Isnin, 29 September 2008

pendatang haram


PENDATANG CHINA DI SABAH
lokns@gmail.com


Pada akhir bulan Jun 2000 Eropah Barat dikejutkan dengan berita kematian 58 pendatang haram dari negara China. Mayat mereka ditemui di dalam sebuah kontena yang sarat membawa tomato dari Belgium ke pelabuhan Dover di United Kingdom. Fakta ini menjadi bukti bahawa kebarangkalian mereka yang lolos menyelinap masuk tentu lebih besar berbanding dengan jumlah mereka yang tersungkur dan tertangkap. Kemasukan pendatang Cina secara berbondong-bondong ke negara Barat dan Asia secara keseluruhannya didorong oleh faktor ekonomi desakkan hidup yang melampau. Mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang senang atau mewah di negara China tetapi terpaksa memilih jalan berliku demi menyambung hayat kehidupan walaupun terpaksa menggadai nyawa sendiri.

Tidak terkecuali dengan negara kita Malaysia yang sejak beberapa dekad lalu setelah bebas daripada belitan penjajah, mula menunjukkan kemajuan ekonomi yang memberangsangkan. Kemakmuran ekonomi negara Malaysia sejak tiga dasawarsa lalu khususnya telah menggamit ramai individu dari negara lain untuk sama-sama mengecap nikmat menghirup kemeriahan pembangunan pesat Malaysia. Pada tahun 2000 dari jumlah penduduk Malaysia 23.24 juta orang lebih daripada 5.9 peratus adalah warga asing. Hal demikian mencerminkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang warganya khusus orang Melayu begitu toleransi dengan lapang dada menadahkan laman tanah airnya untuk dikongsi secara saksama dengan warga negara asing ini.

Saban tahun jumlah kelompok warga asing ini berkembang biak dengan pantas. Statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada tahun 2004, menunjukkan negeri Sabah sendiri terutamanya telah merekodkan jumlah warga asing sebanyak 704,800 orang. Berbanding jumlah keseluruhan yang menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 2.5 juta pekerja asing di Malaysia. Sehingga bulan Mei 2007 terdapat kira-kira 1.91 juta warga asing atau 16.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga tempatan. Walaupun dikatakan pembangunan ekonomi negara menyediakan pertambahan sebanyak 2.1 peratus guna tenaga., tambahan sebanyak 2.23 juta peluang kerja baru tidak memberikan sebarang petunjuk positif, kerana akhirnya 1,600 warga asing masuk ke Malaysia setiap hari bagi meragut peluang kerja yang diwujudkan itu.

Terkini menurut, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada tahun 2006 mencatatkan jumlah penduduk Malaysia adalah sebanyak 26, 640.2 juta orang yang menunjukkan lebihan penduduk lelaki 13,562.6 berbanding wanita 13,007.6.

Etnik Cina 6,219 juta dengan wanitanya 3,043.5 manakala selebihnya lelaki. Hal demikian menyebabkan semakin ramai golongan lelaki Cina warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita warga China. Terdapat peningkatan yang mendadak iaitu jumlahnya bertambah pada 1,711 pada tahun 2006 berbanding hanya 351 orang pada tahun 2001. Secara keseluruhan golongan lelaki Malaysia yang paling ramai berkahwin dengan warga asing menunjukkan jumlah sebanyak 30,465 berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 33,995 sejak 2001 hingga Jun 2006. Pilihan lain bagi warga lelaki tempatan khususnya lelaki China Malaysia adalah wanita pada kalangan warga Vietnam(931) dan Thailand.(1185)pada tahun 2005. Pada 17 Jun 2007 akhbar The Borneo Post melaporkan tajuk beritanya, Chinese maid threatend Family institution guarded sambil memetik kenyataan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Datuk Robert Lian yang menyatakan bahawa berkuasa serta-merta hanya pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina sahaja yang dibenarkan masuk dan bekerja di Sarawak. Hal demikian nampaknya begitu melegakan para isteri dan suri rumah di Sarawak kerana sebelum ini terdapatnya kecenderungan pembantu rumah dari negara China yang mengadakan hubungan terlarang dengan suami majikan mereka.

