Isnin, 16 Mac 2009

Tajam, Hanya Jauhari Mengenal Manikam
Oleh
Ali bin Abu
Pengenalan

Tajam bukan menikam sembarangan, Tajam adalah wadah penzahiran idea dalam mengungkapkan rasa kemanusiaan.. Sekumpulan insan pencinta seni, yang bernaung di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah bersepakat mengerah daya intelektual mengumpul, menyusun, menyunting dan memilih sekumpulan puisi yang akhirnya dibukukan dengan nama Tajam Antologi Visualisasi Rasa. Sayugia diperingatkan pencetusan kelahiran Tajam merupakan proses kreatif-ilmiah bagi membetulkan salah tanggap tentang genre seni. Lazimnya kegiatan seni dikaitkan dengan budaya hedonistik. Berhibur dan berseronok tanpa memperhitungkan nilai manusiawi. Hiburan amat sinonim dengan dunia seni. Tidak ramai yang percaya bahawa seni adalah wahana paling hebat; arus deras yang mengalirkan pemikiran memanusiakan manusia.

Tajam Tak Menikam

Tidaklah perlu kita bertelagah mengatakan bahawa kerja-kerja seni untuk seni semata-mata [baca:seni untuk hiburan]. Seni memancarkan ruang sasar untuk seluruh insan berkomunikasi bagi mewajarkan, kemanfaatan manusia dan kemanusiaan. Biarpun tampaknya semacam ada kontradiksi yang disuguhkan dalam Tajam namun kerasionalan dituntut dalam mengutarakan sebarang hujah. Fakta haruslah diperhalusi sebaik mungkin sebelum berniat menghukum Tajam. Tak kenal maka tak mesra, tak mesra maka tak cinta; umumnya benarlah kenyataan bahawa kita mudah terpesona dengan bentuk dan kulit, luar; disebabkan terangsang dengan siratan warna-warni yang membalutnya[baca: kecantikan luaran]. Berilah sedikit ruang untuk membongkar apa yang ada di belakang kulit; lihat, rasa dan kenali isi ; Tentu pandangan kita akan lebih rasional dan bijaksana dalam menghukum secara saksama bahawa keindahan kulit tidak mencerminkan kebagusan isinya. Ada juga bungkusan yang hodoh dan jelik tapi isinya sedap, molek dan comel. Lihatlah buah manggis, biarpun kulitnya hitam berkilat tapi isinya yang putih, manis dan sungguh sedap.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 16 Oktober 2008, Tajam mendapat banyak permintaan daripada peminat di seluruh Sabah bagi mendapatkannya sebagai koleksi peribadi masing-masing. Sebagai sebuah antologi yang menghimpun 26 buah puisi pilihan daripada ratusan koleksi puisi yang telah dihantar, sidang editorial Tajam menghantar mesej berbunyi; nilai kemanusiaan semakin melenyap, dek rakusnya sikap hedonistik, individualistik dan materialistik. Oleh demikian, hampir keseluruhan puisi dalam Tajam mengajak hati nurani kita berbicara tentang nilai; manusia dan kemanusiaan.

Menipisnya Nilai Kemanusiaan

Trend kehidupan kini menggamit manusia untuk mencintai dunia. Yang dikejar setiap hari adalah keseronokan duniawi semata-semata - pangkat, kemewahan, pujian dan kesenangan hidup yang keterlaluan. Hidup sentiasa gelora, panas bernafsu mengumpul wang, bermegah dengan harta kekayaan untuk ditunjuk kepada kawan dan lawan tanda berhasilnya usaha pencarian. Tanpa sedar, hidup kita di dunia ini hanya sementara dan amat singkat. Kita [makhluk], pasti mati. Bila? Tak seorang pun tahu bila dia akan mati, muda, kaya, remaja, orang tua, lelaki wanita semua akan mati tanpa mengetahui bila. Segeralah, buat kebaikan sebanyak-banyaknya semasa kita masih hidup. Masih belum terlambat.
Bila kepentingan perut dan poket menguasai diri maka bermaharajalelalah nafsu memperkayakan diri, mengaut untung untuk diri, jauh sekali daripada mahu berkongsi. Cuma mementingkan perutisme dan poketisme. Ringkasnya, hidup manusia kini tidak ubah seperti seekor binatang leka memuaskan syahwat, menggemukkan perut, membesarkan poket sambil tinggal di rumah gadang berseronok-seronok menikmati kemewahan duniawi.; makan + minum + tidur + kelamin+ berhibur = nikmat dunia...


