Memperkasa dan Melestarikan Sastera Tradisi Sabah
lokns@yahoo.com
Mukadimah
Artikel ini secara esensinya akan cuba membawa kita untuk menelusuri kekayaan khazanah silam warisan budaya masyarakat Sabah. Sebagai pancaran peradaban bangsa ia mencerminkan fungsi intelektual warisan segolongan cendekiawan silam – Bentuk dan fungsi intelektual yang diperturunkan kepada kita dalam bentuk-bentuk lisan dan tulisan (manuskrip dan taiposkrip). Dalam konteks sastera tradisional, korpus-korpus teks (lisan dan tulisan) berfungsi untuk membijaksanakan manusia, memperkasa perpaduan masyarakat, selain tampil sebagai wahana pembentuk jati diri suku-suku bangsa. Berperanan sebagai agen budaya ia berupaya mengasuh dan mendidik manusia, secara tidak formal mengarahkan pembentukan nilai budi, akhlak, etika dan norma buat manusia menatap dan membaiki dirinya. Rukun sebeginilah yang menjadikan korpus sastera tradisional menjadi amat berguna dan bernilai bagi pendukungnya untuk memanusiakan manusia. Sastera tradisional adalah sastera berfungsi, iaitu faedah karya sastera bukan untuk hiburan semata-mata tetapi memberi rangsangan, pengajaran, hikmah, peringatan dan manfaat buat keseluruhan pendukungnya.
Latar Negeri Sabah
Kedudukan geografi Sabah agak unik dan turut mempengaruhi perkembangan kebudayaan masyarakatnya. Sabah mempunyai keluasan 76,115 km persegi tetapi kepadatan penduduknya hanya 13 orang per kilometer. Satu pertiga daripada penduduknya tinggal di kawasan pendalaman. Sabah dikelilingi oleh laut dari tiga arah. Pada bahagian barat, pantainya dilanda oleh Laut China Selatan, di utara dan timur laut ialah Lautan Sulu dan di bahagian timur ialah Laut Sulawesi (Lee Yong Leng, 1982:2).
Berdasarkan aspek geografi kedudukan Sabah yang merentasi ruang 27,5000 kilometer persegi, dilingkungi pantai sepanjang 1,440 km dari Sipitang hingga ke Tawau merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Wilayah Borneo Utara(Sabah) meliputi keseluruhan bahagian utara Pulau Borneo, yang merupakan pulau kedua terbesar di dunia selepas Pulau New Guinea (Mohammad Raduan, 1995:72). Bumi di bawah bayu (Land Below The Wind) yang diacukan sebagai nama gelaran untuk Sabah dirujuk oleh para pelayar terdahulu kerana kedudukannya di pinggir kawasan angin taufan yang menjadi tempat berlindung para pelayar (nelayan) ketika ribut dan gelombang besar melanda. Lokasi Sabah yang meruncing arah ke utara sehingga tidak ada satu tempat pun di Sabah yang jauhnya seratus batu dari laut (Lee Yong Leng 1982:34). Ringkasnya, lokasi Sabah bersifat kepulauan jika ditinjau kedudukan negeri ini yang terletak betul-betul di bahagian barat laut kepulauan Borneo. Faktor geografi (alam), mempengaruhi pemilihan petempatan penduduk yang menjadikan setiap suku kaum hidup dalam komuniti masing-masing. Setiap komuniti lazimnya mengamalkan sebahagian warisan budaya tradisi leluhur mereka.
Penduduk Sabah
Pada tahun 1991 jumlah penduduk Sabah yang dicatatkan adalah sebanyak 1.736 juta orang manakala menerusi banci penduduk tahun 2000, penduduk Sabah dicatatkan berjumlah seramai 2,603,485 orang (Jabatan Perangkaan 2000: 61-62). Daripada jumlah ini sebanyak 1,988,661 orang daripada kumpulan etnik bumiputera yang dipanggil warganegara Malaysia iaitu (91,601,356); Melayu(303,497); Kadazandusun(479,944); Bajau (343,178); Murut (84,679); bumiputera lain (390.058) Cina(262,115) dan lain-lain (125,190) manakala jumlah bukan warganegara Malaysia pula 614,824 orang.
