PANTUN CERMIN ORANG MELAYU
oleh
lokns@yahoo.com
Bukan lebah,sebarang lebah
Lebah hinggap di cucuran atap
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah hamba mohon bercakap
Minta daun diberi daun
Dalam daun buah bidara
Minta pantun diberi pantun
Dalam pantun ada bicara
MUKADIMAH
Pantun ialah sastera lisan yang dicipta oleh orang Melayu . Selain pantun, perbilangan,teka-teki, syair, seloka dan gurindam juga terkandung di dalam khazanah puisi Melayu tradisional. Kita dapat memahami masyarakat lama dengan lebih mendalam apabila kita mengkaji dan menghayati warisan masyarakat seni sastera leluhur Melayu ini.
Pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun, orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai-bagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang menarik dan indah. Pantun mempunyai berbagai fungsi dan tujuannya dan lazimnya, leluhur Melayu menggunakan pantun dengan tujuan untuk mendidik anak-anak serta memberi nasihat yang berguna kepada mereka. Pantun biasanya dituturkan dengan cara balas membalas. Ini menyebabkan pantun diminati ramai oleh orang Melayu kerana cara ini meransang fikiran di samping ia mewujudkan kemeriahan suasana, sebagaimana dalam majlis keramaian.
Secara ringkas, pantun sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri di samping kaya dengan khazanah warisan masyarakat Melayu lama.
LATAR BELAKANG PANTUN
Pantun adalah penghasilan karya seni atau sastera masyarakat Melayu yang masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat kontemporari. Sebagai satu genre sastera yang popular sudah tentu ia mempunyai keunikan dan keistimewaan. Keunikan pantun kerana ia wujud dalam masyarakat Melayu di Nusantara dengan panggilan yang berbeza-beza. Dalam masyarakat Bisaya pantun dikenali sebagai Badaub. Bagi masyarakat Bajau, pantun difahami sebagai Isun-isun dan Kalang, bentuk Bayuk Iranun mempunyai persamaan dengan pantun. Bagi masyarakat Melayu Brunei, pantun lazimnya dilagukan dalam berbagai gaya seperti dondang dan indung anak.
Selain terdapat dalam dunia Melayu di Nusantara, bentuk pantun turut menarik minat peneliti dan pengkaji Barat. Dalam sastera Perancis pantun dikenali sebagai pantoum atau pantoun. Menurut Rene Daille(1990)
“…pantoun atau pantoum fixed form poem, borrowed from Malay poetry by the french Romanticists. The pantun was introduced into our poetry by Victor Hugo and Theophile Gautier and taken over by Budelaire and leconte di lisle”.
Selain bentuk pantun, terdapat juga bentuk haiku iaitu puisi tradisi Jepun yang mengundang sambutan yang hebat di Perancis dan Amerika. Sehubungan itu, bentuk pantun dikenali dengan istilah pantoum dan haiku setelah bertapak di negara terbabit.
Apabila membicarakan tantang pantun yang tersebar di benua Eropah dan Amerika, sudah tentu pantun mempunyai nilai estetik yang tinggi. Justeru itu, latar belakang penciptaan pantun Melayu dipercayai bermula dengan pantun dua kerat. Pantun yang paling mudah dicipta ialah pantun dua kerat. Menurut Zaba “Pantun menghadapi proses perkembangannya bermula daripada bentuk dua kerat.” Contohnya, sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula. Selalunya pantun jenis ini mempunyai unsur jenaka tetapi kaya dengan kiasan atau sindiran, ia juga mempunyai unsur nasihat. Di antara bentuk-bentuk pantun, pantun empat keratlah yang paling diminati ramai. Pantun empat kerat terdiri daripada pantun nasihat, pantun adat, pantau perantau, pantun budi, pantun agama, pantun kiasan, pantun kepahlawanan dan pantun jenaka. Hal ini kerana pantun yang bermutu memiliki ciri-ciri semantik (pemaknaan) yang menarik. Selalunya gambaran alam menjadi penghias pada pantun-pantun yang romantik.
