Rabu, 8 Oktober 2008

gurindam



Gurindam Lambang Cinta Mohd Ariffin Mohd Arif



Apa tanda Melayu berbangsa !
Lihat sahaja ketika ia berkata-kata, {baca: jatidiri bukan kelompoknya}
Kata-katanya indah, pemikirannya penuh hikmah {baca: bahasa Melayu}
Gerak laku santun penuh berhemah { baca: budaya Melayu}
Yang diucapkan itulah diamalkan{ baca : agama Islam}

Mukadimah

Rupa-rupanya masih ada yang sayang. Gurindam adalah terangkum sebahagian yang termasuk dalam kantung perbendaharaan sastera tradisional Melayu. Adapun gurindam itu disebutkan oleh Raja Ali Haji iaitu perkataan yang bersajak juga pada akhir pasangannya tetapi sempurna perkataannya dengan syarat dan sajak yang kedua itu seperti jawab. Tidak ramai yang masih sayang, berminat apatah lagi mahir menggunakan ranah sastera tradisional. Tatkala diri mereka dipalitkan dengan tradisional ramai orang Melayu zaman sekarang yang melatah marah-marah. Seolah-olah kemarahan mereka sama nasabnya pabila dicalitkan sehelai bulu khinzir ke atas muka mereka. Hingga membesarkan kemaluan, bila dikaitkan mereka dengan tradisional. Tidak kurang juga menganjal melolong melaungkan bahawa mereka amat tajam indera sentuh dengan perkembangan semasa. Anggapan mereka yang tradisional bernuansa lama semuanya kolot, kuno ketinggalan zaman tak uptodate. Sekarang zaman alaf baru,moden, kotemporari, canggih manggih. Kerangka pemikiran ini dipanggil dikotomi sosial(social dichotomy). Rupa-rupanya lima puluh tahun merdeka, sayang akal mereka dibius dengan virus kuning; sekuning rambut hitam yang dikaratkan menjadi perang{hakikatnya kuning}.Terpesona dengan warna-warna bangsa penjajah. Mereka yang cuba meniru, menampal diri dengan siratan warna menjarah hakikatnya tetap tidak akan diterima oleh masyarakat barat. Untuk menjadi ahli komuniti mereka. Tinggallah si Tanggang moden ini hidup dalam dunia fantasia. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Walau apa pun yang berlaku, dikhianati oleh pencabulan bangsa sendiri. Sastera tradisional Melayu terus belayar, kukuh mantap segar sepanjang zaman. Biarpun arus kemodenan menerkam ganas. Persoalan tradisional dan moden berakartunjang daripada falsafah ciptaan bangsa Barat. Ia adalah satu kaedah guna untuk membahagi cara hidup manusia kepada tradisional lawan moden. Sebagaimana dinyatakan oleh Prof Shamsul Amri,(2007:5) “bahawa asas kepada kerangka pemikiran ini dilakukan oleh orang Eropah atas prinsip agama Kristian ortodoks yang melihat bangsa bukan Eropah tidak bertamadun,kolot, kasar dan mundur. Penjajahan dihalalkan atas prinsip dakwah bagi bangsa tersebut”.






Mohd Ariffin Mohd Ariff

Gurindam berkumandang lagi di PWTC disebabkan gemuk dek berpupuk segar dek bersiram. Gurindam yang dulunya kurang di apresiasi berbanding genre pantun dan syair, tetapi kini sudah bergema membelah Pusat Dagangan Dunia Putera. Ini semua angkara seorang insan dari kampung pimping yang masih sayang khazanah budaya bangsanya. Gara-gara gurindamnya Yang Berhormat Hj. Mohd Ariffin Mohd Arif[MAMA] membuatkan hingar bingar manusia Melayu dalam dewan terkatup terkunci tiada yang terkucil mendengar dengan penuh kyusuk. Bersalut baju Melayu sedondon hijau, ucapan MAMA pada pagi hari jumaat penuh berkat ketika itu yang selari dipancarkan dalam media elektronik secara langsung menyihir khalayak pengikut setia untuk memperdengarkannya sehingga usai. Tanpa perlu menjerit-menjerit seperti kena histeria sebagaimana yang disukai oleh para pembahas lain, MAMA tampil dengan fikrah semulajadinya tenang, bersahaja, ikhlas dan penuh tawaduk. Citra peribadi inilah yang membezakan MAMA yang berwibawa tanpa perlu meniru, memaksa diri untuk bernostalgia dengan ikon pemidato pemuka terdahulu. Tampil vokal dengan gaya bahasa Melayu tinggi, baku menyerlahkan daya pengamatan dan hasil penaakulan MAMA iaitu bersiap siaga dengan membuat pertimbangan, penilaian atas kehebatan potensi akal yang dianugerahi illahi. Tepat dalam melenturkan bahasa emotif terus menusuk ke dalam hati tepat pula kena pada sasaran yang dituju, iaitu temanya yang bersangkut dengan usul agama dan isu sosial. MAMA mencapai matlamat utama perbahasan, dengan menjadi seorang pembahas yang efektif , berkeyakinan diri seraya menatar ilmu. Sesuai dengan darjat MAMA sebagai seorang pendakwah tersohor di bumi bawah bayu sebelum terjun ke dunia sepak terajang dalam bidang siasah. Semenjak ikut terlibat dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Membakut (ADUN) Yang Berhormat Hj. Mohd Ariffin Mohd. Ariff tidak pernah jemu menobatkan dakwah Islamiah tanpa lupa menyelitkan kecintaan beliau terhadap elemen sastera. Kemantapan ilmu agama dan kecintaan terhadap sastera, inilah yang menjadi dua faktor dalam melonjakkan MAMA sebagai seorang tokoh muda politik negara yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi sebaris para pemidato arus nasional yang lain. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa di Sabah telah lahir seorang tokoh yang bakal mengepalai kepimpinan negeri ini pada satu masa kelak.