Berdasarkan laporan Banci Penduduk 1991 dan 2000 takrif Melayu bagi merujuk penduduk di Sabah begitu mengelirukan dan bertindan tindih. Gambaran takrifan berkenaan menunjukkan kumpulan etnik peribumi atau kumpulan etnik lain di Sabah bukan berbangsa Melayu, sedangkan mereka beragama Islam, berasal daripada rumpun Melayu dan mengamalkan adat kebudayaan Melayu. Sebagai contoh masyarakat Brunei, Bajau, Bugis, Banjar, Kokos, Jawa, Kedayan, Kagayan, Ubian, Suluk, Bisaya, Tidung, Orang Sungai, Buton, Idahan dan Iranun (Lokman 2002:14-16). Istilah Melayu di Sabah lazimnya merujuk kumpulan etnik Melayu yang berasal daripada negeri-negeri Semenanjung Malaysia yang diperolokkan sebagai ‘Orang Malaya’ atau ‘Orang Semenanjung’ .
Berdasarkan jumlah sebanyak 1,988,661 orang daripada kumpulan etnik bumiputera, iaitu (1,601,356); Melayu (303,497); Kadazandusun (479,944); Bajau (343,178); Murut (84,679). Pada masa kini penduduk peribumi Sabah terdiri daripada lebih kurang 41 kumpulan etnik (termasuk subkumpulan etniknya sekali). Kumpulan etnik dan subkumpulan etnik Dusun ialah, Ida’an (idahan), Kwijau, Tatana, Lotud, Rungus, Sukang, Tangara, Kimaragang, Garo, Tobilung, Kedayan, Dumpas, Minokok, Rumanau, Mangkaak, Bundu, Makiang, Malapi, Sinapuru, Sinabu, Kolobuan, Pingas, Tidung, Sonsogon, Gonsomon, Tuhawan, Tutung, Liwan, Tolinting, Bonggi, Gana-Dusun, Paitan, Lingkabu, Ngabai, Tombonuo, Lobu, Murut, Tindal, Bisaya dan Orang Sungai. Kumpulan etnik dan subkumpulan etnik di Sabah menggunakan lebih daripada 50 bahasa, yang dituturkan sekurang-kurang lebih daripada 80 dialek.
Sebagai sebuah negeri begitu luas dengan bilangan penduduk yang agak ramai iaitu lebih dua juta orang. Komposisi suku kaum di Sabah secara garis kasar boleh dikelompokkan pada lokasi petempatan dan agama. Kumpulan pertama iaitu etnik peribumi bukan Islam yang membina petempatan di pendalaman merangkumi etnik Dusun, Murut dan Rungus, Lundayeh serta kumpulan sub etnik yang majoritinya beragama kristian di samping mengamalkan kepercayaan animisme. Bumiputera Islam dalam kelompok kedua yang menetap di kawasan pesisir yang terdiri daripada Brunei, Bajau, Iranun, Orang Sungai, Iranun dan Idahan ( Mat Zin Mat Kib 2004:26). Penduduk bukan Islam tidak cenderung untuk tinggal di kawasan pesisir kerana lebih berminat dengan aktiviti bercucuk tanam atau pertanian (pindah) dan memburu binatang. Tambahan pula rantau pesisir pantai tidak selamat oleh sebab sering berlaku kejadian huru-hara hasil aktiviti pelanunan (merompak dan membunuh).
Penelitian Sastera Tradisi Sabah
Satu hal yang lazim ditonjolkan dalam kebanyakan kajian orientalis di kepulauan Borneo adalah minat mendalam mereka terhadap masyarakat pendalaman yang lebih eksotik berbanding dengan komuniti Melayu. Berhubung kecenderungan pengkaji melihat unsur eksotik masyarakat pedalaman Borneo, Collins(1995:868-879) menjelaskan bahawa ia disebabkan suku-suku pendalaman di Pulau Borneo pernah mencabar keupayaan pentadbiran kolonial kerana keterpencilannya serta tradisi sosialnya. Kedua suku-suku ini menjadi sasaran mubaligh Kristian yang mencari lapangan bagi usaha-usaha mereka. Ketiga dalam konseptualisasi orientalis Barat suku-suku bukan Melayu itu lebih asli, lebih primitif dan lebih eksotik daripada penutur Melayu di Pulau Borneo. Lanjutan daripada hasil-hasil kajian penulis kolonial meninggalkan tanggapan umum bahawa Borneo seolah-olah dihuni oleh suatu masyarakat asli, primitif dan masih mengekalkan kehidupan tani serta tinggal di rumah-rumah panjang yang bukan berbudaya Melayu.
Bagaimanapun kebanyakan kajian yang dilakukan orientalis bersifat pengumpulan dan tertumpu pada masyarakat pendalaman iaitu masyarakat Dusun. Usaha yang dilakukan orientalis dalam kajian tradisi lisan di Sabah antaranya dimulakan oleh I.H.N.Evans. Penelitian beliau pada suku kaum Dusun dalam menumpukan pada cerita rakyat dengan sedikit berkenaan peribahasa dan teka-teki. Sebahagian besar kajian orientalis Barat di tampung menerusi penerbitan dalam Sabah Society Journal dan The Sarawak Museum Journal. Thomas Rhys Williams(1960) membuat pengumpulan cerita mitos dan teka-teki suku kaum Dusun di daerah Tambunan. Babara Harrison dan Michael Chong (1965) menghasilkan kumpulan cerita dari Gua Kinabatangan manakala Peter R. Goenthals berusaha bagi mengumpulkan teka-teki masyarakat Dusun(1967). Terdapat beberapa orang mubaligh kristian yang cenderung meneliti folklor masyarakat pedalaman seperti Father J. Stael yang telah meneliti hampir keseluruhan budaya masyarakat Dusun. Usaha memanfaatkan folklor bagi faedah perkembangan agama diteruskan pula secara lebih sistematik oleh Appel yang memang terlatih dalam bidang antropologi.
Para peminat dan pengkaji tempatan mengisi ruang penelitian sastera tradisi Sabah setelah negara merdeka sehingga kini, usaha berkenaan sudah mula menampakkan perkembangan usaha yang berterusan. Sumbangan dan usaha pengkajian yang menyangkut tentang sastera tradisi Sabah turut dilakukan oleh pengkaji tempatan, sebahagian antaranya adalah: Pengiran Abdul Rahman(1970), K. Bali (1970) Mohd Yassin Isa(1976), Arena wati(1978), Taha kadir(1985), Zaiton Ajmain(1988), Asmat(1991), Datu Bandira(1992) Raymod Tombung(1994), Lokman Abdul Samad (1999), Rita Lasimbang(1999), Henry Bating(2000), Low Kok Aun(2001) Jacinta Tangil (2001), Halim Bandan(2006),
Sabah sering kali tercicir, tidak diberi perhatian dalam konteks penelitian sastera tradisional sebagaimana yang lazim ditonjolkan menerusi kegiatan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Jika adapun penelitian yang dibuat hanya terfokus pada sastera tradisional milik suku Bajau dan Kadazandusun. Penonjolan berlebihan terhadap dua suku berkenaan belum mencerminkan kekayaan sebenar khazanah perbendaharaan silam, korpus sastera tradisional Sabah. Jika ditelusuri secara mendalam kedua-dua etnik tersebut tidak mempunyai tradisi tulisan [sendiri], iaitu indikator asas dalam menentukan kemajuan pemikiran dalam membangun sebuah peradaban. Apatah lagi kekurangan ini turut ditandai dengan ketidakcekapan penguasaan tulisan jawi yang masuk untuk memurnikan pemikiran intelektual yang menjadi faktor kemajuan seluruh umat di Nusantara. Setakat ini, di negeri Sabah belum berhasil menemukan jumpaan manuskrip asli tulisan tangan yang dihasilkan oleh mana-mana suku kaum. Kecuali, sebuah manuskrip tulisan jawi menggunakan bahasa Idahan milik suku kaum Idahan, di Lahad Datu yang kini ditempatkan di Muzium Tamadun Islam Sabah. Manuskrip berkenaan asalnya dimiliki oleh Imam Injir bin Panjang yang mewarisi daripada leluhurnya keturunan Idahan, Lahad Datu sebelum menyerahkannya untuk disimpan oleh pihak berautoriti di Sabah. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa, khazanah berharga yang amat bernilai tersebut hanya tinggal sepi sebagai objek untuk pameran dan tontonan semata-mata . Oleh sebab, sehingga kini belum ada usaha pembongkaran ilmiah, hatta manuskrip tersebut masih kekal dalam tulisan jawi bahasa Idahan yang tidak terdapat tanda-tanda untuk mentransliterasikannya disebabkan hambatan-hambatan tertentu.
Oleh demikian, usaha penelitian di Sabah perlu dilihat secara lebih saksama melangkaui dua suku tersebut dengan premis bahawa wujud kepelbagaian sastera tradisional Sabah disebabkan negeri ini mempunyai bilangan penduduk yang tinggi, berpecah dengan pelbagai suku, berbeza budaya, berlainan dialek serta identifikasi suku kaum berdasarkan tumpuan ekonomi petempatan.
Folklor Sabah
Kewujudan Sabah sebagai sebuah negeri yang besar, mempunyai kepelbagaian suku kaum yang unik daripada segi bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan agama. Setiap bangsa atau suku kaum memiliki rangkaian keunikan tersendiri dalam khazanah warisan budaya mereka. Keunikan berkenaan kadang-kadang menjadi satu tanda keistimewaan yang melakar citra sesuatu masyarakat. Keistimewaan yang lazim tertonjol dalam aspek kebudayaan itu dapat dikesan menerusi seni budaya rakyat atau folklore. Menurut James Danandjaya (1984:21) pengertian folklor agak luas, merangkumi folkor lisan, sebahagian lisan dan folklor bukan lisan. Dengan demikian, kepelbagaian folklor Sabah banyak dipengaruhi oleh petempatan penduduk disebabkan landskap geografi Sabah yang bergunung ganang dan dikelilingi laut mewujudkan masyarakat yang heterogen, bervariasi bukan sahaja daripada aspek fizikal malah turut diperlihatkan perbezaan daripada aspek pancaran sosiobudayanya.
Folklor atau tradisi lisan menurut Mohd. Taib Osman(1976:43) dikelaskan sama ada melalui perantaraan bahasa(verbal) mahupun bukan(non verbal). Bagi maksud penyampaian menerusi bahasa, ia terbahagi kepada dua iaitu bercorak cerita yang merangkumi cerita binatang, mitos, legenda, jenaka dan bukan bercorak cerita iaitu jenis lagu rakyat, puisi lisan serta undang-undang adat. Umumnya pembahagian tersebut menempatkan keseluruhan genre folklor berkenaan wujud dan berkembang dalam kalangan masyarakat Sabah.
Tidak banyak bezanya penggunaan istilah cerita bagi masyarakat Sabah dalam konteks folklor dengan rumpun Melayu lainnya. Bagi suku Brunei yang mendiami sebahagian besar kawasan pinggiran pantai Barat Sabah, mereka mempunyai tradisi bercerita yang dikenali sebagai piteraan atau tuturan, yang lazimnya disampaikan untuk menghibur di samping menyelitkan unsur pengajaran untuk kelompok kanak-kanak. Antara piteraan yang kerap mendapat tempat ialah Puteri Rambang, Puteri Buyah kadundung, Awang Sumbilang dan beberapa lagi. Diangdangan adalah kaedah bercerita bagi golongan dewasa yang diiringi pukulan rebana untuk menyampaikan cerita terkenal iaitu Bujang Samain dangan Tambadau. Oleh sebab cerita diangdangan agak berat dengan mengambil masa yang panjang, berlarutan sehingga tiga hari[malam] maka kecenderungan khalayaknya agak tertumpu pada golongan perempuan dewasa yang mempunyai banyak masa terluang berbanding golongan lelaki. Tradisi bercerita dikenali dengan pelbagai nama menurut dialek bahasa masing-masing sebagaimana yang dinyatakan Halim Bandan(2006), iaitu masyarakat Bajau Pantai Timur mengistilahkan cerita sebagai kissah, tangon(Dusun), iringah(Iranun), pitaan(Kedayan) tontumo(Sungai), pitarahan(Bajau Pantai Barat). Klasifikasi genre cerita rakyat Sabah tidak jauh bezanya dengan cerita rakyat Nusantara lain dengan wujudnya cerita-cerita mitos, jenaka, legenda, binatang dan hantu.
Dalam kategori mitos, cerita berhubung asal usul kewujudan sesuatu pantang larang, lazimnya berkait rapat dengan adat dan pantang larang yang diamalkan oleh suku kaum pendalaman khususnya bagi suku Dusun, Rungus dan Murut. Terutamanya cerita Huminodon yang berhubungan asal usul padi dengan kegiatan berhuma, iaitu asal usul permulaan sambutan pesta menuai atau kaamatan. Bagi sebahagian masyarakat mungkin mereka pernah mendengar cerita asal usul nama negeri Sabah yang dikatakan berasal daripada sejenis pokok pisang yang dikenali sebagai Sabak. Benih pokok pisang ini dikatakan dibawa oleh Orang laut yang menetap di kampung Sabak (Melaka). Kelompok Orang Laut yang berhijrah secara besar-besaran sehingga sampai di petempatan baru di Borneo Utara menamai tempat baru mereka dengan Sabak sebagai mengingati kampung halaman yang jauh di mata. Pada akhirnya dalam proses yang agak lama, sebutan Sabak ini berubah perlahan-lahan menjadi Sabah sebutan yang kekal sehingga hari ini.
Cerita lucu dengan watak Si Pusung begitu popular dalam masyarakat Suluk dan Bajau Pantai Timur(Semporna, Tawau, Kunak dan Lahad Datu). Watak Si Pusung mewakili golongan rakyat biasa yang dapat menewaskan serta memperolokkan golongan atasan yang diwakili oleh Raja dan puterinya. Pada beberapa segmen dalam rangkaian Cerita Si Pusung, motif Si Pusung membodohkan dan memperolokkan Raja begitu ketara dengan menyelitkan penghinaan berbau seks terhadap golongan ini. Tidak jauh bezanya dengan dan koleksi cerita Awang(Brunei) dan cerita Lawis Busul serta Yanakanak om Yongkor/Bongkoron(Dusun).
Setiap suku kaum mempunyai tokoh legenda mereka dan sanjungan terhadap tokoh tersebut ditunjukkan dengan cerita-cerita seperti berikut: Monsopiad(Dusun), Antanom(Murut), Sigunting(Rungus), Sharif Osman (Brunei), Mat Salleh (Bajau/Suluk), Bantugen(Iranun). Dalam kalangan masyarakat Bajau dan Iranun, di Kota Belud cerita Balan-Balan adalah kisah hantu yang sangat popular. Ia amat berfungsi untuk memberi pengajaran kepada anak-anak supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja. Bagi masyarakat Bisaya dan Brunei yang kebanyakannya mempunyai aktiviti ekonomi berasakan maritim memiliki cerita Galap iaitu kisah hantu air yang menyerang mangsanya ketika manusia sedang asyik berhibur, berseronok bermain di tepian pantai.
Di Sabah, setiap suku kaum mengidentifikasikan pantun dengan menggunakan dialek daerah masing-masing, sebagaimana klasifikasi yang dilakukan oleh Lokman Abdul Samad(2007). Bagi kaum Bisaya di Beaufort/ Kuala Penyu, pantun dikenali sebagai badaop/badaup. Pantun Bajau di Kota Belud, dikenali sebagai kalang dan isun-isun manakala Melayu-Brunei di Papar, Membakut, dan Bongawan, menamakan pantun sebagai dondang atau badundang yang diungkapkan secara berbalas-balas. Ada pendapat yang menyatakan bahawa Iranun di Kota Belud, menamakan pantun yang dilagukan sebagai bayuk, manakala pantun yang diperdengarkan tanpa iringan muzik dikenali sebagai bpantun. Dalam kalangan kaum Dusun, pantun dikenali sebagai sundawil, dan jika pantun tersebut diungkapkan secara berbalas-balas dipanggil sebagai tala-ala. Namun, pantun dalam subetnik Dusun Kimaragang di Tandek, lebih dikenali sebagai bo’or. Kebanyakan kaum Rungus di Kudat, merangkumkan bentuk pantun sebagai bbahul, sementara bagi komuniti Murut di Tenom, menamakan pantun sebagai langkut-langkut. Orang Sungai di daerah Sandakan dan Pitas, mengidentifikasikani pantun sebagai lingkoko. Orang-orang Suluk di Sabah mempunyai bentuk pantun yang dinamakan sebagai Sangbai atau kalang. Kaum Kedayan yang merujuk pantun sebagai pantun atau sabut-sabutan (walaupun kebanyakannya merujuk teka-teki). Orang Cocos yang majorotinya terdapat di Tawau mengenal pantun yang dinamakan selong. Pantun dalam setiap kaum di Sabah belum lagi dikaji secara menyeluruh. Sebagaimana kewujudan bentuk pantun dalam kaum Idahan, Lundayeh, Dusun Bonggi, Bugis, Tidung, Banjar, dan beberapa kaum lagi, hampir keseluruhan pantun di Sabah disampaikan dalam bentuk nyanyian atau lagu. Kebanyakan pantun diberikan irama dan dinyanyikan dalam bentuk isun-isun sambil diiringi dengan petikan biola. Begitu juga ketika persembahan tarian berunsai yang diiringi dengan nyanyian berbalas pantun yang lebih dikenali sebagai kalang runsai. Sejenis pantun yang dilagukan dikenali sebagai lalangkut digunakan untuk mengiringi tarian lansaran dalam tradisi kaum Murut. Bayuk iaitu sejenis pantun empat kerat dalam tradisi kaum Iranun digunakan untuk mengiringi tarian tinubau. Selain pantun, genre mantera agak menarik perhatian juga kerana bagi setiap masyarakat di Sabah mereka memiliki sejumlah mantera yang agak banyak, namun ternyata mereka berkongsi istilah pugai bagi merujuk sejenis mantera pengasih atau pemikat. Dalam kalangan masyarakat Dusun teka-teki adalah sejenis puisi rakyat yang berkait rapat dengan pantang larang tertentu. Sundait (teka-teki) Dusun dan Rungus tidak boleh dituturkan semasa musim gumamas atau merumput, dikatakan bahawa jika diingkari roh semangat padi akan lari. Lain pula halnya dengan antuka’(iranun), taka-takaan(Brunei) teko-tekodon(Bajau) sendait (Tidung), sabut-sabutan(Kedayan) fungsi teka-teki lebih berunsurkan permainan kata untuk menghiburkan dan menduga akal kanak-kanak. Untuk melestarikan nilai-nilai kekitaan dan kebersamaan, peribahasa turut memainkan peranannya dalam setiap suku kaum di Sabah. Dalam masyarakat Bajau mereka berpegang pada falsafah mangan nyak mangan asalnya ngurung-ngurung, bermakna makan tidak makan yang penting dapat bersama-sama berkumpul. Untuk mendidik tabiat berbelanja berhemat, suku Brunei menerusi parambahan menasihatkan anak-anak mereka agar jangan jadi seperti kaya-kaya Bajau yang bermakna membelanjakan kesemua wang yang mereka ada tanpa ada keinginan untuk menyimpan buat bekal kemudian hari.
Usaha Memperkasa dan Melestarikan
Folklor Sabah semakin menghilang pada setiap hari sejajar dengan para pembawa aktif iaitu golongan tua yang mahir dengan tradisi lisan, semakin uzur dan telah ramai yang meninggal dunia. Dalam konteks penurunan tradisi lisan ini dalam segmen individu[keluarga], kemahiran yang dimiliki sama ada berpantun atau bercerita tidak sempat diturunkan kerana dorongan untuk melestarikannya tidak mendapat sambutan daripada kalangan generasi muda. Bagi menyelamatkan keadaan, harapan terakhir, terpaksa dipikul oleh organisasi yang dijana oleh wang rakyat iaitu institusi kerajaan seperti, Dewan Bahasa dan Pustaka, cawangan Sabah(DBPCS), Universiti Malaysia Sabah(UMS), Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, serta Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Sabah. Boleh dikatakan hampir tidak ada langsung sumbangan oleh persatuan penulis Sabah dalam konteks pemerkasaan folklor. Ada kemungkinan kerja penelitian bahan folklor memerlukan kesungguhan, penguasaan ilmu [metode, rakaman, pengumpulan, transkripsi dan analisis] di samping menuntut minat kerana kecenderungan persatuan penulis Sabah lebih mementingkan sastera moden [karya kreatif]. Tambahan pula, tidak ada anugerah(penghargaan) bagi para peneliti, pengamal atau tokoh-tokoh pejuang folklor berbanding penghasilan puisi,cerpen, novel atau drama yang secara tradisinya dihakimi dalam Anugerah Hadiah Sastera Sabah.
Agak istimewa di Sabah, setiap suku kaum bumiputera Islam mempunyai persatuan yang sepatutnya bertindak, memperkasa warisan budaya tradisi tetapi malangnya kelompok berpersatuan lebih bermotifkan politik, menebalkan kesukuan masing-masing seperti Persatuan Brunei, Bugis, Bajau, Sungai, Bisaya, Iranun dan sebagainya lagi. Tetapi tidak satu pun dapat menandingi kemajuan yang dicapai oleh suku Kadanzandusun dalam melestarikan serta mempopularkan folklor mereka. Kejayaan ini terletak pada usaha mereka yang berterusan dan sistematik di bawah bumbung Kadazan Dusun Culture Association (KDCA) yang diterajui oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan. Oleh itu, tidak menghairankan sumazau seakan menjadi identiti, tarian rasmi negeri Sabah hasil gerak kerja pasukan KDCA.
Komitmen DBCS dalam menobatkan folklor Sabah dalam pelbagai wadah sejak tahun-tahun kebelakangan ini , mulai memberi kesan yang menggalakkan, kerana sebelum ini kegiatannya lebih tertumpu pada dokumentasi yang diterbitkan semula dalam bentuk teks bertulis. Menyanyikan semula lagu rakyat Sabah tanpa henti selama 24 jam bukan sekadar memberikan dimensi baru untuk melestarikan folklor Sabah tetapi DBPCS telah membangkitkan semula apresiasi masyarakat dengan menyeret sama penglibatan pengamal, pendukung, peminat folklor serta segelintir ahli politik Sabah untuk menghargai folklor mereka. Terutama sumbangan secara moral oleh YB Mohd Arifin Arif, ADUN Membakut merangkap ahli lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang mahir berpantun serta berminat mengumpul mengkaji folklor suku Brunei.
Pada tahun 2007, DBCS telah mengadakan marathon pengucapan Sendait dan Syair, yang telah mencetuskan momentum nostalgia untuk semua pihak di Sabah bangkit mempertahankan tradisi folklor leluhur mereka yang semakin mengecil dan menghilang pendukungnya. Bermula pada tahun 2008, DBCS telah memberikan fokus yang jelas untuk memartabatkan tradisi folklor dengan mengadakan peruntukan khusus untuk kajian penyelidikan dan penerbitan bahan-bahan folklor. Pertandingan penulisan semula cerita rakyat Sabah adalah usaha terbaru tanda keprihatinan DBCS dalam melestarikan dan memperkasa folklor.
Kesimpulan
Hanya jauhari yang mengenal manikam dan tidak semua kelompok masyarakat di Sabah mahu menghargai khazanah leluhur mereka. Oleh demikian, kita memerlukan lebih ramai pengkaji dan peneliti folklor daripada luar negeri ini untuk turut sama membongkar dan mengetengahkannya ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru itu, kerja-kerja penyelidikan ini perlu diberikan bantuan dana dan teknikal untuk menjana kajian yang lebih efisien, berkualiti dan berfaedah. Atau sekurang-kurangnya Sabah memerlukan sebuah badan khusus untuk mentadbir kerja-kerja pengumpulan dan pengkajian folklor negeri ini, sebelum ia pupus di telan zaman. Sebelum terlambat kerajaan negeri wajar memberi penghargaan untuk tokoh-tokoh folklor seperti Hj Shaiddin Hashim(Kota Belud) seorang pakar isun-isun yang sudah agak uzur tetapi masih tebal kecintaannya pada budaya tradisi Bajau. Begitu juga dengan Pengiran Hj Abdul Rahman(Bongawan) tokoh dundang Brunei yang tidak pernah menolak undangan untuk badundang walaupun tidak menerima sebarang bayaran. Sekadar menyebut dua orang tokoh yang sebenarnya lebih daripada itu, maka sebagai seniman rakyat yang banyak menyumbang pelestarian warisan budaya Sabah dan masih aktif berkarya, tidak ada salahnya kerajaan negeri memberi anugerah tertinggi bagi mengiktiraf mereka. Selain itu menyedari kekurangan minat membaca masyarakat Malaysia yang relatif rendah, bahan-bahan folklor yang siap didokumentasikan wajar diperluaskan wadah penyampaiannya menerusi audio visual, seperti penerbitan filem pendek (telemovie) terutama berbentuk animasi. Tradisi lisan atau folklor Sabah yang pelbagai bentuk terhasil daripada aneka pecahan suku kaum adalah satu aset bagi negeri ini untuk menjadi produk pelancongan yang berharga selain tarikan kepelbagaian alam semula jadi.
Rujukan
James Danandjaya.1984. Folklor Indonesia. Jakarta.
Rita Lasimbang. 1999. kadazan Folklore. Kota Kinabalu: Natural Publications(Borneo)
Sdn. Bhd.
Lokman Abdul Samad. 2007. Motif dalam Pantun Sabah. Jurnal Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.












0 comments:
Catat Ulasan