Tajam Mengungkapkan kemanusiaan

Antologi Tajam menghimpunkan 26 buah puisi dengan dominasi puisi Inon; Betapa Aku Merinduimu (hlm 5), Antara Kita (hlm 15), Melayu Masih Adakah Jatidirimu (hlm 21), Di Sini (hlm 41), Irene (hlm 47); Puad Bebit, Hati-Hati Kata Hati (hlm 19), Kita Kata Dia, Dia Kata Kita (hlm 25), Keranamu Universiti (hlm31), Dah Dapat Tak Dapat-Dapat (hlm37), Cakap Cukup Cekap (hlm51); Hajijah, Pengembaraan ke Kinabalu (hlm3), Babak (hlm11), Semakin (hlm53), Along; Longgok-Melonggok (hlm 13), Mesti Macam Aku (hlm 43). Selain daripada para pemuisi yang dinyatakan di atas, karya selebihnya berdiri sendiri dalam bentuk puisi perseorangan.

Hampir keseluruhan puisi dalam Tajam mengungkapkan tema kemanusiaan. Biarpun ada dirasakan beberapa buah puisi yang condong pada luahan emosi yang bersifat terlalu peribadi. Umpamanya karya-karya Hajijah seperti Pengembaraan ke Kinabalu (hlm 3), Babak (hlm 11) dan Semakin (hlm 53). Mirip pada pengucapan peribadi, premis berkenaan dapat untuk menggambarkan karya-karya Along, Longgok-Melonggok (hlm13) dan Mesti Macam Aku (hlm 43).

Bukanlah sesuatu yang janggal bila mana kadang kala para pemuisi terdorong dengan manipulasi kata-kata lalu menghanyutkannya dalam luahan emosi semata-mata. Puisi yang mantap memberikan impak yang besar. Dampaknya boleh sahaja memanaskan punggung , ibaratnya siapa makan cili dia terasa pedasnya. Jika dikaitkan dengan falsafah kesenian Islam pula, puisi yang bernilai tinggi mengajak manusia berbuat kebaikan dan menjauhi perbuatan jahat [amar makruf nahi mungkar].

Sebuah puisi Inon yang terkandung dalam antologi Tajam yang benar-benar menggugah perasaan, menyihir para pembaca untuk sama-sama memikirkan realiti dan hakikat yang berlaku, tentang nilai kemanusiaan. Dalam puisi Melayu, Masih Adakah Jati Dirimu?(Tajam:21) dengan nada sinis, Inon menempelak manusia bernama Melayu yang semakin lupa diri. Amanah dan tanggungjawab membina kemajuan bangsa semakin pudar, hilang jati dirinya daripada segenap aspek zahir batin, kata dan rasa serta jiwa Melayunya. Tekad Inon dalam menelanjangkan kepincangan amalan hidup sebahagian besar orang Melayu yang telah jauh tersasar, lupa diri dan tidak mengenal warisan budaya bangsa. Fakta tersebut berdasarkan pengamatan tajam beliau terhadap nilai agama dan adat Melayu. Bila mana dua entiti dicampak dan dibuang; dikesampingkan dan semakin tidak dipedulikan. Puncanya bila penghayatan berlebihan terhadap nilai individualistik menjadikan manusia Melayu longlai; keakraban sudah mulai usai; dan kerana keAkuan mengatasi warga dan keTuanan Melayu menjadi longlai. Penyair dengan sengaja menyatakan penekanan emosinya dengan menghurufbesarkan, [A] dan [T] sebagai tanda kecewa. Apabila semakin ramai orang Melayu terlalu melebih-lebihkan kepentingan diri [aku] berbanding budaya Melayu yang menyatakan kami/kita merujuk kepentingan bersama[baca:kolektif]. Bagi menutup puisinya penyair sekali lagi dengan nada pesimistik menggunakan tanda baca [!,] [?] yang mengandung manifestasi kekecewaannya berhubung jati diri Melayu yang semakin pudar.

...
Memang, kini tak kulihat lagi
Namamu pada segala mercu tanda
Ke mana perginya Melayu dan harga dirinya?
Entah ke mana!

(Tajam, 2008: 21)

Kebolehan Puad Bebit dalam mengungkapkan nilai kemanusiaan dengan teknik sajen sangat mengesankan. Gabungan elemen sajak dan unsur kejenakaan atau humor, itulah akhirnya membentuk akronim sajen. Sajen-sajen Puad sinis, tajam menikam bisanya tembus ke dalam, berlangsung secara diam-diam dan bersifat mengenakan. Karya nukilan beliau dalam antologi Tajam menunjukkan tahap keberanian penyair membuat pembaharuan dengan mencuba [eksperimen] pelbagai teknik termasuklah menggabungjalinkan sajen dengan unsur Tri-V (3V). Pada awal 1970-an, dunia perpuisian di Malaysia dikejutkan dengan konsep Tri-V yang dipopularkan oleh Abdul Ghafar Ibrahim(AGI). Konsep tersebut menekankan pada verbal, vokal dan visual. Aspirasi tri-v dalam meletakkan puisi bukan sekadar untuk dituliskan tetapi lebih terasa kesannya apabila diungkapkan [verbal] lengkap dengan aksi pelbagai gaya persembahan [visual]. Ringkasnya puisi bukan semata-mata dituliskan dan dibacakan tetapi lebih efektif untuk diperdengarkan dan dipertontonkan.

Puad sebagai penyair mapan Sabah, berjaya mengaplikasikan kepelbagaian elemen vokal [a,e,i,o,u] dengan kecenderungannya mempertembungkan dengan konsonan [c]. Buktinya, dengan penuh kesedaran dan sengaja penyair memilih judul puisinya sebagai cakap cukup cekap(2008:51). Penyair menyatakan suasana kehidupan hari ini yang semakin hilang kemanusiaannya disebabkan cakap bohong jadi amalan sebahagian besar anggota masyarakat. Tambah merumitkan bagi anggota masyarakat yang menduduki jawatan[pemimpin] sama ada di peringkat kampung, sekolah, universiti, negeri atau pemimpin masyarakat [wakil rakyat atau Yang berhormat]. Dalam baris terakhir, penyair menegaskan bahawa manusia yang tidak bercakap benar (bohong) tak boleh jadi menteri(Tajam, 2008:51). Frasa kata berkenaan pernah diungkapkan oleh seorang pentadbir universiti terhadap menteri pengajian tinggi pada ketika tersebut. Rupa-rupanya Puad prihatin dengan nasib bekas seorang naib canselor Universiti Putera Malaysia(UPM) yang ‘dibersarakan’ apabila menyatakan kebenaran mempertahankan fakta. Gara-gara berani kerana benarlah maka matan naib canselor berkenaan ‘diganyang’ dengan segala kekuasaan yang ada pada seorang menteri dan diberhentikan menerusi ‘paksa rela’. Matan naib canselor UPM membuktikan bahawa kuasa puisi berupaya menghiris lebih tajam daripada sebilah pedang!

Lebih tajam lagi lontaran suara kemanusiaan Khalid Salleh menerusi Siapa dan Kenapa Inul (2008:17). Penyair menyatakan kekecewaannya pada pihak berkuasa yang disifatkan sebagai Sang Pemburu kuasa yang buas, menyalahgunakan kuasa untuk menidakkan rezeki orang lain. Bagi penyair Inul juga seorang manusia yang mempunyai tanggungjawab mencari nafkah untuk masa depan keluarga. Kebetulan, Inul ditakdirkan mencari nafkah menerusi genre muzik dangdut. Pemburu kuasa menunjukkan kuasa tanpa sedikit pun rasa simpati apabila, tiket telah terjual tiba-tiba masa persembahan tidak diizinkan(2008:17). Penyakit sombong dan bongkok para pemegang kuasa inilah yang cuba disindir oleh Khalid, malah dalam rangkap akhir baris dua dan ketiga terpampang jelas pemikiran penyair. Ketajaman kritikannya dihunuskan pada pemegang kuasa yang buas, kehilangan nilai kemanusiaan apabila terbitnya rasa cemburu, hasad dengki, angkuh, sangka buruk, dendam dan sakit hati (2008:17).

Dalam konteks lain, penyair muda yang berasal dari Johor Darul Takzim lincah mengacah dengan pilihan diksi yang tepat. Zairul Anuar menerusi Panggil Anak-Anak Itu Pulang (2008:27) adalah penyair romantis bijak menyulam kata menyematkan pesan moral untuk mengingatkan anak bangsa yang hidup dalam kepelbagaian suku bangsa agar tidak mencabut petua leluhur Melayu. Penyair mengingatkan tentang pesan nenek moyang bahawa jangan sampai kita menangis dan merempat di bumi sendiri. Beliau khuatir melihat pergaduhan dan persengketaan sesama kita yang semakin parah sehingga gagal mentafsir siapa kawan dan lawan. Keasyikan bergaduh, bertengkar dan bermusuhan sesama sendiri tidak menguntungkan walau satu sen pun! Penyair dengan tegas memperingatkan;
...
panggil anak-anak itu pulang
Sedarkan mereka
Erti kawan atau lawan
Jangan sampai
Menang sorak kampung tergadai
Maruah bangsa akan tercalar


Nampaknya penyair setia menyanjung nilai-nilai Melayu, seruan untuk bersatu, seia dan sekata, selangkah seayunan, seikat seperti sirih, kuat teguh dek muafakat; dan sekiranya kita tidak bersatu dan bermusuhan sesama sendiri, maka hitunglah saat-saat kehancuran bila bercerai kita pasti roboh dan hancur.

Ketajaman pena Lofuza(2008;1), tergambar dengan berani menampilkan sindiran terhadap sekelompok manusia yang hilang kewarasan dalam membangkitkan kemarahan manusia lain menerusi tindakan provokatif. Ada segelintir kaum pendatang memanipulasi demokrasi untuk kepentingan diri dan kelompok mereka. Tak sedar diri itulah ungkapan paling tepat menggambarkan manusia tersebut! Mereka yang dulunya datang tanpa diundang merebut segala peluang, menguasai sektor perdagangan menendang peribumi jauh ketinggalan di belakang. Hari ini mereka bukan sahaja berkuasa dalam semua sektor malah dengan berani mempertikaikan kuasa yang diperuntukkan untuk peribumi. Sehinggakan azan atau bang, mahu disaman! Inilah akibatnya jika kaduk sudah naik junjung. Laungan azan dalam institusi agama peribumi dianggap mengganggu hak asasi mereka. Lofuza menampilkan kekecewaan bila mana ada pula segelintir peribumi yang ikut sama mencengkam peribumi lain, sebagaimana baris berikut:



...
Ikut sama mengancam Tajam
Dalang kusam pun sama menerjang
Bersatu tubuh duduk mendalang
Sama mengasah sembilu Tajam
Jadi api dalam sekam
Sampai tak sedar
Diri sendiri duduk telanjang
Sorak menang kampung tergadai
...

(Tajam, 2008;1)

Agak ironi bila berbicara tentang tajam tiba-tiba muncul pula tumpul. Puisi antonim yang berjudul Tumpul(2008:49) ada dimuatkan dalam antologi Tajam. Karya Nurshajah tersebut ‘menelanjangkan’ ketumpulan akal sekelompok manusiawi yang semakin hilang arah hidup. Tumpul seolah-olah melengkapkan kitaran jika aku jadi babi dengan motif sindiran terhadap menipisnya nilai kemanusiaan, sebagaimana rangkap berikut:
...
Datang berkumpul dalam diam
Dalam diam ada dendam
Dalam dendam ada dengki
Dalam dengki ada iri
Dalam iri ada cemburu
Dalam cemburu ada curiga
Dalam curiga ada gundah
Dalam gundah ada gulana
Dalam gulana diam terlena
...
Berhimpunnya segala sifat mazmumah yang digambarkan menerusi kata kunci, dendam dan dengki menambah curiga sesama warga akhirnya seluruh organisasi akan hancur dek manusia yang lupa daratan. Tambah melarat bila mana ada pula segelintir kecil mengambil kesempatan dalam kesempitan hidup orang lain. Menjadi batu loncatan untuk mendapatkan kepentingan peribadi lalu bermaharajalelalah budaya a.b.c. iaitu ampu bodek dan cucuk, sebagaimana yang ditunjukkan di bawah:

...
Dahlah tumpul
Rupapun sugul
Diasah-asah tetap tumpul
Dendam dalam diam
Dalam diam menunggu terpacul
Bukan mudah nak angkat bakul
Bakul berisi batu tumpul
Biarpun tumpul masih boleh menikam
...

(Tajam, 2008:49)


Sememangnya bila nilai kemanusiaan semakin menipis maka terpancarlah wajah kebinatangan. Inilah hakikat yang cuba disuguhkan menerusi puisi Jika Aku Jadi Ba bi (2008:9) Bila mana manusia sudah hilang kewarasan akal fikiran, hidup seolah-olah cuma memenuhkan tuntutan hawa nafsu sendiri, makan minum dan berkelamin. Tidak kira siapa pun jua atau di mana mereka. Bagi yang lena berada di puncak kuasa berperangai lebih hina daripada seekor babi; menjadi semakin ego, sombong dan bongkak. Kuasa digunakan untuk mematikan orang bawahan. Sesiapa sahaja yang dianggap dinamik dan berpotensi akan dinyahsingkirkan menurut kehendak fikiran mereka. Mempamer kemuliaan diri menelanjangkan keburukan seteru setaraf dengan babi kemunafikan, berdengkian sesama sendiri macam babi (2008:9). Berbeza dengan kehidupan kumpulan babi yang mengawalselia para ahlinya dengan penuh kasih sayang, tolak ansur, bersama-sama mencari sumber makanan untuk manfaat kehidupan kumpulan. Bagi seekor babi yang ego, sombong dan bongkak akan terasing, terkeluar daripada kumpulan babi akan hidup terasing macam kera sumbang atau lebih mudah digelar babi tunggal.
Penutup
Tepatlah apa yang dikatakan oleh peribahasa Melayu, hanya jauhari yang mengenal manikan. Mereka yang berakal dan berfikir sahajalah yang akan menggunakan segala kesempatan untuk menilai dengan waras, paksi kesaksamaan dalam memberi apresiasi terhadap kegiatan seni warisan budaya. Puisi bagaimana pun bentuknya adalah cerminan nilai kehidupan manusia, bukan hanya mainan linguistik semata-mata. Nuansa puisi hanya dimengertikan untuk orang-orang yang gemarkan budaya ilmu; Semarak hidup dan matinya untuk berfikir. Demikianlah Tajam Antologi Visualisasi Rasa, mengungkapkan pengalaman kemanusiaan untuk santapan minda bagi manusia yang mahu berfikir. Nantikanlah saat kehancuran bila nafas-nafas kemanusiaan semakin digantikan dengan sifat-sifat kebinatangan!

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin