Motif dalam Pantun Sabah[1]
Oleh
lokns@yahoo.com
“Seseorang itu tidak akan dapat menduga aliran fikiran orang-orang Melayu, kalau tidak memahami pantunnya.”
Pengenalan
Secara umum, setiap suku kaum mempunyai tradisi lisan atau folklore[1] mereka yang tersendiri. Puisi lisan[2] termasuk dalam salah satu bahagian dalam tradisi lisan yang lazimnya dinyanyikan secara solo atau berpasangan. Sama ada mengandungi elemen tarian, muzik ataupun tidak. Tidak mustahil juga puisi lisan yang didendangkan turut menjadi lagu rakyat (folk songs) bagi sesuatu suku kaum. Sebahagian besar elemen yang menonjol dalam lagu rakyat Sabah adalah unsur pantun[3]. Unsur pantun juga dapat dikesan dalam bentuk teka-teki, peribahasa , mantera dan cerita rakyat.
Pantun merupakan salah satu genre puisi lisan yang popular di Sabah. Tidak dinafikan terdapat berbagai-bagai istilah yang digunakan bagi merujuk pantun di Nusantara[4]. Di Sabah setiap suku kaum mengenali pantun dengan istilah atau panggilan menurut dialek bahasa daerah masing-masing. Dalam masyarakat Bisaya di Beaufort dan Kuala Penyu pantun dikenali dengan badaop/badaup[5], masyarakat Bajau di Kota Belud menyanyikan pantun dengan iringan muzik dan mengidentifikasikan pantun sebagai kalang[6] dan isun-isun. Berlainan pula dengan masyarakat Bajau di Semporna yang merujuk pantun sebagai kalangan[7]. Masyarakat Melayu-Brunei di Papar, Membakut dan Bongawan memahami pantun yang diungkapkan secara berbalas-balas dengan istilah dondang atau badundang[8]. Masyarakat minoriti Iranun di Kota Belud merujuk pantun yang dilagukan sebagai Bayuk[9], manakala pantun yang diperdengarkan tanpa iringan muzik dipanggil sebagai bpantun. Sebagai satu komuniti etnik yang masih kuat dengan kepercayaan animisma seperti Dusun, mereka menamakan pantun sebagai sundawil[10], dan jika pantun tersebut diungkapkan secara berbalas-balas ia dinamakan tala-ala[11]’. Namun, istilah bagi bentuk pantun terutama dalam subetnik Dusun adalah bervariasi dan tidak seragam. Seperti dalam masyarakat Dusun kimaragang di Tandek, yang mengistilahkan bo’or[12] sebagai pantun. Bagi masyarakat Rungus di Kudat pantun disebut sebagai bbahul[13], sementara komuniti Murut di Tenom, mengungkapkan pantun sebagai langkut-langkut[14]. Bagi orang Sungai di daerah Sandakan dan Pitas pantun diidentifikasikan sebagai lingkoko[15]. Orang-orang Suluk di Sabah mempunyai bentuk pantun yang dikenali sebagai Sangbai atau kalang[16]. Terdapat juga tradisi berpantun dalam masyarakat Kedayan yang menyatakan pantun sebagai sabut-sabutan[17]( walaupun kebanyakan istilah sabut-sabutan lebih khusus merujuk teka-teki). Bagi masyarakat Cocos juga mengenali pantun dan mengambil penamaan berkenaan sebagaimana masyarakat Melayu di Semenanjung. Hakikatnya dokumentasi pantun Sabah belum lagi dikaji secara menyeluruh. Sebagaimana kedudukan pantun dalam masyarakat Idahan, Lundayeh, Dusun Bonggi, Bugis, Tidung, Banjar dan beberapa etnik lagi. Hampir keseluruhan pantun Sabah muncul dalam bentuk nyanyian atau lagu. Pantun yang diberikan irama, dinyanyikan dalam isun-isun sambil diiringi petikan biola. Begitu juga dengan tarian Berunsai yang menggunakan bentuk berbalas pantun atau yang lebih dikenali sebagai kalang runsai. Lalangkut mengiringi tarian lansaran suku Murut. Bayuk iaitu pantun empat kerat Iranun turut mengiringi tarian tinubau.
Latar belakang Kajian
Sebagai salah satu genre tradisi lisan yang dianggap berbentuk tinggi dan kompleks, pantun merupakan manifestasi luahan rasa, sentuhan jiwa, pandangan hidup serta melambangkan jatidiri masyarakat penuturnya ( Shaiful Bahri Md. Radzi, 56: 2003). Jika diperhalusi secara mendalam ternyata penggunaan motif dalam pantun dapat mencerminkan lingkungan alam persekitaran yang bersifat tempatan atau setempat. Pemaparan motif budaya tempatan menerusi puisi lisan, menggambarkan secara tidak langsung hubungan anggota masyarakat dengan kebudayaan. Kebudayaan tempatan turut dipengaruhi atau dicorakkan berdasarkan lingkungan alam persekitaran. Hubungan yang menunjukkan motif dalam ikatan intim budaya dan alam dapat diperolehi menerusi sastera lisan. Hal berkenaan dijelmakan menerusi data-data bahasa yang melingkari kehidupan mereka. Secara sederhana, pengamatan dan intepretasi terhadap konteks penciptaan pantun sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran alam dan kebudayaan tradisi yang bercirikan tempatan. Menerusi data-data bahasa yang didokumentasi menerusi puisi lisan, dapat menggambarkan cara masyarakat Sabah mencerakinkan world view menerusi alam persekitaran mereka. Harun Mat Piah (1996:137) menegaskan bahawa “ pantun dengan sendirinya menyerlahkan persekitaran masyarakat yang melahirkannya…ia menyatakan latar alam dan latar budaya masyarakat yang diwakilinya”. Sesungguhnya, setiap masyarakat manusia sudah mempunyai set perbendaharaan kata yang asas dengan mengamalkan corak sesuatu budaya, seperti keperluan bahasa yang asas bagi mengira (kata bilangan), anatomi tubuh, warna, peralatan dan sebagainya. Pemakaian motif diapikasikan di bahagian pembayang dan maksud dalam penciptaan pantun berkenaan ( Shaiful Bahri Md. Radzi, 12:2002). Motif dalam pantun meliputi nama tempat, sungai, bukit, hidupan air, hidupan darat, tumbuh-tumbuhan, aktiviti harian dan persekitaran fizikal. Elemen-elemen motif yang disenaraikan merupakan beberapa segmen yang dinyatakan oleh Saiful bahri Md. Radzi (2003; 43) semasa menganalisis pantun Mah Meri di Selangor. Pendekatan sedemikian menunjukkan peranan puisi sebagai alat untuk mencerminkan pengalaman masyarakat yang diekspresikan menerusi bahasa. Hal sedemikian sejajar dengan kenyataan Asmah Omar (1986) yang menjelaskan ;
“...bahasa merupakan fihrasat atau petunjuk bagi kebudayaan penuturnya, yakni cara hidup dan sekitaran fizikal dan sosial”. Fungsi bahasa yang seperti itu dipikul oleh perbendaharaan kata. Dengan demikian bahasa orang yang hidup sebagai petani dijangka kaya dalam perbendaharaan kata dalam bidang pertanian.”
Oleh demikian, pengaruh lingkungan alam sedikit sebanyak menyumbang kepada pembentukan bahasa sesuatu masyarakat. Begitu juga dengan lingkungan alam yang mendorong sumber perekonomian kelompok sesuatu masyarakat. Bagi masyarakat tradisi Sabah sumber ekonomi dipengaruhi lingkungan geografi yang ditentukan menerusi petempatan mereka. Bagi masyarakat Sabah yang tinggal di pantai barat, mereka mencorakkan sumber ekonomi sara diri dengan menjadi nelayan dan dalam masa yang sama turut mengusahakan tanah pertanian. Masyarakat Brunei, Bajau, Bisaya dan Iranun yang tinggal berhampiran dengan laut menjadikan kegiatan menangkap ikan dan menanam padi sebagai mata pencarian mereka. Berbanding dengan masyarakat Dusun[18] yang menetap di kawasan berbukit bukau seperti di Ranau[19], yang cenderung mengusahakan kegiatan pertanian khususnya tanaman padi sawah ataupun padi bukit.
Motif dalam pantun Sabah
Lanskap geografi negeri Sabah menunjukkan bahawa ia dikelilingi oleh laut. Mempunyai keluasan kawasan perairan kira-kira 200,000 batu nautika persegi dan mempunyai garis pantai kira-kira 1,600 kilometer atau 900 batu nautika. Sabah dikelilingi oleh laut China Selatan di bahagian pantai barat, laut Sulu di bahagian utara dan laut Sulawesi di bahagian tenggara serta terletak di pentas sunda. Dalam konteks pantun Sabah masyarakat yang membina petempatan berhampiran pantai seperti Brunei[20], Bajau, Bisaya dan Iranun lebih menyerlahkan motif aktiviti maritim jika dibandingkan dengan masyarakat Murut, Rungus dan Dusun[21] yang cenderung membuat petempatan di kawasan pendalaman. Masyarakat yang hidup di kawasan pendalaman menjalankan aktiviti memburu binatang dan mengusahakan aktiviti pertanian. Oleh demikian, kelompok masyarakat berkenaan tidak bergantung kepada pencarian hasil laut. Perkaitan antara motif dan masyarakat yang dipaparkan dapat ditentukan menerusi alam, pengalaman dan pengetahuan yang hampir atau dekat melingkarinya sehari-hari. Sebagaimana orang asli Mah Meri yang berpengalaman di lautan, yang dipaparkan menerusi motif-motif pantun menangkap ikan sebagai punca rezeki. Secara tidak langsung motif dalam pantun Mah Meri mencerminkan kebudayaan masyarakat berkenaan yang mahir dengan aktiviti perikanan(Saiful Bahri Md. Radzi 13).
Menerusi pantun Brunei di bawah (1&2), menyerlahkan kegiatan utama masyarakat sebagai nelayan. Kehidupan nelayan sudah semestinya memerlukan ketahanan fizikal dan tidak kurang juga perlu ada semangat juang yang kental. Walaupun pantun (3) hingga (7) tidak menyatakan secara khusus pekerjaan sebagai nelayan tetapi motif laut dapat mencerminkan bahawa beberapa aktiviti yang berkaitan dengan ekonomi sumber laut sedang dijalankan.
1.. Singgah baranti atas jambatan
Ambil kayu buat salaian
Asilnya banyak jadi pandapatan
Atu tah karaja kaum nalayan
2. Urang Barunai pargi nalayan
Mamancing ikan di tangah laut
Kita badua mudah-mudahan
Sampai kita dapat bapaut
3. Kalau tuan pargi ka laut
Kirim saya katam batalur
Kalau tuan manjadi rambut
Saya manjadi si bunga malur
4. Asam pauh asam kalumbi
Hanyut ka laut timbul tanggalam
Barapa jauh manganang budi
Hujan ribut bulih ditahan
5. Alang laut tarabang ka laut
Alang darat tarbang ka darat
Abangku saru inda manyaut
Baikku lambai dangan isyarat
6. Sama-sama mandi ka laut
Mandi di laut baguyang pasu
Alang-alang mati barabut
Sama-sama manahan napsu.
7. Ka laut manyalam tiram
Timbullah bulan manyinari
Ati tatap mulutnya diam
Akan barcakap tidak barani.
Menerusi pantun Brunei motif pantun yang berkaitan dengan aktiviti maritim diperlihatkan seperti merambat(memukat). Dalam pantun (8), menunjukkan aktiviti menangkap ikan rumahan semasa musim tengkujuh, walaupun ketika masa berkenaan laut bergelora. Berbanding dengan pantun(9) yang menggambarkan aktiviti menangkap ikan air tawar, iaitu spesis ikan keli. Jika dalam pantun (8) aktiviti menangkap ikan digambarkan di laut manakala pantun(9) menunjukkan ikan air tawar yang ditangkap di dalam paya.
8. Urang marambat ikan rumahan
Punggut tarap musim tangkujuh
Diliat ada diambil jangan
Ditunggu naga bakapala tujuh
9. Basama Pak Husin paya diradah
Kan marambat si ikan kali
Hari batimbang disambut mariah
Ibu bapa gambira di ati
Dalam kedua-dua pantun Brunei di atas (8&9) menggambarkan situasi merambat. Marambat atau memukat merupakan satu kaedah sumber ekonomi bagi masyarakat Sabah yang tinggal di pesisiran pantai. Bagi masyarakat Brunei terdapat beberapa perkataan yang digunakan bagi memperlihatkan kaedah menangkap ikan selain daripada marambat. Perkataan tersebut seperti suit, rantau, salambau, ancau, balat, kilung, tangguk, rawai, ngail, manuba, mangaruik dan jaul[22]. Masyarakat yang tinggal berhampiran pantai, menunjukkan perbendaharaan kata yang luas berkenaan aspek perikanan. Begitu juga dengan masyarakat Bisaya yang menggunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan. Ia dikenali dengan bubu, bujak, sangkap dan pancing.
Hidupan laut
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Food and Agriculture Organisation (FAO) mendapati bahawa kira-kira 60 % daripada penduduk dunia pada masa kini menjadikan sumber marin sebagai sumber protein yang utama. Hasil produk berasakan sumber laut merupakan pembekal sumber protein yang murah bagi penduduk negara ini. Boleh dikatakan masyarakat Sabah begitu menyenangi pengambilan sumber protein daripada sumber marin[23] oleh kerana faktor pemerolehan produk yang segar dan murah. Bagaimanapun tidak semua spesis ikan boleh dimakan. Bagi masyarakat Brunei khususnya yang tinggal di Bongawan mengikut pandangan Pengiran Abdul Rahman[24], tidak boleh memakan ikan Bakalang kerana takut berkudis. Oleh sebab kononnya tedapat satu sumpahan menyatakan sesiapa yang memakan ikan berkenaan akan mendapat sakit gatal. Beberapa spesis ikan yang sinonim dengan sebutan masyarakat semenanjung, juga dikenali dengan nama tempatan; pari, rumahan, keli, terubuk, parang, gelam, belanak, bambulan, garungung, bambulan, bakalang tembakul, kakap, kambura, bilis dan jerung.