PERLAMBANGAN PANTUN
Perlambangan atau penggunaan simbol, merupakan salah satu unsur kebijaksanaan orang Melayu dalam menyampaikan hasrat hati mereka secara berkias. Peribahasa Melayu menyatakan, kalau kerbau tahan palu sedangkan manusia tahan kias. Justeru itu, pernyataan rasa hati diselindungkan dengan pemakaian lambang flora dan fauna, sebagai mewakili perkara yang ingin dinyatakan secara tersirat. Oleh demikian, dalam pantun tradisi terdapat pemakaian lambang seperti ayam, puyuh, kerbau, kucing,gunung,laut,dan sebagainya lagi. Contoh perlambangan dalam pantun adalah seperti :
Tabtibau puyuh padang,
Hilang pisau berganti parang.
Dalam konteks pantun di atas pisau dan parang merupakan aspek lambang. Pemilihan kata terbabit membawa maksud yang mudah difahami, iaitu sesuatu yang hilang itu akan digantikan dengan yang lain. Ini adalah contoh nasihat agar kita tidak menyesali sesuatu kehilangan (Rahman Shaari,1991.)
Dalam konteks yang lain, orang Melayu cuba menerapkan nilai merendahkan diri menerusi pantun. Oleh kerana sikap angkuh, menunjuk-nunjuk, menonjolkan diri adalah ditolak sama sekali dalam budaya masyarakat Melayu. Orang Melayu menganggap apabila seseorang itu menerima pujian tidak sepatutnya ia meninggikan diri dan sikap merendah diri dianggap baik. Contoh pantun yang digunakan untuk melambangkan seseorang itu merendah diri dan bersopan adalah seperti pantun di bawah :
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Jelas dalam pantun di atas, seseorang itu mengatakan yang ia sememangnya merendah diri dan tidak meninggi diri serta memerlukan orang lain memberi tunjuk ajar dan bukannya minta dipuji. Kesimpulannya dalam pantun, diserapkan aspek kesopanan untuk melambangkan budaya Melayu yang bersifat ketimuran dan indah dalam aspek bahasa dan budaya sasteranya.
KEUNIKAN PANTUN
Ada beberapa sebab mengapa kita perlu mempelajari pantun. Diantaranya ialah:
Mengetahui dengan lebih mendalam tentang takrif, makna, jenis, unsur atau lambang, asal usul pantun dan ciri-ciri tersirat yang terkandung dalam pantun.
Pantun merupakan komunikasi yang menyampaikan rasa hati tanpa berterus terang dan berbias, sebab itulah adanya pembayang dan makna yang sesuai bagi sikap orang Melayu yang takut menyinggung perasaan orang lain.
Pantun berkait dengan sikap orang Melayu yang takut berterus terang dan dianggap sebagai rasa rendah diri. Jadi pantun digunakan sebagai medium perantaraan untuk menyatakan hasrat hati seseorang itu.
Ia digunakan sebagai medium bagi golongan bawahan atau rakyat tempatan untuk hiburan seharian.
Pantun digunakan dalam kegiatan rasmi seperti dalam dondang sayang di Melaka.
Mempelajari pantun dengan lebih mendalam membolehkan kita mengetahui unsur kekayaan di dalam pantun yang melambangkan kebudayaan dan ketinggian orang Melayu.
Pantun digunakan sebagai medium kritikan masyarakat bawahan kepada golongan pemerintah misalnya dalam masyarakat Melayu tradisi konsep daulat dan derhaka begitu dominan sekali dan anggapan penderhakaan rakyat adalah melalui ‘bias’ pemerintah. Oleh itu kritikan terang terangan adalah tidak relevan dalam masa tradisi. Maka, penggunaan pantun sesuai sebagai satu wadah penyampai maklumat ini secara tidak langsung. Contohnya
Telur itik dari Singgora
Bandar tersandar di batang tui,
Darahnya titik si Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.
CIRI-CIRI PANTUN
Harun Mat Piah(1989) menyatakan tentang pantun yang lengkap dibentuk dalam beberapa komponen atau bahagian. Tambah beliau, pantun terdiri daripada 4 baris ayat, tiap – tiap satu ayat mengandungi antara 2 atau 3 suku kata. Setiap suku kata akhir pada ayat baris pertama sama dengan bunyi ayat akhir baris ke – 3. Demikian juga pada suku kata ayat baris ke – 2 dengan suku kata ayat baris ke – 4. Secara ringkasnya komponen pantun terdiri daripada :
i. Pembayang / sampiran
Merupakan bahagian awal dalam setiap pantun. Misalnya di dalam pantun 2 kerat serangkap, baris mula ialah pembayang atau sampiran. Pembayang ini untuk memberi persamaan bunyi dan kadang – kadang bayangan kepada maksud.
ii. 4 perkataan.
Lazimnya dalam sesebuah pantun terdapat 3 atau 4 perkataan pada setiap baris.
iii. Suku Kata
Setiap patah perkataan mengandungi antara 2 atau 3 suku kata. Setiap baris mengandungi antara 8 hingga 12 suku kata.
iv. Maksud atau isi
Ini merupakan bahagian yang terpenting. Ia tersirat dengan apa yang hendak disampaikan oleh si pemantun. Bahagian ini merupakan yang terakhir dalam sesebuah pantun. Bagi pantun 4 kerat serangkap, maksud ini tersirat di dalam 2 baris yang akhir iaitu baris ke – 3 dan ke – 4.
v. Rima
Rima merupakan persamaan bunyi. Dalam pantun 4 kerat rima akhir baris pertama mesti di samakan. Kadang kala terdapat pantun yang mengandungi rima tengah.
Ciri – Ciri pantun yang baik
Buah langsat kuning mencelah, -a
Kenduduk tidak berbunga lagi, -b
Sudah dapat gading bertuah, -a
Tanduk tidak berguna lagi. -b
a) 2 baris mula merupakan pembayang
Buah langsat kuning mencelah,
Kenduduk tidak berbunga lagi
b) 2 baris akhir iaitu baris ke – 3 dan ke – 4 ialah maksud atau isi.
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
c) Mengandungi 4 perkataan sahaja dalam setiap baris.
Buah / langsat / kuning / mencelah,
Kenduduk / tidak / berbunga / lagi,
Sudah / dapat / gading / bertuah,
Gading / tidak / berguna / lagi.
d) Mengandungi 8 hingga 12 suku kata.
Bu / ah lang / sat ku / ning men / ce / lah,
Ken / du / duk ti / dak ber / bu / nga la / gi,
Su / dah da / pat ga / ding ber / tu / ah,
Tan / duk ti / dak ber / gu / na la / gi.
e) Terdapat persamaan rima sama ada di tengah atau akhir suku kata.
Buah langsat kuning mencelah,
Kenduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
JENIS PANTUN
Jenis pantun dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu bentuk, tema dan khalayak. Contoh bagi khalayak adalah seperti di bawah iaitu kanak-kanak, orang muda dan warga tua. Dari pecahan terbabit terdapat bentuk dan temanya yang bersesuaian.
1. Pantun berunsurkan keanak-anakan menerangkan keadaan jiwa kanak-kanak selalunya riang, mereka suka bermain dan berkawan. Pantun-pantun jenis ini sudah tentu berdasarkan keadaan-keadaan yang demikian juga. Adakala isi pantun itu berisi teka-teki dan lawak jenaka.
Contoh: Pantun yang menunjukkan keriangan.
Anak kera pandai meniti,
Anak helang disambar helang,
Tidak terkira besarnya hati,
Melihat ibu sudah pulang.
2. Pantun orang muda. Alam kehidupan orang muda-muda kaya dengan perasaan, fikiran-fikiran dan pengalaman mereka agak lebih daripada kanak-kanak. Jiwa mereka diliputi rasa suka, duka, kasih sayang, rindu dendam, rasa ingin merantau ke negeri orang untuk meluaskan pengetahuan, pengalaman dan mencari bekalan hidup sering bermain dalam jiwa mereka. Segala dilukis dalam pantun kasih sayang, sedih dan duka, hiba pilu dan rawan.
Contoh: Pantun kasih sayang
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih kulurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kekasih saya turutkan
Contoh: Pantun perpisahan
Burung bayan di atas kota,
Mati dipanah dewa sakti,
Lemah rasanya seluruh anggota,
Berpisah dengan pujaan hati.
Contoh: Pantun dagang
Kajang tuan kajang melipat
Kajang hamba mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
Dagang hamba terbuang lalu
Contoh: Pantun kehibaan hati
Orang membajak dengan kerbau,
Kerana hendak menanam padi,
Di dalam hatiku risau,
Kerana hati aku turuti.
Contoh: Pantun ketabahan hati
Anak haluan dalam telaga,
Lalu disambar burung merpati,
Walau tuan ke mulut naga,
Kerana kasih aku turuti.
Contoh: Pantun sindiran
Pagi-pagi mengail siput,
Kalau tenggelam jatuh ke pamah,
Sepandai-pandai tupai melompat,
Adakalanya jatuh ke tanah.
Contoh: Pantun jenaka
Pokok pinang patahnya condong,
Dipukul ribut berhari-hari,
Kucing berenang tikus berdayung,
Ikan di laut berdiam diri.
3. Pantun orang tua. Pantun orang tua lebih merupakan pantun nasihat, pantun ilmu atau pantun agama. Mereka telah lama hidup dan mempunyai pengalaman hidup yang luas. Mereka juga menempuh berbagai-bagai kesusahan dan pancaroba seperti berbagai-bagai lurah dan gaung dituruni, bukit-bukit bukau sudah didaki, samudera sudah diharungi.
Contoh: Pantun nasihat
Anak ayam terkudik-kudik
Terkudik-kudik di bawah lada
Anak dara orang jangan diusik
Kalau diusik pecah kepala
Contoh: Pantun adat
Pantun ini digunakan di dalam upacara tertentu seperti meminang,
perkahwinan atau majlis lain yang normal.
Laksamana berbaju berbesi,
Masuk di hutan melanda-landa,
Hukum berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.
Contoh: Pantun kiasan
Pantun untuk menyindir secara halus
Kemuning di tengah balai,
Bertumbuh semakin tinggi,
Berunding dengan orang tak pandai,
Sebagai alu pencungkil duri.
4. Pantun Kontemporari
Contoh: Pen merah pen biru
You marah I love U
Hidup mesti power
Maruah mesti cover
TEMA PANTUN
Tema pantun merupakan pecahan daripada jenis pantun. Pantun biasanya mempunyai tema berkaitan dengan kehidupan. Antaranya adalah seperti di bawah;
Pantun budi:
Buah pedada dalam baldi,
Masak nasi hari petang,
Hidup kita biar berbudi,
Hingga mati dikenang orang.
Pantun Nasihat:
Limau purut tumbuh di hutan,
Asam paya batang berduri,
Jangan diturut hati bersetan,
Rosak celaka menimpa diri.
Pantun Pendidikan:
Tetakkan parang ke dahan sena,
Belah buluh taruhkan temu,
Sebarang kerja takkan sempurna,
Bila tidak menuntut ilmu.
Pantun Agama:
Asalnya kandis buah gelugur,
Masak sebiji di pintu pagar,
Duduk menangis di pintu kubur,
Terkenang di dunia tidak belajar.
Pantun Peribahasa:
Dalam semak ada duri,
Ayam kuning buat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Bagai anjing dengan bayang-bayang.
Pantun Percintaan:
Dari mana punai melayang,
Dari sawah turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.
Pantun Falsafah
Penakik pisau si raut
Ambil galah batang lintabung
Yang setitik jadikan laut
Yang sekepal jadikan gunung
Pantun Erotik
Di mana Kuang hendak tidur
Di atas batu di ruang lata
Di mana abang hendak tidur
Di atas susu di ruang dada
Sakit kaki di tikam jeruju
Jeruju ada dalam paya
Sakit hati memandang susu
Susu ada dalam kebaya
Tanam padi di bukit Jeram
Tanam keduduk atas batu
Macam mana hati tak geram
Menengok tetek menolak baju?
Pantun Sindiran
Ke teluk sudah, ke Siam pun sudah
Ke Mekah saja saya yang belum
Berpeluk sudah bercium pun sudah
Bernikah saja saya yang belum
BENTUK-BENTUK PANTUN
Pantun dua kerat (dua baris serangkap):
Contoh:
Paku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.
1. Pantun empat kerat merupakan bentuk pantun yang digemari oleh orang-orang Melayu hari ini kerana senang dicipta dan sedap pula bunyi sebutannya. Oleh itu banyaklah pantun empat kerat digunakan orang. Contoh:
Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa,
Ajaran guru hendaklah dicari,
Mana yang dapat janganlah di lupa.
2. Talibun ialah pantun 6 kerat,8 kerat, 10 kerat, 12 kerat Dan 14 kerat serangkap. Masyarakat m
3. layu pada hari ini jarang menggunakan talibun. Ini ialah kerana talibun kurang digemari melainkan dikalangan ahli-ahli bahasa sahaja yang menghargai bentuknya. Talibun boleh didapati dalam Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung dan lain-lain.
Contoh:
a. Pantun enam kerat
Kota Luhut tempat semayam,
Raja Haji datang mengepung,
Banyak pendita ikut bersama,
Jangan ikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung,
Mengagungkan bukti sebesar nama.
b. Pantun lapan kerat.
Nenek-moyang kita juga dapat mencipta pantun lapan kerat yang indah susunannya. Contoh pantun lapan kerat:
Permata jatuh ke rumput,
Jatuh ke rumput berbilang-bilang,
Ditempuh dilanda jangan,
Rumput pahit bersela,
Dari mata tidaklah luput,
Di mata tidak mahu hilang,
Siang menjadi angan-angan
Malam menjadi mimpi pula.
c. Pantun sepuluh kerat
Turun hujan hari dah petang,
Bunga Mawar tumbuhnya subur,
Ditiup angin habis tunduk,
Dipetik jangan dicabutkan,
Tanama Puteri dari Jawa,
Sudah habis rokok sebatang,
Telah punah sirih sekapur,
Pasar sudah tempat duduk,
Penatlah sahja menantikan,
Buah hati tak muncul jua.
d. Pantun dua belas kerat
Anak jintanya dari hulu,
Disambar ombak cina,
Dibawa terbang ke perahu,
Dibawa merahap dilandasan,
Turun minum ke muara,
Anak ikan berkeliaran,
Kamilah tahu dari dahulu,
Adik jauhari bijaksana,
Membuhul tidak membeku,
Mengulas tidak mengesan,
Meratap langit dengan bicara,
Bumi tak keterisan.
e. Pantun empat belas kerat
Rotan sepatah dua patah,
Tarik kerakap batang padi,
Dibawa Sultan dari Judah,
Padi jangan digempakan,
Kalau gempa antara gugur,
Bila gugur masuk perigi,
Disitu tanamkan pula,
Tuan di Mekah dan di Madinah,
Naik akhirat batu Haji,
Tegak berdiri Rasullulah,
Kami juga dilupakan,
Kalau lupa antara tidur,
Dalam tidur menjadi mimpi,
Jika terbangun diikat pula.