Gurindam

Secara konsepnya gurindam dikenal pasti menerusi perincian yang pernah dibuat oleh Zaaba. Bagi Zaaba(1965:42) mentakrifkan gurindam, seraya mengaitkannya berasal daripada bahasa Sanskrit yang menyerap masuk menerusi bahasa Tamil. “Ertinya biasa difahamkannya rangkap yang telah jadi bidalan atau sebutan biasa pada orang ramai, ataupun sesuatu pepatah berangkap yang disebut berpadan dengan tempatnya”. Ranah sastera tradisional Melayu melakar nama Raja Ali Haji sebagai pelopor genre gurindam yang tersohor. Gurindam Dua Belas adalah karya Raja Ali Haji yang mengesankan, terkarang kira-kira dalam tahun 1846. Raja Ali Haji membezakan syair(1) dengan gurindam(2a,2b) menerusi dapatan berikut:

(1) Dengarkan tuan suatu rencana
Mengarang di dalam gundah-gulana
Barangkali gurindam tiada kena
Tuan betulkan dengan sempurna

(2a) Persimpangan yang indah-indah
Iaitulah ilmu yang memberi faedah

(2b) Aku hendak bertutur
Akan gurindam yang teratur

Raja Ali Haji menyimpulkan gurindam sebagai puisi Melayu, terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak(berima), membentuk satu kesatuan idea dalam setiap regu(pasangannya). Setiap baris mempunyai maksud yang tepat lazimnya pemisahan baris pertama mewakili isyarat manakala baris kedua berfungsi sebagai penyambut(pelengkap). Kendatipun, beliau membezakannya dengan syair iaitu perkataan yang bersajak yang sempurna perkataan pada satu-satu pasangannya. Gurindam secara struktur dapat dipecahkan berbentuk terikat dan bebas. Maksudnya bentuk gurindam tidak statik, boleh di lentur-lentur ikut keserasian si penuturnya. Unsur utama yang jelas membezakan gurindam dengan syair terletak pada pemikiran yang dikemukakan dalam gurindam iaitu bersifat serius menyatakan perihal nasihat, pengajaran, pemupukan nilai etika, dengan bersumberkan agama Islam. Dengan itu nyatalah gurindam bukan medium untuk seronok-seronok, pernyataan emosi yang membuak-buak atau hiburan yang memesongkan akidah sebagaimana banyak yang digambarkan dalam syair.

Sesungguhnya sesuai benarlah, MAMA membawa fragmen-fragmen gurindam dalam menambah kelazatan rasa ilmu dalam perbahasan usul agama, sebagai wakil pembahas Sabah pada ketika itu. Terdapat tiga persamaan antara pendekatan Islam Hadhari dengan ciri-ciri Ulul Albab yang cuba diperincikan oleh MAMA. Beliau memulakan perbahasan dengan menyelar pihak ketiga yang dengan sengaja memilih untuk tidak mahu berkompromi dalam memahami Islam Hadhari. Penegasan beliau terhadap pihak berkenaan dinyatakan menerusi:

(3a) Bila hati sudah tertutup, bunga yang mekar dilihat kuncup
Bila hati sudah tertutup, awan yang cerah dilihat redup

(3b) Bila hati sudah tertutup, yang kemas dilihat kusut
Bila hati sudah tertutup,gunung dilihat bagikan busut

(3c) Bila hati sudah tertutup, air jernih dilihat menjadi kabut
Bila hati sudah tertutup, hidup gemar hasad dan hasut

(3d) Bila hati sudah tertutup, segala langkah kita menjadi kelam dan kabut


Menerusi gurindam (3a,3b,3c,3d) di atas diperlihatkan gaya bahasa penegasan yang ditandai frasa bila hati sudah tertutup. Pemakaian frasa penegasan sedemikian menimbulkan makna peneguhan di samping meninggalkan kesan rasa dukacita terhadap tindak tanduk sebahagian kita umat Islam di Malaysia. Tatkala umat Islam di seluruh dunia diasak bertubi-tubi dengan pelbagai tuduhan dan prejudis agama, sebilangan umat Islam di negara kita mengambil kesempatan untuk mengumpul sokongan politik dengan mempersoalkan pendekatan Hadhari. Golongan partisan inilah yang meneguk di air yang keruh untuk membangkitkan soal titik- bengik semacam memperkecilkan pendekatan hadhari. Pada bahagian (3b) baris pertama MAMA membidas golongan sedemikian dengan menyatakan bila hati sudah tertutup, yang kemas dilihat kusut. Ia disusuli pula dengan baris kedua(3c) yang menyerlahkan sifat keperibadian sesetengah pemimpin kumpulan terbabit yang lebih gemar mengamalkan hasad dengki dan budaya hasut-menghasut dalam menuju cita-cita politik mereka. Akhirnya dalam (3d) dengan tegas MAMA meninggalkan peringatan tatkala hati sudah tertutup nescaya segala perbuatan dan langkah yang diambil akan mendatangkan ketidaktentuan dalam segala hal. Satu hal yang menarik dalam memerhatikan gurindam yang digunakan MAMA dalam ucapannya itu adalah berkenaan pemilihan unsur alam semula jadinya. Beliau terus tegar dalam menunjukkan minat dan kepekaan terhadap elemen alam semula jadi ciptaan illahi. Lihat sahaja pengamatan beliau dalam pemakaian diksi; awan, bunga, gunung, busut dan air jernih . Keupayaan beliau dalam menyerap alam semula jadi yang dipakai sebagai perlambangan ini bukan sahaja meninggalkan kesan keindahan pengucapan tetapi tempiasnya turut terkena indera dengar kita sebagai khalayak.


Menerusi gurindam (4a,4b,4c,4d) MAMA menggunakan frasa hari jumaat sebagai asas penekanan fikrahnya. Segmen ini penting dalam membina asas penghujahan MAMA dalam bahagian kedua ucapan beliau. Selanjutnya beliau telah menyentuh mengenai ciri-ciri ulul albab. Iaitu dalam mengutamakan syura dengan melihat kepada nilai-nilai Awlawiyat. Pada segmen kedua beliau cuba menggambarkan mengutamakan yang lebih utama, yakni isu yang menekankan kepentingan musyawarah sebagaimana yang diperjuangkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Keseluruhan gurindam yang diucapkan beliau dapat diperlihatkan menerusi petikan berikut:


(4a) Hari jumaat mohon kepada Allah
Dengan musyawarah perjuangan kita terarah

(4b) Hari jumaat mohon maghfirah
Dengan musyawarah keputusan kita beroleh berakah

(4c) Hari jumaat mohon inanyah
Dengan musyawarah kekuatan dikurnia allah

(4d) Hari jumaat mohon hidayah
Dengan musyawarah kesejahteraan menaungi ummah


Penutup

Secara keseluruhan, gurindam yang dipraktiskan dalam ucapan MAMA memperlihatkan satu usaha untuk keluar daripada skema lingkaran stereotaip para pembahas. Jika diperhalusi ucapan para pembahas lain yang rata-rata cenderung mengguna serta menyelitkan pantun-pantun dalam ucapan mereka tetapi kehadiran MAMA dengan gurindamnya memberikan impak yang cukup besar. Malah media massa di Malaysia memberikan perhatian dan ulasan yang panjang lebar menyentuh penglibatan MAMA dalam ucapannya semasa membahaskan usul agama tersebut. Salah satu laporan berkenaan dapat diikuti seperti berikut sebagaimana yang dicatatkan dalam akhbar Utusan Malaysia 17 November 2006: “Perbahasan usul agama dan sosial wakil UMNO Sabah YB Hj Mohd Ariffin Mohd Arif begitu mencuri perhatian perwakilan apabila ia disampaikan menerusi gurindam, pantun dan nasihat yang begitu mencuit hati khalayak”.


Barangkali juga bentuk pemakaian gurindam ini memberikan kesegaran dan nafas baru, setelah khalayak pendengar sudah terlalu jemu dihidangkan dengan penggunaan pantun. Adalah diharapkan pada masa akan datang MAMA akan tampil dengan pendekatan baru selain gurindam. Kesempatan tersebut mungkin digunakan untuk menyelinap masuk dalam memakai teromba, sundait, seloka dan lagu-lagu tradisi rakyat Sabah. Oleh sebab, rupa-rupanya masih ada ahli politik yang masih cintakan warisan tradisi leluhur mereka walaupun sebahagaian besar warga bangsa Melayu hari ini memilih untuk menjadi lebih barat daripada bangsa Eropah sendiri!

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin