SANG KANCIL
Kisah binatang kecil tapi bijak perdaya haiwan besar dalam sastera Melayu
Oleh
Dr Liaw Yock Fang
DALAM sastera Melayu klasik, terdapat empat jenis cerita tentang binatang.
Pertama, cerita asal-usul yang sudah dibicarakan dalam ruangan ini pada minggu-minggu lalu.
Kedua, dongeng fabel (fable), iaitu cerita binatang yang mengandungi pengajaran hidup bagi manusia.
Ketiga, cerita epik binatang iaitu rangkaian sejumlah cerita yang mandiri menjadi satu kesatuan.
Keempat, cerita bingkai yang akan dibincangkan di ruangan selanjutnya.
Di bawah ini akan saya bincangkan cerita binatang yang bersifat epik.
Dalam cerita binatang yang bersifat epik, biasanya ada seekor binatang yang memainkan peranan penting.
Binatang itu biasanya kecil dan lemah, tetapi dengan menggunakan kecerdasannya, ia dapat memperdayakan binatang-binatang lain yang lebih besar sehingga akhirnya menjadi syah (raja) di hutan.
Seluruh binatang di hutan rimba tunduk kepadanya.
Dalam sastera Melayu dan Jawa, binatang itu ialah sang kancil, sejenis binatang pemakan tanaman yang pantas larinya, berbadan langsing.
Kaki depan kancil lebih pendek daripada kaki belakang. Bulunya pula berwarna coklat kemerah-merahan.
Lain Daerah Lain Binatang
Ada beberapa jenis binatang yang disebut sebagai kancil.
Jenis sang kancil yang lebih besar saiznya dikenali juga sebagai pelanduk.
Lain daerah lain binatang yang memainkan peranan.
Di daerah Sunda, misalnya, binatang itu ialah kura-kura.
Di Campa dan Annam (Vietnam sekarang), binatangnya ialah arnab.
Cerita binatang epik di dalam bahasa Melayu yang diwakili pelanduk/kancil itu mengalami tiga tingkat perkembangan.
Pada tingkat pertama, pelanduk adalah seekor binatang kecil yang selalu terancam kehidupannya.
Hanya dengan menggunakan akal, ia dapat terus hidup dan memperdaya banyak binatang lain yang lebih besar dan gagah.
Pada tingkat kedua, pelanduk sudah menjadi Tok Hakim di Rimba.
Menteri Nabi Sulaiman
Binatang yang cerdik itu kemudian menjadi menteri Nabi Sulaiman yang bertugas menyelesaikan pertikaian yang berlaku antara manusia dengan manusia atau binatang dengan binatang.
Pada tingkat ketiga, sang kancil atau pelanduk itu sudah menjadi Syah (Raja) di Rimba dan menghukum segala binatang yang tidak tunduk kepada perintahnya.
Hikayat Sang Kancil adalah cerita pelanduk dalam awal perkembangannya.
Hikayat ini bermula dengan cerita binatang yang membalas kebaikan dengan kejahatan yang pernah dibincang dalam ruangan ini sebelumnya.
Cerita seterusnya ialah cerita Sang Kancil Menipu Harimau.
Sang kancil ingin memakan daging rusa dan meminta bantuan harimau menangkap seekor rusa untuk dimakan bersama.
Sesudah rusa itu ditangkap, daging rusa yang sepatutnya menjadi bahagian harimau juga dimakan sang kancil.
Harimau yang marah dengan tindakan kancil itu hendak membalas dendam. Namun ia terkena tipu helah sang kancil pula.
Kerana tipu helah kancil, harimau disengat tebuan, termakan tahi kerbau dan lidahnya tersepit buluh sehingga hampir putus.
Demikian juga pinggangnya yang dibelit ular sawa.
Tersebut pula sang kancil hendak memakan buah yang sedang masak ranum di seberang sungai.
Ia meminta buaya-buaya di sungai itu beratur menjadi jambatan supaya ia dapat menyeberangi sungai itu dengan alasan hendak membilang jumlah buaya di dalam sungai dengan titah Raja Sulaiman.
Sang buaya yang kena tipu marah dan hendak membalas dendam.
Pakat Tangkap Kancil
Ada satu peristiwa, kaki sang kancil ditangkap buaya.
Walaupun cemas, sang kancil cuba bertenang. Ia mencari akal. Akhirnya ia memberitahu buaya bahawa yang ditangkap si buaya bukan kakinya melainkan ranting buluh.
Dan buaya pun melepaskan kaki sang kancil.
Oleh kerana berasa marah dan geram kerana selalu diperdaya, sang harimau dan sang buaya bermuafakat hendak menangkap sang kancil.
Jika di darat menjadi rezeki harimau, jika di sungai pula menjadi rezeki buaya.
Pada suatu hari, harimau dan kancil bergaduh dan berpusing-pusing di tepi sungai.
Sang harimau terjatuh ke dalam sungai dan menjadi rezeki/makanan buaya.
Selanjutnya dikisahkan bahawa sang kancil mencari binatang untuk menduga akal.
Mula-mula ia mengajak siput berlumba lari dan dikalahkan.
Kemudian ia bertengkar pula dengan seekor agas (nyamuk kecil) dan tewas juga.
Setelah semua yang dilakukannya itu dan memikir-mikirkannya kembali, sang kancil akhirnya insaf.
Ia mengakui kebesaran Allah dan bertaubat.
Selesaikan Masalah
Setelah bertaubat, ia berkali-kali menyelesaikan masalah hukum yang dihadapi Nabi Sulaiman sehingga dipanggil Tok Hakim di Rimba.
Salah satu perkara yang diselesaikan sang kancil ialah dakwaan seorang saudagar kaya bahawa dua orang anak yatim piatu telah menjadi besar dan gemuk hanya dengan menghirup bau makanan dari dapurnya.
Sang kancil lalu menyuruh kedua-dua anak itu menghitung wang rial di belakang tirai agar saudagar itu mendengarnya.
Kemudian kancil memutuskan bahawa bunyi dentingan itu adalah pembayar bau roti dan lauk yang dihidu kedua-dua anak piatu itu.
Hikayat ini berakhir dengan khutbah yang berbunyi:
'Akal itu adalah teladan yang lebih baik daripada seribu handai sahabat yang bebal lagi bodoh.'
Demikian isi Hikayat Sang Kancil seperti yang diceritakan oleh yang empunya cerita dan dikarang oleh Daeng Abdul Hamid.
Khamis, 28 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)












0 comments:
Catat Ulasan