4. Pantun berkait pantun jenis ini dinamakan berkait kerana ia dikaitkan dari serangkap ke serangkap dalam beberapa rangkap yang berturut-turut dengan cara diulang balik pembayang dan maksud akhir dalam setiap rangkap. Contoh pantun berkait seperti berikut:
Lebah terbebar tebang sekawan,
Hinggap dicelah kayu berduri,
Alangkah cabar rupamu tuan,
Dagangan indah tidak terbeli,
Hinggap dicelah kayu berduri,
Kepayang tumbuh didalam dulang,
Dagangan indah tidak terbeli,
Sayang sungguh nyawanya hilang.
Kepayang tumbuh di dalam lubang,
Burung merpati terbang sekawan,
Sayang sungguh nyawanya hilang,
Tidak seperti Raja pahlawan.
Hikayat Indera Mengindera
FUNGSI PANTUN
Pantun digunakan untuk berbagai-bagai fungsi dan di dalam berbagai-bagai
keadaan. Antara kegunaan pantun adalah:
1. Di dalam sosialisasi (mendidik) seperti untuk tujuan menasihat atau membentuk moral yang lebih baik di kalangan kanak-kanak atau orang muda misalnya pantun nasihat.
2. Untuk melepaskan rasa kasih sayang dan rindu dendam terutamanya di kalangan orang muda.
3. Untuk sindiran dan tempelak.
4. Untuk menyatakan terima kasih atau penghargaan terhadap budi atau jasa yang ditaburkan.
5. Untuk mencabar ketangkasan fikiran misalnya dalam pantun teka-teki.
6. Di dalam istiadat yang formal seperti dalam upacara peminangan dan lain-lain.
7. Untuk menekankan pendapat dan menjelaskan maklumat kegunaan ini sangat berkesan apabila berhujah supaya pendapat menjadi lebih berasas.
8. Di dalam nyanyian rakyat dan berbalas pantun, ia digunakan bukan sahaja untuk memperlihatkan isi pemikiran tetapi juga untuk hiburan.
KHATIMAH
Sesungguhnya pantun, adalah milik Melayu asli yang dapat menyerlahkan akalbudi dan kebijaksanaan Melayu. Secara keseluruhan pantun diciptakan berdasarkan kebijaksanaan Melayu dalam memanfaatkan unsur alam untuk dimangkinkan pemikiran dalam pantun. Dalam pantun terserlah worldview Melayu terutama dalam memasukkan unsur binary atau berpasangan yang memperlihatkan struktur batin atau ghaib dalam budaya Melayu. Unsur berpasangan ini, dapat dilihat daripada aspek fizikal pantun yang dibina dengan struktur dua baris pembayang dan dua baris maksud yang membawa pertentangan bunyi rima, iaitu bunyi (a) dipasangkan dengan bunyi (b). Menerusi aspek tema, terdapat pantun yang menyarankan perkara yang positif dan dalam bentuk lain terdapat pantun yang menolak nilai negatif dalam budaya Melayu. Oleh demikian, unsur berpasangan sepertimana dalam pantun mencerminkan keunggulan sarjana Melayu dalam melahirkan pemikiran, falsafah, pendidikan dan amanat dalam kondisi yang estetik. Maka benarlah pendapat sarjana Barat seperti Winstedt dan Wilkinson, seseorang itu belum lengkap mengenal orang Melayu selagi ia tidak memahami dan mengkaji pantun Melayu. Bahawasanya pantun adalah manifestasi kebijaksanaaan Melayu dan pantun adalah cermin orang Melayu.
DAFTAR BACAAN
Harun Mat Piah.1989. Puisi Melayu Tradisional : Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.
Ismail Hamid. 1987. Sastera Rakyat Satu Warisan. Fajar Bakti : Petaling Jaya.
Rahman Shaari. 1991. Lukisan Zaman. Marwilis Publisher dan Distriburor Sdn. Bhd : Selangor.
Francois-Rene Daille.1990. Alam Pantun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Wahyunah Hj. Abd. Ghani dan Mohd. Shaidan.2000. Puisi Melayu Berunsur
Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Khamis, 28 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)












1 comments:
salam,,sy nak kopi test tuan ckt leh? mintak halal ye?..k,tQ
Catat Ulasan