10. Singgah manabak si ikan pari
Dapat saikongku bawa lari
Hajat kami datang kamari
Ingin manyunting bunga baduri
11. Pantai Remis banyak karapu
Jalawat, galama, kalah, sanangin
Tantu si manis malu tarsipu
Maliat panglima tasalah kain
12. Urang marambat ikan rumahan
Punggut tarap musim tangkujuh
Diliat ada diambil jangan
Ditunggu naga bakapala tujuh
13. Maulana si maulini
Ikan tarubuk bapinggan-pinggan
Tuan di sana saya di sini
Saparti pungguk rindukan bulan
14. Ikan kali dalam talaga
Ku jarat dangan sautas tali
Dimatihi binatang naga
Baru bunga dapat dibali
15. Tajam palah pisau sagarat,
ikan gulama di dalam gua,
ikan di laut garam di darat,
lama di lama batamu jua.
16. Anak ikan di makan ikan,
Mana sama anak tanggiri,
Buah hati parmata intan,
Mana sama anak sandiri.
17. Minum tuber dilingkung bucit,
Dalam gubang ikan balanak,
Kalau tak jumpa jadi panyakit,
Tidur rasah makan tak inak,
18. Ikan tanggiri ikan garungung,
Anak salidai tananang-nanang,
Batah sudah duduk tarmanung,
Di dalam tidur takanang-kanang,
Dusun
19. Bawang singkatai-katai
Sonulok di urongou
Tulun nopo napatai
Amu nodi korongou
sungai singkatai-katai
ikan putian mudik ke hulu
seperti orang yang mati
tidak lagi dapat mendengar
20. Sarawi om ih rokot
Nowit ku pagasakan
Tayon ku daa misokot
Nobunsoroi ih pama
serawi dan ikan batu
ku bawa dari sungai dan dikeringkan
ku harap akan mengena
tetapi tak kekal selamanya
21. Nomoruk no ih tapon
Sinimpad do sumbilang
Kada ih poromuko
Tu hiti oku milang-milang
usang sudah pancingku
mengena ikan sembilang
jangan engkau hancurkannya
di sini aku sedia membantu
22. Borusat ku sarok bolit
Sinulung dilo rokot
Asarok pogi gia muli
Tayon om kopisokot
perangkap ikan ku jalin rapat-rapat
mendapat seekor ikan sebelah
rapat-rapat pergi balik
diharap dapat bersatu semula
23. borusat sarou bolit
Sinulungon do rokot
Asarok pogi do muli
Nga tayon id kopisokol
jala di tangah ladang
terperangkap si ikan sepat
patutlah cepat nak pulang
mau-maunya terpaut
24. haro sada kombura
minooi bilung-bilung
hilo tudan doh wariu
kisisi doh rombituon
kiposisang di ulan
ada ikan kombura
pergi menari-nari
di hulu sungai wariu
bersisikkan bintang
berinsangkan bulan
25. hodi po tudung kito
sada kolong do sondoton
honggo diau do sondoton
do sarak tanda sisi
mari berpanggang kita
ikan kolong dari kuala
di mana kau berkuala
yang berkilau tanda sisik
Bisaya
26. dalak natai olo nabilak,
raon rumbio alan da taap,
aro pamaun aro lalabak,
mangotol ilog anan mialap.
Ikan haruan kapalanya terbelah,
daun rumbia di buat atap,
ada pipit ada penghalaunya,
memotong padi tempat bergembira.
27. Kadakai o’wa kadakai,
Julung-julung ulu korok,
Napakai isa napakai,
Jurung jua io nagodok.
kadakai buah kadakai,
timbul tengelam kapala ikan karuk,
suka tidak suka,
cuba juga ia mengurat.
Iranun
28. Seda a mala’ ngaran ian kurapu
Di’gkalaku ayau ka bpeliung
Ayau bpamugkag ayau bpanipu’
Ka ukit anan a’tau a lalung
ikan besar namanya kerapu
tidak laku jangan dilelong
jangan membohong jangan menipu
kerana itu tabiat orang bodoh
Menerusi motif ikan dalam pantun Sabah, menunjukkan perbezaan bagi masyarakat Dusun yang tinggal di pedalaman dengan masyarakat pesisiran pantai. Kebanyakan motif ikan dalam pantun Brunei menggambarkan pelbagai spesis ikan berbanding dengan hanya motif ikan air tawar dalam pantun Dusun. Terdapat satu lagi elemen yang menunjukkan perbendaharaan kosa kata bahasa Brunei yang luas berhubung dengan ikan. Iaitu penamaan lauk sebagai ganti nama lain bagi ikan. Ringkasnya lauk disinonimkan dengan ikan. Lihat dalam pantun di bawah (29). Manuba lauk pada baris ketiga dan lauk mati, baris keempat merujuk pada pemaknaan ikan.
29. Anak Kina bapotong rambut
Anak Sarani mamagang padang
Manuba lauk di tangah laut
Lauk mati di tangah padang.
Penamaan sedemikian sudah tentu berbeza sekali menurut persepsi masyarakat Melayu semenanjung yang mengistilahkan lauk sebagai bahan makanan mentah seperti sayur, ikan atau daging yang telah dimasak. Berlainan pula dengan pengertian lauk dalam masyarakat Brunei ia sinonim dengan ikan(mentah) ataupun bahan makanan mentah yang bermasak. Menerusi contoh di bawah (34), (35), (36) dan (37) ditunjukkan motif lauk yang mewakili ikan(mentah), manakala motif ikan dalam pantun bernombor (30),(31) (32) dan (33) merujuk pada masakan ikan berlauk. Sama ada ikan berkenaan dimasak dengan kari, disalai atau masak ampap.
30. Lauk karuk ampap
Salai lauk bakalang
Rabus batang kaladi
Ulam bigi mambangan
31. lauk sambilang digulai maman,
digulai dangan santan piasau,
mangapa abang bardiri di laman,
naik ka rumah abang mangapa
32. masak ampap lauk galama
ditambah lada agar barasa
kudidik kau dangan agama
agar basarmu jadi baguna
33. lauk basung diampap kari
pancuci mulut buah balunu
kupiara kau dari sabasar jari
jangan kau lupa jasa indungmu
34. cuba-cuba mangual baduk
bakayuh talatuk-latuk
cuba-cuba manahan tangguk
mangkali ada lauk mamatuk
35. minum tuba di lingkung Bukit
dalam gubang lauk balanak
inda bajumpa jadi panyakit
tidur rasah makan nda inak
36. lauk baranang di dalam lubuk
lauk balida dadanya panjang
adat pinang pulang ka tampuk
adat sirih pulang ka ganggang
37. marambat ka nagari cina,
dapat saikong lauk batina,
adik ini inda ada yang punya,
jalan barsama apa salahnya.
Selain motif ikan dalam pantun Sabah yang menjadi indikator masyarakat yang hidup di pengaruhi lingkungan alam maritim, terdapat beberapa lagi motif yang dapat menunjukkan pemikiran masyarakat berkenaan. Dalam pantun di bawah (38) motif bubuk menunjukkan spesis anak udang yang dijadikan bahan asas membuat belacan. Daerah Papar di Sabah memang terkenal dengan kualiti belacannya yang istimewa. Selain bubuk, terdapat juga beberapa kosa kata lain bagi merujuk udang berdasarkan saiz. Tangipun (anak udang halus), nangkutut (sederhana), cancudik (besar) dan nangalah (paling besar)[25]. Selain daripada udang terdapat juga motif hidupan air seperti sotong, kura-kura, ketam dan buaya yang digunakan dalam pantun Sabah.
Bubuk
38. lol lol mang
tarubuk padang basi
si Awang manggaga tunang
makan bubuk dangan nasi
Udang
39. nangkutut di siring sungai
buat umpan pangail katam
apa dituntut budi parangai
kalau balum janji suratan.
40. kalau marambat tambing buantar
rambat manyangkut jongor naggalah
barang ani barang yang latar
sana tarantuk sana yang balah
41. kap-kap udang
udang ditangkap lapas
mandangar bunyi urang
lari lakas-lakas
42. tasapit nanggalah
tasapit udang pangampun
bukan nasib takdir Allah
lauk bajangka baras bahimpun.
Sotong
43. sudah tuan naik gubang,
urang tutung mambikin alu,
sudah tuan yang sangat tahu,
hanya sotong bartulang satu.
44. sotong si ikan haruan
batiti di tapi batang
untung balum si katahuan
siapa tahu marakan datang
Kura-kura
46. Kura-kura bartunggul kanggan
Kalakati dalam gubang
Pura-pura bartaruh segan
Di dalam hati bagai digaru
47. kura-kura si labi-labi
anak buaya mati bananang
Singapura si baru jadi
sutara jangan dicampur banang
48. kura-kura di dalam hutan
bulan purnama pargi ka tasik
Singapura jadi sabutan
asal namanya Pulau Tamasik
Ketam
49. kalau tuan pargi ka laut
kirim saya katam batalur
kalau tuan manjadi rambut
saya manjadi si bunga malur
Pengangkutan air
Selain hidupan laut, motif pengangkutan air masyarakat Sabah juga dipaparkan menerusi pantun mereka. Sebagai masyarakat yang tinggal berdekatan dengan pantai terdapat satu kecenderungan masyarakat berkenaan memaparkan motif pengangkutan air dalam pantun mereka. Dalam masyarakat Brunei di Sabah, istilah bagi pengangkutan air terbahagi kepada beberapa elemen berdasarkan saiz. Iaitu, ajung, gayudan, jumpong, gubang, rakit, bangkar,tongkang, bahtera dan kapal. Sebagai contoh, dalam masyarakat Brunei dan Iranun, perahu lazimnya diistilahkan sebagai gubang. Gubang bersaiz sederhana iaitu lebih kecil daripada perahu dan besar sedikit daripada rakit.
50. Bismillah mula disurat
bunyi kuyuk jauh ka darat
gubang balabuh baurat-urat
makan badung dangan ambuyat
51. urang bakayuh dalam gubang
karana handak mudik ka hulu
minta salamat pangantin baru
dari anak hingga ka cucu
52. laju-laju gubang laju
laju mari kan ka subarang
lupa kain dan lupakan baju
saya nda lupa tuan saurang
53. kalau tuan naik gubang
urang Sang Hai ka nagari Cina
kalau tuan mau tahu
siapa yang makai ia ampunya
54. bakayuh tiga sagubang
kan talanggar balai nini
ya malai rasanya bujang
sana-sini membawa diri
55. anak tikus tananang-nanang
nanang-nanang bawah gubang
rasa putus hati manganang
urang dikanang inda mahu
56. gubang damit balayar ka tapi
makin ka tapi makinlah dalam
tidur malam janganlah dimimpi
makin dimimpi bartambah dandam
57. sarat gubang mambawa kundur
kundur dibawa tarus ka kota
talajak gubang bulih barundur
talajak kata badan binasa
Hal sedemikian mencerminkan perbendaharaan kata yang luas dalam bidang berkenaan, bagi masyarakat yang menciptakan pantun tersebut. Selain gubang sebagai salah satu pengangkutan air terdapat juga penamaan seperti tongkang, kapal dan rakit. Dalam pantun Dusun, yang mewakili petempatan di pendalaman agak sukar mencari motif pengangkutan air berbanding masyarakat Brunei.
58. hujan ari tabarai-barai
turun ambuk makan lamiding
tujuh hari tongkang balarai
ambuk batuk buaya dingin
59. barakit pargi marabung
buat titian pargi ka paya;
sudah ku ikat lagi ku sambung
taputus lagi apakan daya.
Iranun
60. Ung nga a berangan kia lutuan nya ka ri ga,
Kelekah sa dalem a gubang,
Pali sa lima kai lai pirugu,
Pali sa atai da pa ka peleng dun.
Buah berangan masaknya merah,
Kelakati dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa tahu.
61. E’sarumang ka su papan agu ka gamit a
Ung’a keranji sa delam a gubang
Sugu angka kuman kuman se kayan
Sugu angka manga di sekayan metau
Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan dia makan
Suruh mengaji dia tak mahu
62. Upun munut sa gubang a’tau
Ilayangka su pura matebped sa raun
Upun ta makatu’un sabarang a’tau
Tumu’ su maga’an ibaling ta run
Kalau ikut di perahu orang
Jaga pengayuh patah didaun
Kalau terjumpa kepunyaan orang
Cepat-cepatlah kita pulangkan
Binatang Darat
Binatang dalam konsepsi masyarakat Sabah meliputi semua benda hidup yang merayap, merangkak, terbang dan berjalan, kecuali manusia. Binatang terdiri daripada jenis yang biasa ditemui seperti spesis ikan, burung, ular, gajah, buaya dan dari jenis serangga. Contohnya pada badaop di bawah (63) yang menggunakan motif daripada jenis serangga iaitu Dodipot (kunang-kunang) yang melambangkan seorang wanita manakala paracap pula melambangkan seorang pemuda.
63. Dodipot do iba batu,
Paracap do raun to wo,
Mingkijot takow da matu,
Mialap takow badoua.
Kunang-kunang di bawah batu,
Paracap di daun tua,
Bermain mata kita,
Berkawan kita berdua.
64. Gajah putih gajah nalintang,
Anak raja naruju kabun,
Tuan puteri tumabur bintang,
Anak raja turut berpantun.
Gajah putih gajah nalintang,
Anak raja terlanggar kebun,
Tuan puteri bintang bertaburan,
Anak raja turut berpantun.
Pantun di atas(64) menggunakan motif alam sebagai perlambangan kepada sifat manusia. Iaitu menggunakan motif seekor gajah dengan menyifatkannya kepada seorang teruna yang memiliki sifat yang sempurna iaitu gagah, berani dan bijaksana. Bagi melukiskan motif seorang wanita badaop berkenaan membayangkan kecantikan seorang gadis seperti sebutir bintang yang bercahaya di angkasa.
Babi
Suatu hal yang agak unik dan istimewa berkenaan pantun Sabah adalah penonjolan motif binatang. Motif binatang yang agak jarang dipaparkan dalam pantun Melayu adalah seperti babi. Namun motif babi terdapat dalam beberapa pantun Sabah. Berikut merupakan sebahagian contoh yang dapat dikemukakan;
65. Buah mambang dimakan musang
Gugur ka tanah dilunyang babi
Hati mimang bacampur kusang
Satu karaja pun inda manjadi
66. Anak Cina palihara babi,
Kasi makan daun kaladi,
Anak siapa barjalan tadi,
Mahu barkanal jikalau sudi
67. Buah nanas dimakan musang
Ada sapanggal diinjak babi
Kusangka panas sampai ka patang
Rupanya ujan di tangahari
Bisaya
68. Panjang luas si kaki babi,
Lamah lambut tanah sabarang,
Balum puas si jantung hati,
Balum bartamu salah saorang,
Ambuk
Selain penggunaan bahasa baku terdapat juga dialek tempatan yang digunakan sebagai motif dalam pantun. Hal demikian dapat dikesan terutama dalam pantun Brunei yang menggunakan perkataan ambuk atau monyet.
69. Gual baduk Kuala Baram
Loncing babunyi di nagari cina
Ambuk batuk buaya damam
Kucing mangiau ngalu kapala
70. Hujan ari tabarai-barai
Turun ambuk makan lamiding
Tujuh hari tongkang balarai
Ambuk batuk buaya dingin
71. Pucuk rabung jadi ulaman
Atas rabung dipulak ambuk
Walaupun harum bunga di taman
Kalau tarmakan mambari mabuk
72. Hujan barai-barai
Ambuk makan padi
Siang kan balayar
Si Dayang inda jadi
73. Ambuk bagayut dahan ka dahan
manjarit-jarit riang gumbira
ramuk hati indak tatahan
maliat urang badua-dua
Motif Kesukuan
Fenomena bangsa Melayu, di Semenanjung berbeza sekali perspektif dengan masyarakat di Sabah. Jika di Semenanjung Malaysia setiap etnik atau subetnik Melayu ( Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Rawa, Mandailing dan lainnya) dikategorikan sebagai bangsa Melayu. Lain pula halnya di Sabah yang merujuk kategori kaum berasakan etnik[26] atau subetnik dan tidak dirangkumkan di bawah kategori Melayu. Justeru itu, timbul persoalan wujudkah Melayu di Sabah ? Jika persoalan etnik atau subetnik menjadi isunya di Sabah sudah tentu bilangan subetnik Melayu di Semenanjung[27] jauh lebih besar berbanding di Sabah. Cuba bandingkan pula dengan masyarakat Cina yang turut mempunyai ratusan subetnik yang boleh dikesan berdasarkan dialek yang digunakan seperti Hainan, Hakka, Teo Chew dan bermacam-macam lagi. Tetapi mengapa golongan ini tidak dikategorikan berdasarkan subetnik mereka?[28]Pada hari ini kaum Cina juga telah dianggap sebagai kaum peribumi Sabah (Mat Zin Mat Kib 2003:180). Justeru itu, tidaklah menghairankan aspek kesukuan masih lagi dominan berbanding dengan rasa kebanggaan sebagai bangsa Melayu, jika diteliti dalam pantun Sabah. Aspek yang agak menonjol dalam pantun Sabah adalah kecenderungan masyarakat penciptanya dalam mengangkat serta menonjolkan aspek etnik atau kesukuan masing-masing. Dalam pantun di bawah (74), masyarakat Brunei menggambarkan bahawa budaya tradisi selagi ia diperdengarkan, selagi itulah masyarakat mereka akan wujud di dunia. Di samping itu masyarakat berkenaan juga sering mengimbau negara leluhur mereka iaitu di negara Brunei dalam pantun-pantun mereka. Bagi masyarakat Brunei menggunakan dan mengekalkan kurapak Brunei dalam komunikasi harian adalah sesuatu yang diutamakan. Bahasa jiwa bangsa ungkapan ini melambangkan bangsa Brunei yang serius dalam melestarikan bahasa dan budaya leluhur mereka .
74. Basama indung ka tangah laman
Maliat si Ayu mananam laya
Pantun, gurindam, saloka didindang
Indakan Barunai ilang di dunia
75. Bukan ani kalakatiku
Kalakatiku kimai-mangimai
Bukan ani kahandak hatiku
Kahandak hatiku urang Barunai
Senario kedudukan masyarakat Brunei selaku golongan puak pemerintah semasa pemerintahan Kesultanan Brunei, memberikan imej yang tinggi. Lihat pantun (75) di atas yang menggambarkan secara tidak langsung pemikiran masyarakat Brunei. Namun kini situasi berkenaan berlaku sebaliknya. Masyarakat Brunei di Sabah jika dibandingkan dengan kaum Dusun, dalam beberapa aspek semakin ketinggalan. Dalam aspek pendidikan umpamanya golongan cerdik pandai etnik Dusun jauh lebih ramai mendapat pendidikan tinggi berbading masyarakat Brunei. Aspek politik juga menunjukkan kematangan masyarakat Dusun dalam merangka strategi sehingga jumlah anggota kabinet negeri Sabah hari ini khususnya bilangan menteri di kalangan masyarakat Dusun mengatasi orang Brunei.
Pantun kesukuan -Bisaya, Iranun dan Bajau
Dalam masyarakat Bisaya, Iranun dan Bajau tidak kurang juga pantun yang digunakan bagi meniupkan perasaan yang berunsurkan kesukuan. Berikut merupakan sebahagian cotoh pantun yang berunsurkan kesukuan:
76. Hayun-hayun kangkung
Kangkung di tepi paya
Nasib si dayang beruntung
Dapat berjumpa anak bisaya
77. Cuit mirah di atas kain,
Balah pamaga rasam,
Bismillah mamuka main,
Kabasaran Bisaya mangatam.
78. Mangkuk kacil merah di atas kain,
Belah menyambut hujan,
Bismillah membuka main,
Kebangaan bisaya memotong padi.
79. Danakurah gulu yada,
Janang takou tu Bisaya,
Nunuh lagi da kinandak,
Lakat takou janagan sanak.
Kanapa tidak mahu,
Ketua kaum Bisaya,
Apa lagi mahu,
Kita masih berkaluarga.
Iranun
80. O-aden bu a-limu
Na kakalimui tanu
i-kalimu tanu su Iranun
Ka Iranun tanon tarian
Jika ada kasih
Kasih mengasihanilah kita
Kita kasihi Iranun
Kerana kita semua Iranun
81. Kelid tanu ku paganai
Gugud a-mangalukus a-tunganai
Yaden kun su Iranun ibpamagentauwa andabu’ laugan
Inu den kun mautu ku mala sikirani-gandingan
Su kapasang iran agu su bager iran
Ingatilah masa silam
Kisah nenek moyang
Iranun terbilang diserata antara
Kerana mereka bersatu dalam perjuangan
Beserta ketabahan dan kehandalan
Bajau
82. Jomo sama nunggang kuda
labu’ ta tana’ apo’ pungat nei
un atai ngakun mura’
padahal empu nie eko deperayun
Orang Bajau menunggang kuda
Jatuh ke tanah patah pinggang
Masih mahu mengaku muda
Padahal cucu keliling pinggang
83. Ta’ moto tikus rai nu matai,
Reso asaey diom tengkatai,
Budaya Sama dong lupa tai,
Biar nai teko tak anak empuh tai,
Mati si tikus didepan mata,
Rasa kasihan dalam hatiku,
Budaya Bajau jangan dilupa,
Biar kekal ke anak cucu.
Variasi motif
Selain pantun yang bermotifkan mengangkat kumpulan atau kelompok suku masing-masing terdapat juga pantun yang bernada kurang baik. Iaitu usaha untuk merendah-rendahkan satu-satu suku kaum yang lain. Sebagai contoh Cina sebagai motif sindiran yang terdapat dalam salah satu segmen pantun Brunei.
84. Tam tam tut
Kaladi uwa-wa
Si tam bakantut
Babau cina tua
Sebenarnya bukan sahaja dalam pantun terdapat motif yang bersifat kesukuan tetapi ia juga muncul dalam genre peribahasa . Kaya-kaya Bajau merupakan satu sindiran orang Brunei, terhadap orang Bajau yang boros atau kurang cekap dalam mengurus hal ehwal kewangan. Bagi orang Bajau pula mereka membalas dengan mengungkapkan bahawa Brunei keramian (pengotor). Dalam sastera lisan[29], motif etnik atau suku memang merupakan elemen yang sangat digemari lebih-lebih lagi dalam tradisi lisan berbentuk jenaka dalam cerita rakyat.
Pantun merupakan cermin bagi sesebuah masyarakat yang melahirkannya. Oleh demikian, pantun mempunyai pelbagai jenis persoalan yang dikemukakan dalam bentuk sindiran dan juga hiburan. Persoalan seks[30] atau unsur lucah merupakan salah satu elemen yang berbentuk hiburan dan sindiran, yang disampaikan dalam suasana gembira. Tidak kurang juga dalam aspek berkenaan, berlaku motif sindiran untuk merendah-rendahkan satu kumpulan etnik yang lain. Seperti pantun (85) yang menyindir perlakuan aksi seks etnik Benggali yang tidak melakukannya menurut tabie berbanding dengan masyarakat Bajau.
85. telak buan debui
benggali naki buli’
telak buan saung
Sama naki baung
terang bulan semalam
benggali bersetubuh di pantat
terang bulan siang
bajau bersetubuh di tempurung(kemaluan wanita)
Selain sindiran yang dilakukan terhadap Benggali wujud juga unsur sindiran terhadap etnik Keling, sila lihat dalam pantun Brunei di bawah.
86. Pisang kaling, pisang Malaka
Butuh kaling banyak cilaka
Bagaimanapun, terdapat beberapa orang informan yang ditemui seperti Hj. Suid yang menafikan sekeras-kerasnya kewujudan pantun yang bermotifkan sedemikian rupa dalam masyarakat Brunei[31]. OKK Hj Masrin juga bertegas mengatakan bahawa dalam masyarakat Iranun[32] hanya golongan kasta bawahan sahaja yang memiliki unsur lucah dalam sastera lisan mereka. Ironinya, pantun dan teka-teki yang bertemakan demikian agak banyak ditemui di Sabah. Motif lucah tidak hanya muncul dalam pantun tetapi juga dalam bentuk teka-teki. Motif unsur seks yang dipaparkan dalam puisi lisan Sabah mempunyai dua fungsi iaitu yang berbentuk sindiran (tersirat) dan berbentuk lucu semata-mata untuk hiburan (tersurat). Malahan terdapat juga teka-teki yang menggunakan unsur pembayang yang seakan lucah tetapi sebenarnya langsung tiada kena mengena dengan perkara terbabit.
87. Toli songolon Kemaluan lelaki dipegang
Tonton kobolon kemaluan perempuan disentuh
Jawapan-taalu/tasung jawapan-alu/lesung
Dalam konteks sundait di atas (87), unsur pembayang tidak langsung menunjukkan elemen-elemen yang berkaitan namun jawapan yang diminta mencerminkan sebaliknya. Pola inilah yang menjadikan sundait sebagai satu wadah sastera lisan Dusun yang begitu diminati. Oleh kerana wujudnya gabungan elemen hiburan dan seks, ia menjadi satu penanda atau ciri khas yang dimiliki oleh sastera rakyat Dusun. Bagaimanapun sesuatu yang agak istimewa dalam sastera rakyat[33] Dusun adalah berkenaan pengakuan dan pernyataan yang dibuat oleh Raymond Boin Tombung iaitu penggiat, pencinta dan pengkaji sastera Dusun. Beliau menyatakan bahawa dalam sastera (lisan) Dusun yang agak ketara dan mungkin boleh dianggap unik ialah wujudnya secara meluas unsur-unsur yang berkaitan dengan kentut, seks atau organ-organ seks ( 1994:16). Biarpun begitu secara umum pembicaraan soal-soal seks bukanlah menjadi satu kecenderungan utama dalam sastera rakyat Dusun. Perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur seks tidak menghairankan dalam sastera Dusun, ciri ini wujud bukanlah kerana masyarakat Dusun itu bersikap biadab atau lucah tetapi ia wujud untuk mencerminkan satu nilai tradisi di mana seks adalah sesuatu yang lumrah dibicarakan dalam konteks sosial ( Raymond Boin Tombung, 1994:17).
Kesimpulan
Motif dalam pantun Sabah muncul dalam pelbagai bentuk yang boleh dilihat berdasarkan perspektif sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik. Namun secara tidak langsung ketiga-tiga aspek berkenaan mempunyai saling perkaitan yang mewujudkan sinergi. Yang akhirnya menyerlahkan sedikit sebanyak berkenaan pemikiran atau world view masyarakat berkenaan. Justeru itu, pantun sebagai genre puisi lisan Melayu yang agak popular di Sabah digunakan dalam pelbagai bentuk. Sama ada dinyanyikan oleh kanak-kanak ketika sedang bermain bersama rakan sebaya atau dinyanyikan oleh orang dewasa sebagai satu saluran hiburan bagi melupakan seketika penat lelah selepas mencari rezeki pada waktu siang. Tidak kurang juga pantun yang diungkapkan secara spontan tanpa diiringi alat muzik atau gerak tarian yang boleh dianggap sebagai satu stail atau gaya berbahasa. Ia bukan sekadar memperindahkan bahasa dalam menyampaikan hujah tetapi juga untuk memberi impak dalam mempengaruhi seseorang atau kelompok. Oleh demikian, sebarang perbincangan mengenai lagu-lagu rakyat Sabah, secara amnya mestilah mengambil kira kedudukan genre pantun. Kemantapan genre pantun sebagai puisi lisan Melayu terserlah dalam lagu rakyat yang terselit di dalamnya kalimat dua baris atau empat baris yang memakai bentuk pantun.
[1] Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Sastera Rakyat Sabah , 26-27 Ogos 2005 di Lahad Datu, Sabah. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
[1] Folklore merupakan ciri-ciri atau bahan-bahan budaya bercorak tradisional yang tidak pernah tercatat seperti cerita-cerita rakyat, peribahasa, nyanyian-nyanyian, muzik, kepercayaan, upacara, adat resam dan artifak (Mohd. Taib Osman, 1976:9). Ringkasnya terdapat tiga komponen asas :
i – Tradisi yang berbentuk pengujaran(verbalized). Tradisi ini meliputi apa sahaja bentuk ujaran dan dilafazkan secara lisan sama ada berbentuk cerita atau bukan cerita (narrative). Tradisi ini dikenali juga dengan seni ujaran ( verbal arts).
ii - Tradisi yang bersifat perlakuan ( behavioural). Warisan berbentuk perlakuan yang diamalkan seperti adat resam, pemujaan (ritual), perbomohan, upacara, teater tradisional , permainan rakyat, tarian dan sebagainya lagi.
iii - Tradisi budaya benda ( material culture) . Tradisi ini merujuk kepada artifak warisan seperti busana , alatan muzik , senibina, alat persenjataan, seni anyaman, tembikar, tenunan dan lain-lain.
[2] Puisi lisan atau puisi rakyat “…ungkapan-ungkapan yang kadang-kadang dilagukan dan diiringi muzik, yang mengandungi berbagai unsur puisi, seperti rima, rentak, nada, imejan, kiasan, metafora dan seni amnya”.. Mohd Taib Osman (hal 11).
[3] Untuk maklumat lanjut sila rujuk kertas kerja Pg Abdul Rahman, Sastera Lama di Sabah hlm. 1-26 , 1970 dan lihat juga kertas kerja Zaiton Ajmain (1988:6), yang menjelaskan bahawa unsur pantun popular dalam nyanyian lagu-lagu rakyat kaum Brunei. Sebagai contoh dalam lagu Kap-Kap Udang, Ampu-Ampu Bulan.
Kap-Kap Udang
Udang ditangkap lepas
Mandangar bunyi urang
Lari lakas-lakas
Mulut kunyam-kunyam
Maratah tahai masakapi
Jaga kaulahan
Ilok peragai dapat dipuji
[4] Sila lihat huraian lanjut dalam buku Puisi Melayu Tradisional, Harun Mat Piah (1989:105).
[5] Sila lihat kertas kerja. Lokman Abdul Samad. Badaub: Pantun Masyarakat Bisaya di Sabah. Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing kedua. 8-15 Oktober 2002 Beijing. China
[6] Sila lihat huraian lanjut dalam buku Ismail Abas dan Charles Saong . Tarian-Tarian Tradisional Sabah (1984: 56).
[7] Sila lihat huraian lanjut dalam kertas kerja Sitti Hadiah Abdul Mutalib, Maggabang: Wahana Sastera Lisan Suku Kaum Bajau Semporna, Perhimpunan Penulis Pantai Timur Sabah , 8-10 Jun 2002. Semporna.
[8] Sumber Temubual Pengiran Abdul Rahman Pengiran Ali 20 Jun 2003
[9] Sumber OKK Hj. Masrin. Temubual 24 April 2005
[10] Sumber Rabu Buhaily. Tembual 26 Disember 2004
[11] Tala’ala berasal daripada perkataan miala’ala yang bermakna berbalas-balas.
[12] Sumber daripada Ony Latifah. Temubual . Temubual 26 Februari 2005
[13] Sumber daripada Raymond Majumah. Temubual 8 April 2005
[14] Sila lihat huraian lanjut dalam buku Ismail Abas dan Charles Saong . Tarian-Tarian Tradisional Sabah (1984: 88). Lalangkut bebas digunakan menurut konteks, jika orang muda lebih kepada cinta manakala golongan tua berkisar kepada pemujaan roh si mati.
[15] Sila lihat huraian lanjut dalam buku Ismail Abas dan Charles Saong . Tarian-Tarian Tradisional Sabah (1984: 143).
[16] Sila lihat huraian lanjut dalam buku Ismail Abas dan Charles Saong . Tarian-Tarian Tradisional Sabah (1984: 141). Sangbai atau kallang ini dilagukan semasa mengirigi tarian daling-daling.
[17] Golongan tua kadayan, di sabah
[18] Di samping itu nama kebanyakan sub etnik Dusun juga diperolehi menerusi lingkungan alam seperti pokok, sungai, tumbuhan dan elemen alam yang lain. Sebagai contoh kebanyakan masyarakat Dusun Ranau terdiri daripada suku liwan. Dalam bahasa Dusun, liwan bermaksud kawasan di lereng bukit. Selain suku Liwan, suku Bundu merujuk kepada kelompok yang tinggal berhampiran pokok Bundu; Suku Tobilung bermakna petempatan kelompok masyarakat berkenaan yang melintangi bukit dan suku Gana merujuk kelompok yang tinggal di kawasan tanah rata ( Henry Bating, 2002:10).
[19] Asal usul nama Ranau mempunyai banyak mitos mengenainya. Nama Ranau sebenarnya bermula daripada kisah orang Dusun yang menjalankan kegiatan bersawah di satu kawasan (nama belum diketahui lagi). Kawasan mereka menjalankan kegiatan bersawah dikatakan tempat yang berlumpur. Dalam bahasa suku kaum Dusun kawasan yang berlumpur di panggil ‘ranahon’. Disebabkan tempat tersebut belum mempunyai nama maka orang Dusun menggelarnya sebagai ‘ranahon’ yang membawa maksud kawasan yang berlumpur. Akibat daripada peredaran masa sebutan ranahon telah berubah menjadi ranau sehinggalah sekarang.
[20] Manifestasi alam maritim dalam sastera rakyat Brunei dapat ditunjukkan menerusi adai-adai.. Adai-adai. ialah satu lagu yang dinyanyikan secara beramai-ramai iaitu enam sehingga sepuluh orang dalam satu kumpulan. Lazimnya, adai-adai dinyanyikan oleh satu kumpulan yang balik dari mencari lokan atau ikan. Lokan adalah sejenis kerang yang terdapat di sungai dan di laut. Mereka balik dengan mendayung sampan (perahu) dari muara ke ulu sungai mengikut air pasang. Oleh itu, adai-adai membawa maksud berdayung perlahan-lahan. Tujuan menyanyikan adai-adai adalah untuk menghilangkan rasa penat dan letih semasa mencari ikan.
[21] Sebahagian besar sastera lisan masyarakat Dusun, memapaparkan aktiviti bermoifkan pertanian. Umpamanya sundait atau teka-teki yang berhubungan rapat dengan aktiviti tanaman padi. Malah sundait tidak boleh dituturkan semasa musim gumamas. Bagi huraina lanjut sila lihat makalah Lokman Abdul Samad, Sundait Pengucapan Istimewa Masyarakat Kadandusun dlm. Sarim Mustajab(ed). 2004. Warisan Budaya Sabah Etnisiti dan Masyarakat . Universiti Malaysia Sabah.
[22] Temubual dengan Pengiran Abdul Rahman dan Datuk Shuhaibun Yusuf
[23] Menurut Ryner Stuel Galid. 1996. hlm 167-180. Sumber perikanan merupakan di antara kekayaan semulajadi yang utama di negeri ini. Ia merupakan sebuah negeri maritim dengan lebih tiga perempat sempadannya dikelilingi lautan. Lautannya yang terletak di Asia tenggara, merupakan ekosistem laut yang terkaya di dunia.
[24] Temubual dengan Pengiran Abdul Rahman
[25] Temubual dengan Pengiran Abdul Rahman dan Datuk Shuhaibun Yusuf
[26] Pada masa kini penduduk Sabah terdiri daripada lebih kurang 41 kumpulan etnik ( termasuk subkumpulan) etniknya sendiri. Lihat makalah mat Zin Mat Kib . Kumpulan Etnik Di Sabah: Sejarah dan Perkembanganya dlm. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 13 2003. Penerbit Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kuala Lumpur.hlm.178-194
[27] Dalam masyarakat Minangkabau di Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai lebih daripada 20 subetnik.
[28] Lihat tulisan Lokman Abdul Samad dalam Dewan Budaya September 2002
[29] Maklumat lanjut lihat kertas kerja Shaiful Md Radzi. Siapa Kata Melayu Tak Lucah? Cerita Jenaka dalam Bentuk Lisan. 5-7 September 2000. Bengkel Tradisi Lisan. Genting Highland, Pahang. Anjuran Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka .”…
[30] Maklumat lanjut lihat kertas kerja Shaiful Md Radzi. Siapa Kata Melayu Tak Lucah? Cerita Jenaka dalam Bentuk Lisan. 5-7 September 2000. Bengkel Tradisi Lisan. Genting Highland, Pahang. Anjuran Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka .”… “… Jika diselidiki dalam sastera lisan sebenar, selain daripada kebodohan dan kepintaran, tema seks juga tidak boleh dikesampingkan. Terdapat bukti yang kukuh bahawa pada amnya orang Melayu juga sama seperti bangsa lain di dunia yang amat meminati cerita yang berunsur seks.
[31] Lihat contoh dalam pantun Brunei
Ayam putih di atas jambu
Ku timbak mari luka dadanya
Sidayang putih dalam kalambu
Kan ku singkap manusuk sanjata
Tagak-tagak si batang padi
Akhirnya masak manunduk jua
Tagak-tagak batang lalaki
Akhirnya kamuncak manunduk ia
elak-elak dari membakut
Asap kapal atas awan
Puki tabilak mambari takut
Butuh manjanul tarus kacut
lama sudah indak ka beaufort
Anak rusa atas batu
Lama sudah indak baamput
Haus sudah kapala butu(h)
Wak-wak tarabang malam
Mari baranti di puhun sirih
Mata luak bajaga malam
Baunjar bini indada malurih
. Pak katipak katipong
Satu batang dua bagantung
Basar macam lasung
Kalau kana maraung-raung
[32] Teka-teki atau antuka’ berunsurkan seks dalam masyarakat Iranun
Antuk ngka, manuk a gkuku’ subu-subu.
Jawapan: Utin
Cuba teka, ayam berkkok di waktu subuh
Jawapan: Zakar
Antuk ngka, lusi’-lusi’en ka utin I amakan, agu ka ke’en ka.
Jawapan: Saging
Cuba teka, dilancap-lancap zakar si ayah, baru di makannya
Jawapan: Pisang
Antuk ngka, apun matengau gugumemau den su manga utin
Jawapan: Warui
Cuba teka, bila musia sejuk berkeluaranlah si zakar
Jawapan: Cendawan
Antuk ngka, barang aya sagit a utin tapi kena utin, kakan pen
Jawapan: Tagudtung
Cuba teka, benda ini macam zakar tapi bukan zakar, malah ia juga boleh dimakan
Jawapan: Terung
Antuk ngka, Kereg mimitebek sa tian a kuda
Jawapan: Utin a kuda
Cuba teka, kayu terpacak diperut kuda
Jawapan: Kemaluan kuda
Antuk ngka, gubanga nyalebu sa dalem a taun.
Jawapan: Beti’
Cuba teka, sampan bocor di tengah-tengah hutan belantara
Jawapan: Faraj.
Antuk ngka, beti’ ka nyakariga-riga.
Jawapan: mbama’.
Cuba teka, faraj kemerah-merahan
Jawapan: bibir orang makan sirih.
[33] sila lihat tulisan Lokman Abdul Samad, (2004: 51). Jika dalam tangon atau cerita rakyat unsur berkenaan tidak begitu ketara. Namun dalam aspek puisi khususnya menerusi sundait elemen seks amat jelas dibicarakan sama ada sebagai pembayang atau pun dipakai sebagai jawapan, contohnya:
1. Kirumun puun punggul
Tunggul dikelilingi sarang
Zakar (kemaluan lelaki)
2. Duo pampang miapid, rokod id tangah-tangah
Dua batu berkembar ikan sepat di tengah-tengah
kelentit
Daftar Bacaan
Harun Mat Piah. 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Henry Bating.2002. Lagenda Asal Usul Kadazandusun. Badan Penyelaras KDCA Ranau.
Lokman Abdul Samad. 2002. Badaub: Pantun Masyarakat Bisaya di Sabah. (dlm) Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing kedua. 8 -15 Oktober 2002 Beijing. China
Lokman Abdul Samad. Dewan Budaya September 2002. Negara Bangsa Gerbang Penyatuan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Lokman Abdul Samad .2004. Sundait Pengucapan Istimewa Masyarakat Kadazandusun. Dlm. Sarim Mustajab(ed) Warisan Budaya Sabah Etnisiti dan Masyarakat. Universiti Malaysia Sabah. Kota Kinabalu
Mat Zin Mat Kib. 2003. Kumpulan Etnik Di Sabah: Sejarah dan Perkembangannya. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 13. Universiti Malaysa.Kuala Lumpur.
Mohd Taib Osman.1976. Panduan Pengumpulan Tradisi Lisan Malaysia.Kementerian Kebudayaan belia dan Sukan Malaysia
Pangiran Abdul Rahman Pengiran Ali. Sastera Melayu Lama Di Sabah. Seminar Bahasa Malaysia, Sabah 4-6 Ogos 1970. Anjuran Badan BAHASA. Kota Kinabalu
Pangiran Abdul Rahman Pengiran Ali. Badundang Jenama Asli Barunai. Seminar Sastera dan Budaya 7 September 2003 Anjuran kelab Penulis Veteran Sabah. Kota Kinabalu
Raymond Boin Tombung.1994. Sastera Rakyat Dusun. Persatuan Dusun Sabah (USDA) Bersatu. Kota Kinabalu
Shaiful Bahri Md. Radzi.2000. Siapa Kata Melayu Tak Lucah? Cerita Jenaka Dalam Bentuk Lisan. Bengkel Tradisi Lisan 5-7 September 2000. Anjuran Bahagian Kesusasteraan Tradisional. Dewan Bahasa dan Pustaka.Awana Genting, Pahang.
Shaiful Bahri Md. Radzi.2002a. Pantun dalam masyarakat Orang Asli Mah Meri. Kertas kerja Seminar Antarabangsa Pantun. Hotel Istana 1-3 Julai 2002. Kuala Lumpur,.
Shaiful Bahri Md. Radzi. 2003. Pantun Suku kaum Mah Meri. Akademika. Jurnal Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.Universiti Kebangsaan Malaysia Bil 62 Januari hal 41-57. Bangi
Sitti Hadiah Abdul Mutalib. 2002. Magabbang: Wahana Sastera Lisan Suku Kaum Bajau Semporna. Perhimpunan Penulis Pantai Timur Sabah 8- 10 Jun 2002. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Dragon Inn. Semporna
Zaiton Ajmain. 1988. Puisi Rakyat Sebagai Manifestasi Sosiobudaya. Kertas Kerja manifestasi puisi Anjuran Maktab Perguruan Keningau 3- 5 Mac. Keningau Sabah.

0 comments:
Catat Ulasan