Berikut Untuk Renungan Bersama Kita saya siarkan kembal tulisan Prof. Madya Dr Baharudin Ahmad - Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamddun Islam (ISTAC)
Dua tahun yang lepas, saya menulis di dalam Utusan Malaysia dan saya katakan begini : Jika pemimpin dan ahli UMNO ingin melahirkan orang Melayu yang berhemah tinggi maka mereka sendirilah perlu dahulu berhemah tinggi. Tidak mungkin mereka yang menyeru kehidupan berhemah tinggi sedangkan di dalam UMNO sendiri muncul gejala politik wang, pemilihan pemimpin yang kurang upaya dan bercakaran sesama sendiri, takut dengan orang lain dan takut jatuh kedudukan.
Masyarakat umum melihat semua ini seolah-oleh sebahagian daripada sandiwara kehidupan berpolitik Melayu selama ini. Memang, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila dilantik sebagai Perdana Menteri dulu sudah menyedari perkara ini sehingga beliau dengan tegas dan berani ketika itu menegur para ahli UMNO supaya jangan asyik berpolitik sahaja dan melupakan tugas utama membina masyarakat Melayu yang berhemah tinggi.
Ini tidak bermakna ahli UMNO perlu berpolitik semusim atau berpolitik hanya apabila datangnya pilihanraya. Apa yang dimaksudkan saya di sini ialah Mereka harus mementingkan kejayaan orang Melayu melebihi agenda politik diri sendiri. Para ahli UMNO tidak patut asyik memikirkan jawatan dan apakah mereka akan mengekalkan jawatan dan mencari-cari jalan mengekalkan jawatan dan mentadbir parti berdasarkan usaha mengekalkan jawatan lebih daripada menjaga kepentingan umum anggota masyarakat terutamanya orang Melayu.
Para pemimpin Melayu harus terlebih dahulu sedar bahawa orang Melayu merupakan bangsa yang kuat dan berwawasan. Mereka sudahpun menyediakan diri menghadapi banyak rintangan dan perjuangan sepanjang hayat politik dan kenegaraan Malaysia yang kita warisi kini. Mereka telah banyak berkorban untuk pembinaan negara ini dan mereka juga merupakan golongan yang berusaha bercucuk tanam, menangkap ikan, bersawah ladang, meneroka tanah dan sebagainya.
Ketika dahulu Orang Melayu membina Masjid sendiri, Madrasah sendiri, Pondok sendiri, sekolah sendiri dan kolej sendiri sebelum mereka dibantu dengan subsidi dan wang ehsan. Mereka berjaya pergi ke Mekah, menulis kitab dan hikayat, pandai berbahasa dan bersastera, pandai mengukur, mengukir dan membuat rumah. Mereka membina terusan dan parit air, sampan dan rakit dan alat alat bertajak dan bercucuk tanam. Kesemua kerja ini memerlukan budaya dan adab sopan yang tinggi, berbahasa klasik di dalam perhubungan sesama mereka di masa lampau, menggunakan kupang dan mengenakan cukai, mentadbir negara dan menerima diplomat asing.
Orang Melayu juga bekerja siang hari dan membaca kitan di malam hari di Masjid dan Madrasah. Tidakkah ini semua bersifat dinamik dan berdaya tahan. Berapa ramai orang Melayu moden kini yang belajar secara berterusan.
Orang Melayu menyebarkan agama mereka ke seluruh Asia Tenggara, Afrika Selatan, Surinam dan Guyana. Bahasa Melayu adalah bahasa Islam yang paling luas digunakan bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga di kepulauan Asia Pasifik dan mempengaruhi bahasa Afrika. Kitab kitab Melayu digunakan di Laos, Vietnam, dan Kemboja, Selatan Thai dan Selatan Filipina serta Afrika Selatan.
Tidakkah ini semua menunjukkan orang Melayu mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi dan berdaya saing terutamanya di masa sebelum kemerdekaan.
Jika semangat dan kekuatan ini mula layu maka itu bukanlah disebabkan sifat bangsa Melayu itu sendiri tetapi faktor faktor ekonomi dan politik luaran yang muncul kebelakangan ini yang menjadikan orang orang Melayu dilihat oleh orang lain sebagai daif, lemah dan tidak berdaya maju di dalam konteks keperluan ekonomi dan perdagangan sekarang ini.
Jika UMNO dan ahli-ahlinya ingin memajukan orang Melayu, maka mereka harus melihat kekuatan yang ada pada diri Melayu itu terlebih dahulu dan tidak melihaqt kelemahan orang orang Melayu yang bersifat sementara ini. Inilah yang penting iaitu yakin diri. Jika kita bermula dengan mengata dan mengutuk orang Melayu lemah, pemalas, tiada disipln,haprak dan sebagainya maka kita bermula dengan pendekatan yang salah. Bolehkah kita berjaya jka kita bermula dengan kekecewaan.
Jika kita inginkan orang Melayu maju, maka kita harus katakan bahawa orang Melayu itu sentiasa boleh menyesuaikan diri dan sentiasa mempelajari sesuatu yang baru tanpa kehilangan makna diri Melayu mereka sendiri. Mereka belajar dari orang India, mereka asalnya beragama Hindu, Buddha dan menerima Islam sebagai perwatakan serta peribadi bangsa mereka dan menentang Barat di samping mempelajari banyak dari Barat.
Sebagai petani dan nelayan, mereka tidaklah pandai IT dan komputer serta ilmu perdagangan moden yang memerlukan rakankongsi luar nergara serta pengalaman yang luas di dalam perdagangan antarabangsa. Tetapi kini mereka sedang berusaha, mereka yakin akan bertambah maju jika agensi agensi kerajaan dapat melahirkan lebh ramai di kalangan mereka yang memahami dan mampunyai yakin diri di dalam perniagaan. Orang Melayu perlukan maklumat tambahan untuk maju.
Tentulah mereka tidak dapat menjadi orang Cina di dalam masa 10 ataupun 2 tahun. Perubahan yang jelas hanya akan berlaku di dalam dua atau tiga generasi. Inilah yang dikatakan oleh Ibn Khaldun didalam kitab sejarahnya al-Muqadimmah. Kita ada pemimpin melayu yang menyelar orang Melayu kerana gagal dalam masa yang singkat maka pemimpin itu tentulah mengigau dan cepat putusa asa.
Kita sudah terlalu banyak menyalahkan orang melayu tetapi kurang menyalahkan agensi agensi Melayu pemimpin Melayu, permodalan melayu dan syarikat syarikat besar orang Melayu yang dibantu untuk maju tetapi tidak membantu orang Melayu lain yang memerlukan bantuan.
Pendek kata, di dalam ruang yang singkat ini, kita mencadangkan di sini supaya orang Melayu tidak sama sekali berputus asa. Para pemimpin Melayu juga tidak harus berputus asa, berusahalah ke arah mengembalikan keyakinan diri, yakin yang kita akan berjaya jika terus berusaha, bersikap sedar akan keperluan kita pada masa ini, sanggup mengambil risiko di dalam kehidupan perniagaan setelah berbekalkan yakin diri, ketekunan, semangat kuat bekerja seperti mana orang orang tua di kampung, sentiasa berdoa dan berserah kepada Allah di dalam mencapai kejayaan.
Kekuatan rohani orang Melayu sangat tinggi dan semangat mereka sangat mendalam. Apa yang diperlukan ialah menyalurkan keyakinan diri dan penyerahn diri di dalam berusaha itu ke saluran saluran yang tertentu yang diperlukan oleh masyarkat Melayu sekarang ini.
Jiwa yang besar dan semangat yang tinggi tidak mungkin akan layu dan patah di tengah jalan jika kita mengekalkan Keimanan, Keyakinan dan Kefahaman yang mendalam bahawa agama bukanlah sekadar ibadah dan ilmu pengetahuan semata mata tetapi agama lebih dari itu, bertawakkal di dalam kehidupan, yakin berjaya setelah berusaha, tumbuh setelah patah di tengah jalan, mengharapkan keredaan Illahi di dalam pekerjaan dan sebaginya yang sudahpun ada di dalam diri Melayu itu selama ini.
Orang Melayu tdak patut mundur dari meyakini diri sendiri, tidak patut juga merasa sesuatu yang sangat salah telah berlaku sehinggan mereka menjadi lemah dan layu di dalam kehidupan, tidak patut pula berangan angan tanpa berusaha. Bukanlah mat jenin itu cerita kiasan untuk tujuan pengajaran bukannya menunjukkan orang Melayu itu sama seperti Mat Jenin.
Seruan Perdana Menteri ketika dulu adalah seruan yang penting. Seruan beliau supaya kita sedar dan bingkas mengembalikan Martabat Melayu dan tidak merasa kecewa sehingga menjaga diri masing masing sahaja dan melupakan perjuangan Bangsa yang seharusnya menjadi perjuangan UMNO secara berterusan.
Para pemimpin Melayu seharusnya melupakan kedudukan dan habuan yang datang dengan kedudukan mereka dan mereka harus menjadikan kedudukan dan pangkat mereka sebagai alat yang akan menjayakan bangsa Melayu walaupun ini akan memakan masa dan memerlukan kesabaran dan kecekalan hati yang amat kuat. Pemimpin Melayu haruslah lebih berani dan bersifat wira.
Jika yang di atas itu tidak ada kepada para Pemimpin UMNO dan Melayu, maka apakah masih wajar mereka digelar atau mahu digelar pemimpin. -13/9/2008
Selasa, 16 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)












0 comments:
Catat Ulasan