Cerita duka menyambut 51 tahun Merdeka
Baha Zain
29 August 2008
MARI JANGAN TERLALU GEMBIRA menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 pada 31 Ogos, 2008. Ini adalah waktu untuk bermuhasabah, iaitu menilai ke dalam diri tentang nasib bangsa dan masalah-masalah besar yang sedang berlaku.Banyak peristiwa pendidikan, sosial, politik dan ekonomi yang menimbulkan masalah, kesusahan dan malah kejadian-kejadian yangmemuakkan. Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh baru sahaja selesai pada 26 Ogos. Peristiwa ini ditandai dengan pelbagai taktik kempen yang luar jangkaan seolah-olah sistem demokrasi memberi ruang dan waktu bagi taktik kotor dan tidak berakhlak. Dalam waktu yang sama ia mendedahkan peribadi-peribadi dan watak-watak yang pandai berlakon dan sanggup menjual kebenaran dan maruah dirinya kerana kepentingan peribadi. 'Dunia adalah sebuah pentas', kata Shakespeare. 'Topeng-topeng menari dari bayang ke bayang', kata Topeng-Topeng, sebuah puisi Malaysia. Apakah politik sivil Malaysia telah menjadi sangat kotor? Apakah politik Malaysia sudah sampai ke hari-hari terakhirnya sebagai kegiatan demokrasi yang bersih dalam persaingan untuk menuju ke Dewan Parlimen Yang Mulia itu? Semua ini berlaku hanya beberapa hari saja lagi sebelum seluruh negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya, waktu untuk kita bergembira dan bersyukur. Saya ingin menyorot ke belakang supaya kita insaf bahawa kemerdekaan bukanlah seperti kelahiran seorang bayi yang sedia lengkap dengan kaki, tangan , mata dan telinga secara semula jadi. Kemerdekaan adalah sebuah kemenangan yang diperjuangkan dengan semangat, keringat dan air mata bagi mengejar impian sebuah bangsa yang berdaulat dan bahagia. Begitu ia dimenangi , kemerdekaan tidak sempurna kewujudannya .Serba serbi kekurangan. Antara yang pertama harus dibina adalah pendidikan kebangsaan yang sering dibahaskan sejak sebelum merdeka, pada zaman penjajahan lagi. Pendidikan adalah tangga untuk mencapai masyarakat yang berakal budi, berpadu , berpengetahuan dan berfikiran kreatif bagi menyelesaikan hambatan-hambatan kehidupan di dalam dan di luar negara.Hari ini masalah pendidikan berbangkit lagi dengan penuh kontroversi, terutama dalam aspek bahasa pengantar yang digunakan di sekolah.Bagaimana boleh setelah lebih 30 tahun pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Kebangsaan tiba-tiba dirombak dan digantikan dengan Bahasa Inggeris? Apa yang terjadi selama 30 tahun itu sehingga satu perubahan radikal mendadak dilakukan oleh kerajaan? Apakah sistem pendidikan itu telah memundurkan negara, menyebabkan kemiskinan, dan memporak-perandakan masyarakat ? Kenapa?Pada hujung tahun 2008 ini murid-murid tahun enam yang selesai melalui persekolahan peringkat awal di sekolah rendah, adalah murid-murid yang telah menempuh percubaan mendadak belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris yang sebelumnya selama lebih 30 tahun diajar dalam Bahasa Melayu. Keputusan ini dilaksanakan secara tergesa-gesa pada Januari 2003, tanpa penyelidikan, percubaan, persediaan guru yang terlatih serta bahan-bahan yang lengkap, selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri membuat keputusan lima bulan sebelumnya, iaitu pada 19 Julai 2002.Tindakan ini bertentangan dengan status rasmi Bahasa Kebangsaan yang dalam Perlembagaan Persekutuan dan dalam akta-akta pendidikan, diiktiraf sebagai bahasa utama dalam urusan rasmi negara dan sistem pendidikan kebangsaan. Di manakah negara-negara besar dan maju lain dalam dunia : Rusia, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Sepanyol, Jerman, Itali etc (kecuali Amerika dan England ) yang menyingkirkan bahasa ibunda atau Bahasa Kebangsaannya lalu menggantikannya dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengahnya? Apakah ini "Malaysia Boleh" atau "Malaysia Apa"?.Ada yang menyokong tindakan ini menuduh bahawa mereka yang menentang adalah orang yang anti Bahasa Inggeris, anti bahasa global. Terutama yang Anglophile itu menuduh bahawa pengkritikyang menentang keputusan kerajaan ini sebagai linguistic chauvinists yang sempit . Benarkah orang yang mengkritik dasar baharu ini anti Bahasa Inggeris, atau itu hanya fitnah. Ini adalah zaman fitnah hasil daripada 50 tahun merdeka yang sudah hilang fikiran yang waras dan bijaksana. Kalau engkau tidak setuju, bererti engkau menentang. Ramai pula orang yang menyokong keputusan kerajaan ini tidak keluar dengan hujah yang cerdik serta meyakinkan. Hanya menunjukkan sokongan bagi mendapat perhatian Perdana Menteri( Dr Mahathir Muhamad pada waktu itu). Dalam negara kita ramai yang berani bersuara untuk berkata apa yang pemimpin di atas suka dengar; bukan apa yang dia patut dengar. Satu pengkhianatan terhadap tugas dan tanggungjawab cendekiawan.Orang tidak mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran membaca, menulis, bertutur atau berbahas dalam Bahasa Inggeris. Orang tidak pula menggunakan bahasa kedua bagi mengajarkan konsep Sains dan Matematik pada awal persekolahan kanak-kanak, tetapi melalui bahasa ibundayang lebih berkesan untuk membina perkembangan kognitif kanak-kanak. Kalau kita boleh memberi susu asli ibu untuk membesar tubuh dan otak bayi, kenapa beri susu lembu dalam tin yang kurang berkhasiat? Pilihan yang salah.Isu yang paling besar ialah apabila tiba peringkat sekolah menengah kira-kira 70 peratus mata pelajaran yang berasakan Sains dan Matematik ( seperti Fisik, Kimia, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Awam, Teknologi dan lain-lain) akan diajar dalam Bahasa Inggeris. Jadi anak-anak generasi akan datang tidak akan faham apa erti perkataan-perkataan seperti dua ratus tiga puluh, tiga-suku, setengah, tujuh ratus , lima puluh darjah, sebelas peratus dan istilah-istilah lain kerana tidak pernah mendengarnya di bangku sekolah sejak darjah satu lagi. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan hapus. Kita sedang mencekiknya untuk menghumbannya ke gaung dalam yang dipanggil pembunuhan bahasa (linguicide).Adalah dianggarkan 70 hingga 90 peratus bahasa-bahasa dalam dunia ini akan hapus pada penghujung abad ke 21 kerana disaingi terutama oleh bahasa Inggeris yang melanda dunia melalui proses globalisasi, dan oleh bahasa-bahasa antarabangsa lain seperti Sepanyol, Jerman, Arab, Mandarin, Hindi, dan Perancis. Bahasa-bahasa minoriti akan mati secara semula jadi. Tetapi dalam hal Malaysia pemimpin kita yang secara terancang dan dengan keazaman politik memusnahkannya.Apabila sesuatu bahasa itu tidak digunakan untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik, dan lain-lainnya , ia tidak akan berkembang sebagai bahasa moden yang mampu menyalurkan ilmu sains, teknologi dan kemanusiaan. Inilah yang sedang terjadi pada Bahasa Melayu.Sewaktu sebelum merdeka para pemimpin dan pejuang politik menggunakan Bahasa Melayu sebagai alat memperjuangkan kebebasan. Mereka berazam akan menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan, bahasa kebudayaan, bahasa tamadun Malaysia dan bahasa perhubungan di Nusantara. Sebab itulah Dewan Bahasa dan Pustaka itu ditubuhkan setahun lebih awal daripada perisytiharan kemerdekaan. Jangan lupa juga antara pejuang-pejuang yang mementang penjajahan Inggeris dahulu adalah pengarang Melayu yang jelas matlamatnya, sangat degil dan keras hati seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, A Rahim Kajai, Abdul Samad Ismail, Za'aba, Shamsuddin Salleh dan beberapa yang lain . Antara mereka ini ramai yang meringkuk beberapa waktu dan lebih daripada sekali dalam penjara.Mereka bukan orang politik yang gila kekuasaan atau ahli perniagaan yang tamak keuntungan dan lupa diri seperti ramai yang ada pada 51 tahun merdeka ini . Mereka berjuang membebaskan negara daripada penindasan Inggeris dan berusaha menegakkan maruah serta kedaulatan bahasa, kebudayaan , ekonomi dan agama. Sejarah ini sangat penting diinsafi supaya generasi sekarang yang senang lenang jangan lupa diri, dan tidak berasa terhutang budi terhadap orang yang berjuang sebelum zaman merdeka. Perjuangan kemerdekaan bukan bermula dengan usaha Tunku Abdul Rahman, tetapi lebih 50 tahun sebelum 1957 lagi. Orang yang berkuasa, berpangkat tinggi, berniaga besar dan penjawat awam harus sedar apa yang sejarah korbankan dan berikan kepada kita sekarang.Sekarang adalah zaman yang tragik. Situasi kebudayaan kita sedang kacau akibat kekacauan pemikiran politik. Pendidikan kita juga menjadi kacau terutama dalam soal bahasa pengantarnya. Ini bukan masalah memilih satu bahasa dan menolak yang lain. Kita memerlukan Bahasa Inggeris kerana bahasa ini adalah bahasa global walaupun berkembang mengikut arus globalisasi yang bersifat menjajah (expansionist) melalui pengaruh ekonomi Amerika. Apa yang diperlukan ialah meningkatkan kemahiran mengajar dan belajar Bahasa Inggeris dengan kurikulum, metode, teks, kepustakaan, dan guru-guru yang terlatih. Dalam waktu yang sama kita jangan nafikan kepentingan bahasa kedua lain ( Sepanyol, Arab, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia dan Mandarin) bagi menimba ilmu dan perhubungan antarabangsa . Perlu diwujudkan satu keadaan persekitaran atau ekologi kebahasaan yang bersifat plurilinguistik di mana anak-anak kita hebat, fasih dan canggih dalam Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa negara, dan dalam waktu yang sama menjadi warga dunia yang terbuka kepada tradisi dan tamadun ilmu antarabangsa melalui bahasa-bahasa besar dunia.Jangan terlalu taksub kepada Bahasa Inggeris seolah-olah ia seperti lampu ajaib yang menjawab segala masalah dan keinginan bangsa kita. Ilmu-ilmu sains dan kemanusiaan yang asli bukan monopoli Bahasa Inggeris. Dapatan sains, teknologi dan falsafah lebih banyak diketemukan dalam Bahasa Portugis di Brazil, Sepanyol , Jerman, Perancis dan Rusia di Eropah, Cina dan Jepun di Asia. Berhubung Bahasa Inggeris kita juga baik ingat peminta sedekah di Amerika, England, India dan Filipina pun pandai berbahasa Inggeris. Bilioner dunia sekarang berada di Cina dan Rusia juga, bukan hanya Bill Gates dan Donald Trump di Amerika.Kita memerlukan satu sikap dan kotak fikiran yang baru.Ini adalah cabaran besar sewaktu menyambut 51 tahun kemerdekaan. Kita bergerak ke depan dengan memodenkan fikiran dan memelihara warisan serta tradisi dan kesinambungan nilai-nilai budaya yang segar supaya kita tegak sebagai sebuah bangsa yang berkeperibadian. Kepandaian merujuk maklumat, hiburan, dan permainan di internet bukan kemodenan dan kemajuan. Kalau pengisiannya melalui imaginasi, rekaan kreatif,dan unik dicipta oleh anak negeri kita, barulah dipanggil kemajuan. Jadi bukan sekadar pandai membeli dan menggunakan alat komunikasi dari Jepun atau Taiwan.Dasar Pendidikan, Dasar Kebudayaan dan Dasar ekonomi negara tidak boleh berdiri terpisah-pisah; ia harus berhubung kait antara satu dengan lain untuk membangunkan negara bangsa hebat. Keazaman politik atau political will Menteri atau Perdana Menteri bukanlah poetic license untuk melakukan sesuka hati, tanpa asas falsafah pemikiran yang kukuh, terhadap nilai-nilai tradisi, nasib rakyat dan masa depan tamadun bangsa.Kepimpinan yang bersifat macam tirani, mengugut atau merasuah media massa, mengenakan tekanan terhadap kelompok-kelompok kehakiman dan pentadbiran, dan memperalatkanagensi pentadbiran dan keselamatan bagi mengekalkan kekuasaan politik akan melahirkan kegelisahan sosial dan kekerasan sebagaimana pernah berlaku di Thailand, Indonesia , Filipina dan Pakistan. Kita memerlukan pemimpin yang sensitif terhadap perubahan-perubahan sikap, fahaman dan nilai-nilai baru yang harus ditangani secara dialog dan demokratik. Masyarakat Malaysia yang berbagai-bagai agama, bahasa, amalan budaya; Melayu, Cina dan India yang masih rapuh perpaduannya, tak mampu mengalami pelbagai konflik budaya, agama, dan ideologi yang tajam tanpa perkelahian yang traumatik. Mari kita berikan perhatian mendalam yang tak pernah kita berikan selama ini,terhadap nilai-nilai kemanusiaan, kebudayaan dan agama yang mendasari kehidupan rohani, sikap, dan kepercayaan. Tak ada jalan singkat dan pantas , dan tidak harus ada tindakan tergesa-gesa tanpa kebijaksanaan untuk menggerakkan bangsa kita ke depan sebagaimana yang kita lakukan terhadap dasar pendidikan Sains dan Matematik sebagai contoh.Jangan lupa persengketaan, persaingan, kemelut sosial dan goyahnya kredibiliti atau kepercayaan masyarakat ramai terhadap pemimpin politik, malah pemimpin agama pun, adalah akibat kekuasaan yang sangat taksub dengan kemajuan kebendaan dan teknologi sehingga pembangunan akhlak, kemanusiaan dan budaya menjadi perkara kedua. Lihat sampai masalah ilmu pun pemimpin kita berfikir tentang Matematik dan Sains di atas kepentingan ilmu yang lain, dan sampai meminggirkan kepentingan Bahasa Kebangsaan sebagai alat untuk membina ilmu, perasaan kebersamaan, dan perpaduan. Inikah yang dinamakn kebijaksanaan kepimpinan?Mari kita berdialog dan berdebat secara cerdik dan bertanggungjawab sewaktu meraikan 51 tahun negara merdeka. Baha Zainbahazain.blogspot.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)












0 comments:
Catat Ulasan