasi.
Peribahasa dipercayai telah dituturkan oleh orang bijak pandai yang mempunyai kepantasan pemikiran dan mampu memilih perkataan yang bersesuaian dengan tujuan pengucapannya (Lokman Abdul Samad 2004,94-95). Ketepatan dan penggunaan bahasa telah menarik minat orang ramai untuk menyelitkan dalam perbualan mereka. Kebijaksanaan dalam pemilihan telah melayakkan kaya-kata tersebut dijadikan sebagai perhiasan bahasa untuk menyerikan lagi komunikasi seharian.
Terdapat juga sarjana-sarjana Barat seperti Winstedt dan Wilkinson yang sangat mengkagumi peribahasa Melayu yang berjumlah puluhan ribu (Annas Hj. Ahmad 1977,42). Peribahasa sebenarnya terbahagi kepada 4 jenis iaitu perumpamaan, bidalan, pepatah dan perbilangan (Lokman Abdul Samad 2004, 96-97). Perumpamaan didefinisikan sebagai peribahasa yang mempunyai maksud diumpamakan atau dikiaskan kepada seseatu benda. Antara contoh perumpamaan ialah Seperti kacang lupakan kulit dan Macam anjing dengan kucing. Bidalan pula dapat diertikan sebagai bahasa yang mempunyai maksud selapis sahaja(Asmad 1990,7). Contoh bidalan yang biasa digunakan ialah Takut kerana benar, berani kerana salah dan Hati hendak semua jadi. Manakala pepatah pula membawa maksud peribahasa yang mengutamakan kata-kata ringkas, bijak perkataannya dan benar pengajarannya(Asmad 1990,7). Contohnya ialah Rambut sama hitam , hati lain-lain dan Biar lambat asal selamat. Manakala perbilangan pula membawa maksud jenis peribahasa yang berbilang-bilang dan berbaris kata-kata(Asmad 1990,7). Antara contoh-contoh perbilangan ialah Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah dan Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Penggunaan peribahasa dalam pertuturan seharian juga dapat mencerminkan kebijaksanaan masyarakat Melayu lama (Lokman Abdul Samad, 2004, 95). Kebijaksanaan mereka dapat ditonjolkan melalui ketepatan peribahasa yang digunakan dengan situasi persekitaran. Selain itu juga, peribahasa dapat membantu dalam memahami corak pemikiran masyarakat Melayu lama (Annas Hj. Ahmad 1977,42). Mereka dapat dicerminkan sebagai masyarakat yang prihatin dan peka terhadap persekitaran. Ini disebabkan penciptaan peribahasa melibatkan unsur-unsur alam sekitar mereka dan pengalaman yang pernah dialami. Selain itu juga, pemilihan kata-kata yang bertepatan dengan senario yang dilihat juga dapat mencerminkan bahawa masyarakat Melayu juga merupakan masyarakat yang kreatif. Bagi generasi baru pula, mereka dapat mengenali jati diri bangsa sendiri jika peribahasa tersebut dikaji dengan lebih terperinci. Mereka bukan sahaja dapat mengenali watak, sikap dan budi bahasa, malahan generasi muda boleh mendapat gambaran mengenai latarbelakang masyarakat Melayu lama.
Dalam sastera rakyat, keindahan sastera yang ditonjolkan terletak pada bunyi dan rentak dalam peuturannya. Ini berkait rapat dengan pemilihan perkataan yang dapat menghasilkan ritma yang menarik pendengaran orang lain. Contohnya peribahasa Ada sama dirasa, tak ada sama ditahan, mempunyai akhiran yang sama dan menghasilkan bunyi yang enak didengar. Jika diselidiki dengan lebih terperinci, ciri-ciri tersebut hampir menyerupai pantun. Oleh yang demikian terdapat teori yang menyatakan bahawa peribahasa merupakan pendorong kepada penciptaan pantun.
Selain masyarakat Melayu, terdapat bangsa-bangsa lain di dunia yang mempunyai peribahasa tersendiri. Di dapati peribahasa tersebut berasal dari negara yang berbeza tetapi menunjukkan satu maksud yang sama dengan peribahasa Melayu. Peribahasa masyhur China yang berbunyi Benar jadi berani mempunyai maksud yang sama dengan peribahasa Melayu Berani kerana benar, takut kerana salah. Peribahasa Lidah tidak bertulang yang mempunyai maksud orang suka berbohong juga mempunyai maksud yang serupa dengan peribahasa Jepun Orang yang pandai bercakap, pandai juga berdusta.
Selain itu juga, terdapat peribahasa barat,Biar tersilap langkah, jangan tersilap lidah, mempunyai persamaan dengan peribahasa Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Manakala Salak anjing tidak membahayakan awan mega yang merupakan peribahasa Arab yang semaksud dengan peribahasa Seperti anjing menyalak bukit.
Persamaan ini mungkin disebabkan oleh masyarakat dahulu mempunyai kepercayaan, profesion dan tahap kebergantungan terhadap alam yang tinggi dalam kehidupan seharian. Pemerhatian berulang-ulang kali mencetuskan idea untuk mencipta sesuatu berdasarkan unsur alam tersebut. Oleh yang demikian, senario tersebut menghasilkan pemikiran yang hampir sama di kalangan masyarakat terbabit yang bersesuaian dengan teori polygenesis.
HASIL KAJIAN
Oleh sebab perlu dilihat situasi semasa kedudukan peribahasa, maka kajian ini telah cuba diusahakan. Dalam kajian yang telah dilakukan, seramai seratus mahasiswa mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih secara rawak untuk menjawab borang soal selidik. Penyelidik telah membuat kajian tentang pemahaman dan penggunaan peribahasa di kalangan pelajar Universiti Malaysia Sabah(UMS). Bagi mencapai objektif kajian, sebanyak 100 borang soal selidik telah diedarkan dan penyelidik mendapat maklum balas yang amat baik daripada para pelajar. Mahasiswa mahasiswi ini dipilih secara rawak dari pelbagai sekolah dan program. Namun, 91 borang soal selidik telah dikembalikan kepada penyelidik dan ia merupakan sumber bagi hasil penyelidikan ini.
Melalui maklum balas yang telah diperolehi, bagi soalan pertama, penyelidik telah mengutarakan soalan adakah mahasiswa mahasiswi di UMS mengetahui peribahasa. Sebanyak 96% mengetahui peribahasa dan 4% tidak mengetahui peribahasa. Nilai 4% yang tidak mengetahui peribahasa mungkin terdiri daripada kalangan mahasiswa mahasiswi bukan melayu yang tidak pernah mendengar atau mengetahui peribahasa. Bagi soalan seterusnya,penyelidik telah meminta responden memberikan contoh peribahasa yang mereka tahu. Sebanyak 76% responden dapat memberikan peribahasa yang betul, 24% tidak dapat memberikan jawapan yang betul. Contoh-contoh peribahasa yang telah ditulis oleh responden ialah:
umpama aur dengan tebing,
bagai pinang dibelah dua,
buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali,
biar mati anak jangan mati adat,
berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian dan
alah bisa tegal biasa.
Setiap peribahasa ini mempunyai maksud dan temanya sendiri. Dalam kajian ini, kebanyakan mahasiswa mahasiswi UMS menggunakan peribahasa yang bertemakan hubungan sesama manusia. Contohnya seperti: Peribahasa ini lebih menjurus kepada memuji serta menasihati.
bagai pinang dibelah dua,
bagai cincin dan permata dan
buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Pengenalan bagi penggunaan peribahasa sebenarnya bermula sejak dari kecil khususnya di alam persekolahan. Pernyataan ini dapat dibuktikan melalui kajianpenyelidik, iaitu sebanyak 87% responden mula mengenali peribahasa semasa mereka di bangku sekolah, manakala selebihnya 13% mula mengenali peribahasa melalui keluarga atau persekitaran seperti media masa. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia umumnya, masyarakat Melayu khususnya telah didedahkan kepada warisan Melayu terutamanya peribahasa sejak dari kecil lagi. Usahaa ini harus diteruskan agar anak-anak generasi akan datang masih lagi mengenali peribahasa.
Dalam masyarakat melayu , golongan tua merupakan golongan yang sering menuturkan peribahasa di dalam kehidupan seharian tetapi pada masa kini, golongan muda juga turut menuturkan peribahasa dalam kehidupan seharian. Persekitaran juga memainkan peranan menentukan siapakah yang sering menuturkan peribahasa. Contohnya, jika seseorang tinggal di kampung-kampung atau tinggal bersama datuk dan nenek mereka, sudah pasti mereka sering mendengar golongan tua yang sering menuturkannya. Bagi pelajar-palajar, contohnya di UMS ini kebanyakannya dapat mendengar peribahasa ini dituturkan oleh rakan-rakan mereka. Hampir 58% responden sering mendengar peribahasa daripada rakan-rakan, 30% daripada datuk, nenek dan 12% daripada ibubapa.
Penggunaan peribahasa ini juga mempunyai tujuan-tujuan tertentu seperti memberi nasihat, menyindir, berhibur atau berkomunikasi. Mengenal atau mempelajari peribahasa, bukan sahaja dapat diketahui erti dan maksudnya, bahkan dapat pula mengenal watak, sikap, budi bahasa dan latarbelakang sejarah kehidupan masyarakat yang melahirkan peribahasa itu (Asmad,1990,10). Bagi tujuan memberi nasihat, contoh peribahasa yang selalu digunakan ialah:
sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna,
biar lambat asal selamat dan
berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian.
Peribahasa ini menggambarkan sifat hati-hati dan cermat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan agar tidak merugikan diri sendiri (Lokman Abdul Samad, 2004,102). Terdapat juga nasihat agar tidak membuang masa atau melakukan sesuatu perkara yang sia-sia. Contoh peribahasa yang menggambarkan sikap ini ialah:
jangan mencurah garam ke dalam laut dan
berkayuh ke hilir tertawa buaya,
bersuluh di bulan terang tertawa harimau.
Terdapat juga peribahasa yang menggambarkan sifat yang kurang baik. Peribahasa yang boleh digunakan untuk menyindir sikap seseorang. Contoh-contoh peribahasa yang membayangkan sikap tersebut ialah:
belalang telah menjadi helang,
cacing menjadi ular naga dan
pijat-pijat telah menjadi kura-kura
Dunia kita pada masa kini, lebih mementingkan kemajuan sains dan teknologi. Dalam masyarakat Melayu kini khususnya, dapat dilihat dengan jelas bahawa penggunaan peribahasa adalah agak mengecewakan. Golongan muda terutamanya, semakin melupakan nilai-nilai bahasa dan tidak menghayati peribahasa. Mereka menganggap peribahasa-peribahasa lama ini tidak seiring dengan kemajuan dunia sekarang. Masyarakat sekarang mempunyai sikap yang lebih terbuka, di mana mereka lebih senang bercakap secara terus terang untuk menyampaikan hasrat atau keinginan. Berbeza dengan mesyarakat lama, mereka menggunakan peribahasa sebagai alat untuk menyampaikan hasrat atau nasihat. Penggunaan peribahasa ini juga menunjukkan kehalusan budi sesuatu masyarakat. Jika golongan muda ini tidak menghidupkan semula penggunaan peribahasa ini maka generasi akan datang pasti tidak lagi mengenali peribahasa. Dikalangan responden UMS, sebanyak 65% berpendapat, peribahasa akan dilupakan oleh generasi akan datang sekiranya tiada usaha yang dilakukan untuk menghidupkan kembali peribahasa lama. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan peribahasa ini iaitu melalui pembelajaran di sekolah. Guru-guru memainkan peranan untuk menyampaikan peribahasa dalam bentuk nasihat. Di rumah, ibubapa, nenek atau datuk boleh menggunakan peribahasa di dalam percakapan seharian dengan anak-anak atau cucu-cucu. Di peringkaat kebangsaan, kempen-kempen bahasa boleh dilakukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mereka mengenal dan menghayati peribahasa Melayu dan boleh dijadikan sebagai panduan atau pegangan hidup. Contoh peribahasa yang boleh dijadikan panduan ialah:
Ikutkan rasa, akan binasa,
ikutkan hati, membawa mati,
ikutkan suka, akhirnya luka,
ikutkan marah, parahlah nanti
Pada masa kini, terdapat juga pendapat yang mengatakan peribahasa lama patut diubah agar ia bersesuaian perubahan zaman. Contoh peribahasa ”biar lambat asal selamat” diubah kepada “biar cepat asal selamat”. “Biar lambat asal selamat” membawa maksud berhati-hati bila melakukan sesuatu supaya hasil yang diperolehi baik atau elok. ”Biar cepat asal selamat” bermaksud melakukan sesuatu kerja dengan cepat tetapi hasil yang diperolehi hendaklah elok. Melalui kajian yang dilakukan, 58% responden tidak bersetuju peribahasa ini diubah, manakala 39% bersetuju peribahasa ini diubah dan 3% tidak mempunyai pendapat sendiri. Responden yang tidak bersetuju peribahasa ini diubah kerana apabila peribahasa ini diubah, mereka khuatir nilai kehalusan bahasa yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita akan lenyap dengan peredaran zaman. Jika peribahasa ini diubah, sudah pasti maksud asal peribahasa tersebut turut berubah. Oleh itu tiada lagi keindahan dan keunikan bahasa Melayu semakin hari semakin lenyap. Di masa akan datang pasti anak-anak generasi muda tidak lagi mengenal budaya masyarakat Melayu sendiri. Melalui hasil kajian ini,penyelidik juga menegaskan peribahasa tidak boleh diubah, kekalkannya dalam bentuk asal seperti mana yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita. Peribahasa menggambarkan identiti dan ciri budaya masyarakat. Generasi muda rakyat Malaysia harus mempelajari dan menghargainya (Asmad,1990,17). Peliharalah warisan nenek moyang dan jangan biarkan bahasa masyarakat Melayu dicemari agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
KESIMPULAN
Daripada hasil kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswi UMS kebanyakannya masih mengetahui apa itu peribahasa walaupun jarang menggunakannya dalam kehidupan harian. Kebanyakan mereka menyatkan bahawa peribahasa akan dilupakan oleh generasi akan datang kerana pada zaman yang serba moden ini,penggunaan peribahasa semakin berkurangan ekoran daripada perkembangan sains dan teknologi, mereka lebih senang menyampaikan suatu perkara itu dengan cara berterus terang tidak lagi dengan menggunakan peribahasa seperti pada zaman nenek moyang kita dahulu.Mahasiswa-mahasiswi UMS masih mempunyai kesedaran tentang penggunaan peribahasa, lebih setengah dari responden penyelidik tidak bersetuju penggunaan peribahasa ‘biar lambat asalkan selamat ‘ ditukar kepada ‘biar cepat asalkan selamat’ mengikut peredaran masa. Mereka masih mahu mengekalkan warisan nenek moyang. Ini menunjukkan masih ramai mahasiswa-mahasiswi UMS yang mahu mengekalkan penggunaan peribahasa supaya ia tidak luput dek zaman.
BIBLIOGRAFI
Alwi Salim 1983. Puisi Melayu. Petaling Jaya. Siri Sastera Fajar Bakti.
Annas Hj. Ahmad 1977. Sastera Melayu Lama dan Baru. Petaling Jaya, Selangor.
International Book Service.
Asmad 1990. Budaya Bahasa (1) Puisi. Melaka. Associated Educational
Distributors(M) Sdn.Bhd.
Harun Mat Piah 1989. Puisi Melayu Tradisional Satu Pembicaraan Genre dan
Fungsi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lokman Abdul Samad.2004. Peribahasa lambang Kesarjanaan Melayu. Jurnal Melayu Jilid 2. Bil 2 Disember.
Khamis, 5 Mac 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)












0 comments:
Catat Ulasan