Dalam konteks negeri Sabah yang mempunyai keluasan wilayah sehingga hampir menyamai tanah semenanjung dengan lokasinya sangat strategik dikelilingi lautan antarabangsa yang memungkinkan kemasukan warga asing dengan mudah. Kebanjiran arus kemasukan warga asing di Sabah berlaku sejak ratusan tahun dahulu sebelum sempadan geografi ditandai oleh aktiviti politik wilayah. Sejak penjajah British datang ke Sabah menerusi British North Borneo Chatered Company pada tahun 1881 warga asing mula berbondong-bondong masuk untuk bekerja dalam sektor pertanian, pembalakan dan perlombongan. Inggeris turut bertanggungjawab dalam membawa pendatang China masuk untuk bekerja dalam sektor pertanian dan perlombongan. Bagi pendapat Inggeris penduduk peribumi ada yang tidak memenuhi kelayakan(sesuai) bagi kerja-kerja perlombongan dan pertukangan. Penduduk tanah besar China dibawa masuk dengan begitu ramai yang kemudiannya diikuti dengan perpindahan secara sukarela. Golongan pendatang China begitu mendapat tempat di hati Inggeris kerana mereka cepat menyesuaikan diri dan memberikan pulangan yang menguntungkan. Pihak British khususnya telah menubuhkan Jabatan Tenaga Kerja Sabah khusus untuk mempermudah kemasukan pendatang dari negara China, sehinggakan ia dinamakan sebagai The Chinese Protectorate. Pada banci penduduk 1951, pendatang China membentuk satu kumpulan besar yang masuk menjadi sebahagian penduduk Sabah. Selama 39 tahun kutipan data yang diambil bermula 1921 hingga 1960 pendatang China merangkumi 15 hingga 23 peratus keseluruhan penduduk Sabah ketika itu. Bagi pendatang China mereka datang dalam bentuk pelbagai sub etnik seperti Hakka, Teochew dan Foo Chow.


1921
1931
1951
1960
peribumi
203,041
205,218
243,009
306,498
China
39,256
50,056
74,374
104,542
Eropah
565
647
1213
1896
Lain-lian
20,290
21555
15545
41485
Jumlah 263,252 277416 334141 454,421

Sumber: North Borneo: Report on the Census of population Taken 10th August 1960:54


Begitu akrabnya golongan pendatang China dengan negeri Sabah sehinggakan beberapa petempatan awal mereka di negeri ini ditandai dengan nama China atau Kina dalam loghat tempatan. Antaranya ialah Kinabatangan, Kinabalu dan Kinabutan. Kinabatangan umpamanya merupakan salah satu petempatan awal pendatang China di negeri Sabah, yang merujuk secara harafiahnya Cina datang. Lokasi Kinabatangan yang mempunyai aliran sungai yang panjang ke bahagian pendalaman Sabah turut memungkinkan kemudahan keluar masuk kapal untuk sampai ke bahagian tersebut dari laut. Terdapat asas munasabah yang dapat dikaitkan dengan nama Cina datang berpandukan tinggalan tembikar dan keranda yang mempunyai corak ukiran berunsur keCinaan. Begitu juga dengan asal usul nama gunung Kinabalu yang mitosnya menceritakan bagaimana seorang perempuan Dusun yang menjadi balu kepada seorang Cina kerana ditinggalkan suaminya yang terpaksa pulang ke negeri asalnya.


Sehingga setakat tahun 2006, jumlah penduduk Sabah keseluruhannya berjumlah 2,997.0 juta orang dengan kaum lelaki adalah sebanyak 1544.1, manakala wanita adalah 1452.9. Dengan jumlah penduduk lebih dua juta orang, Sabah menghadapi masalah dalam mengurus serta mengatur kebanjiran warga asing yang masuk ke negeri itu dengan cekap dan teratur. Namun lagu lama yang sering dikumandangkan adalah berkenaan kelompok warga asing yang berasal dari Filipina dan Indonesia yang sudah klise sebagai isu basi yang belum selesai-selesai sampai sekarang. Selepas pilihan raya kedua belas lalu tuntutan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional terfokus pada permintaan mereka agar kerajaan persekutuan dapat melakukan langkah konkrit untuk menguruskan pendatang tanpa izin di Sabah. Pada awal jun 2008 semasa lawatan Perdana Menteri ke Sabah, beliau segera mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menguruskan hal terbabit. Apa yang diharapkan agar sebarang tindakan yang bakal dirancang dan dilaksanakan haruslah telus tanpa mengira bahawa pendatang tanpa izin yang terdapat di Sabah hanyalah pendatang Indonesia dan Filipina sahaja tetapi kita semakin terbeban dengan kedatangan bertali arus secara berbondong-bondong sehingga menyebabkan kebanjiran warga asing dari Bangladesh, Nepal, India dan China yang meninggalkan impak negatif yang cukup besar buat sebuah negara kecil seperti Malaysia.

Terkini adalah usaha penelitian yang dijalankan oleh Prof. Azizah Kasim dengan menjalankan kerja-kerja penyelidikan berkenaan pendatang asing di Sabah. Azizah Kasim mengkategorikan warga asing di Sabah dengan pengelompokan kepada empat golongan iaitu pekerja kontrak, orang pelarian, pegawai dagang dan pendatang tanpa izin. Dari 1891 hingga 2005 purata warga asing di Sabah lebih dari 20 peratus. Dari Januari sampai Ogos tahun 2007 sebanyak 45, 502 warga asing telah diusir ke negara asal mereka. Bagaimanapun sebahagian besar daripada mereka datang semula ke Sabah dengan membolosi sempadan dengan mudah


Jika kemasukan pekerja Filipina dan Indonesia ke Malaysia adalah untuk memenuhi ruang kerja kosong yang tidak mahu diisi oleh warga tempatan dalam sektor pembinaan, perladangan dan sektor rumah tangga, berlainan pula wadah rezeki yang dikaut oleh gadis-gadis pendatang asing. Tedapat sebanyak 173 kes wanita warga China yang ditipu untuk menjadi pelacur di Malaysia. Angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menunjukkan 5, 100 warga asing yang ditangkap dan dihantar ke nagara asal masing-masing kerana terlibat dengan aktiviti pelacuran.Mereka yang terlibat adalah sebanyak 2155 gadis dari Indonesia, 1230 warga China, 964 Thailand, 298 Vietnam, 189 Uzbekistan dan 125 gadis dari kemboja. Sebuah laporan menyebut bahawa 50,000 pelancong China masuk dan menghilangkan diri semasa berada di Malaysia. Dalam konteks negeri Sabah sehingga July 2007, kemasukan pelancong China, Taiwan dan Hong Kong mencatatkan rekod sebanyak 73,888 orang. Data yang direkodkan hanya melibatkan kemasukan menerusi lapangan terbang utama seperti di Kota Kinabalu dan Sandakan. Kebanyakan gadis dari negara China yang masuk ke Sabah secara sah dan bilangan sebenar mereka yang datang semata-mata untuk melancong tidak dapat dipastikan jumlahnya dengan mutlak. Adalah dipercayai bahawa sebilangan gadis dari negara China yang masuk ke Sabah sebagai pekerja seks akan meninggalkan negeri ini sebaik sahaja pas lawatan mereka tamat tempoh. Dalam kalangan pekerja seks, gadis China ini amat sinonim dengan Chinese Dolls dan mereka boleh mengaut pendapatan hampir mencecah ribuan ringgit pada satu malam. Dengan kegiatan mereka tertumpu pada hotel-hotel kelas sederhana di bandar raya dan sekitar kelab-kelab malam yang mencendawan tumbuh di sini sejak akhir-akhir ini. Selagi ada permintaan selagi itulah ada penawaran dan barang perlu diingat bahawa kegiatan penjualan tubuh badan merupakan satu bentuk perniagaan yang paling tua di planet ini.


Terdapat lebih kurang 20 buah negara sumber(asal) pekerja seks yang ditahan di Malaysia, kata pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit aman Datuk Christoper Wan So Kee. Kadar peningkatan pada purata 20 hingga 25 peratus. Negara sumber berkenaan adalah Indonesia, China, Thailand, Filipina, Rusia, Myanmar , Uzbekistan. Sebanyak 30 bapa ayam telah dikenakan tindakan mengikut akta kediamana terhad pada tahun 1993 bagi januari sehingga ogos 2007, berbanding hanya 20 pada 2006 dan 64 orang pada tahun 2005.



Bagi kebanyakan gadis yang diperdayakan sindiket tersebut dengan umpan untuk bekerja di sektor perindustrian, pembantu rumah tangga, pembantu restoran..... Dalam kes yang berasingan menurut SUHAKAM sebagaimana yang dilaporkan dalam Daily Ekspres( 2 Jun 2004) para gadis China masuk ke negara ini sebagai pelancong di samping menjejak kasih yang ditinggalkan oleh teman lelaki warga cina Malaysia. Kebanyakan mereka mula berkenalan semasa lelaki berkenaan melawat ke tanah besar terbabit. Permainan cinta adalah alat yang digunakan oleh lelaki Cina Malaysia untuk memperdayakan wanita China sehingga mendorong wanita terbabit untuk datang negara ini. Malangnya menurut SUHAKAM, apabila ditahan kerana kesalahan tinggal melebihi tempoh, kekasih wanita ini akan menghilangkan diri begitu sahaja meninggalkan teman wanitanya terkapai-kapai tanpa pengertian. Warga China hanya dibenarkan masuk selama 30hari dengan mempunyai Pas Lawatan Sosial(PLS).

Keputusan kerajaan memperkenalkan visa ketibaan (VOA) akhir tahun lalu sebagai satu strategik melonjakkan kedatangan pelancong benar-benar menghasilkan sambutan yang menggalakkan. 120, 000 pemegang VOA masih berada di negara ini dan lokasi mereka tidak dapat diketahui.

Sudah tiba masanya pihak berwajib yang membuat dasar berhubung kemasukan warga asing di negara ini benar-benar komited dan lebih sensitif dengan lambakkan tenaga manusia seperti ini. Soal keselamatan negara tidak dapat diukur dan dinilai dengan keuntungan wang berbilion yang dibelanjakan oleh para pelancong asing ini. Di samping itu dasar pengambilan tenaga kerja asing juga haruslah diperkemas dan diperketat kerana terdapat banyak ketirisan yang muncul, angkara kerakusan dan ketamakan para majikan di negara kita yang hanya tahu membuncitkan perut masing-masing. Sudah sampai masanya kita menghukum sekeras-kerasnya majikan yang memperdaya pekerja asing dengan upah yang rendah dan menganinya mereka sesuka hati seolah-olah pekerja asing adalah hamba dan tarafnya tak ubah seperti seekor binatang !

Proses kemasukan warga asing yang memakan masa selama satu minit adalah satu kejayaan kepada sistem imigresen negara kita. Kendatipun kepantasan urusan berkenaan menjangkitkan wabak baru iaitu warga asing yang masuk tadi telah ‘ghaib’ dan dipercayai menyelinap masuk menyerupai warga Malaysia dan jumlah mereka yang berada dalam negara ini tidak akan dapat dikesan dengan mudah kerana mereka adalah spesies sesumpah yang mempunyai kembar di negara ini.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin