Khamis, 28 Ogos 2008

bajet 2009

MENGEKANG INFLASI MENGEMPANG EMOSI
donlokns@gmail.com

Ketika harga minyak naik, turut naik ialah barangan keperluan yang nisbahnya semakin tinggi menyebabkan sebahagian besar rakyat naik minyak hingga mengganggu emosi menjadi makin sensitif, cepat marah sampai naik stres. Inilah gambaran senario kehidupan harian rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang semakin terhimpit dan tertekan. Bayangkanlah harga beras biasa(baca:bukan beras wangi) mendadak naik sebanyak RM10 berbanding harga biasa RM19 dan kini dijual dengan harga mencecah RM29 ringgit bagi setiap sepuluh kilogram. Apa lagi yang mampu dijimatcermatkan dengan tahap julat kenaikan harga makanan asasi yang mencanak naik melampaui tahap kemunasabahan?

Secara teorinya kehidupan sosial yang tertekan akan mencambahbiakkan perlakuan negatif seperti penipuan, rasuah, penyalahgunaan dadah, pecah rumah, rompak dan ragut. Jika tidak segera dibendung, impaknya amat buruk dan dijangka berupaya menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara apabila kebejatan sosial semakin menjadi-jadi. Oleh demikian, harapan yang tinggi diletakkan agar bajet 2009 digunakan sebagai senjata, serampang dua mata iaitu bermatlamat mengekang inflasi tetapi juga mengempang emosi. Dengan kata lain bajet 2009 disinonimkan dengan bajet merawat emosi.

Harapan ini bukanlah suatu ilusi. Jika mengambil kira pendekatan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang condong membangunkan nilai-nilai dalaman perwatakan setiap rakyat Malaysia agar seimbang di antara tuntutan materialisme(jasmani) dengan amalan budaya ilmu(rohani). Tekad dan iltizam beliau disuguhkan semasa membentangkan bajet 2005 sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima merangkap menteri kewangan. Intipati ucapan beliau berteraskan gagasan frasa modal insan (human capital) yang bermatlamat membangunkan sumber manusia sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Tanda aras keprihatinan beliau ditunjukkan dengan pecahan sebanyak satu perempat daripada perbelanjaan mengurus dalam tahun 2005 diperuntukan bagi pembangunan modal insan iaitu sebanyak 21.5 bilion ringgit. Peruntukan bagi pembangunan modal insan terus meningkat kepada 33.4 bilion ringit dalam tahun 2007 dan sehingga bajet 2008, kira-kira 42.13 bilion ringgit telah digunakan untuk tujuan pembangunan modal insan. Aspirasi kerajaan untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang berbudaya, bertekad cemerlang, berminda kelas pertama, berilmu dan kukuh rohaninya sangat bertepatan buat masa kini khususnya semasa negara menghadapi gelora tekanan ekonomi akibat kenaikan harga minyak. Justeru adalah dijangkakan bajet 2009 akan terus menokok peruntukan tambahan bagi pembangunan modal insan, terutama dalam menstabilkan jiwa merawat emosi rakyat negara ini.


Sayugia diperingatkan, menghadapi konflik dan tekanan hidup yang memuncak angkara kenaikan harga bahan api, bahangnya perlu ditempuhi biarpun perit kerana selagi nyawa ada di badan, masih bernafas, hidup perlu diteruskan biarpun bagaimana sukar sekalipun. Oleh itu kita amat memerlukan semangat dalaman yang kuat untuk menjadikan kita lebih bijaksana, sabar dan bertenang dalam memikirkan strategi-strategi berkesan semasa menghadapi gelora hari esok yang mendatang. Sejajar dengan itu, kecekalan seseorang individu untuk bertahan menghadapi konflik jiwa dan emosi belum cukup ampuh seandainya tidak mendapat dorongan, galakan, sokongan dan bantuan daripada pihak berwajib.

Dalam membangunkan kualiti hidup seseorang manusia, tiada cara lain yang berkesan selain tanggungjawab pihak berkuasa yang sebagai pengarah (director) bagi menyediakan penawar iaitu melalui dos suntikan budaya ilmu (epistemic culture). Tanpa ilmu seseorang yang mewarisi kekayaan jutaan ringgit boleh menjadi miskin papa kedana dalam sekelip mata. Dengan menguasai ilmu kita sebagai bangsa yang pernah dijajah mampu bersaing bukan sahaja pada peringkat lokal tetapi juga antarabangsa. Pendita Zaaba pernah menyatakan bahawa perkataan miskin atau kemiskinan itu bukanlah bermaksud tiada harta(tidak kaya) tetapi yang lebih mendukacitakan kemiskinan(baca:bangsa Melayu) itu menjadi lebih dahsyat berlaku kerana kemiskinan perangai (rajin,usaha,tekun dan berdikari) akibat tiada minat mencintai ilmu. Konsep kemiskinan yang dikemukakan Zaba bukan sekadar kemiskinan kebendaan(ekonomi) tetapi yang lebih utama merujuk kemiskinan ilmu dengan beliau mengupas kaedah mengatasinya untuk mengeluarkan bangsa Melayu daripada pusaran penghinaan bangsa asing.
Daripada laporan Kualiti Hidup Malaysia 2002 yang diterbitkan oleh Unit Perancang ekonomi, kadar literasi sehingga tahun 2002 adalah sebanyak 93.8%. Rakyat Malaysia membaca secara purata dua buah buku setahun, manakala 79% rakyat Malaysia memilih bahan bacaan ringan seperti suratkhabar dan komik sebanyak 32%. Data sedemikian menunjukkan bahawa kecenderungan minat rakyat Malaysia terarah memilih bahan bacaan ringan iaitu suratkhabar dan majalah berbanding membaca buku. Justeru tahun 2009 diharapkan peruntukan yang lebih besar dapat diagihkan sesuai dengan Dasar Galakan Membaca. Dasar tersebut dirancang bagi memperkukuh pelaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara(pindaan) 1987(Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2)m iaitu “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca”. Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti. Dasar ini bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan bermaklumat berasaskan budaya sains dan teknologi.

Dalam konteks negara menghadapi tekanan inflasi, strategi meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi pembudayaan ilmu menerusi pemupukan tabiat gemar rakyat Malaysia membaca amat dialu-alukan. Selanjutnya kita akan menjayakan Dasar Buku Negara yang telah digubal bagi memastikan pendekatan padu sesuai dengan perkembangan buku untuk mengatasi pelbagai rintangan dalam usaha mewujudkan serta mengembangkan industri buku yang sihat atau aktif sejajar dengan keperluan ilmu yang mesti dibekalkan kepada setiap lapisan masyarakat Malaysia. Matlamat utama dasar ini adalah memastikan supaya buku dalam bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai alat pembangunan fikiran, agenda perpaduan dan alat penyatu kebudayaan sesuai dengan keperluan dan cita-cita negara untuk melahirkan bangsa Malaysia yang harmoni dan kukuh bersatu padu. Terlebih penting daripada itu, dasar buku negara turut berkait rapat dengan proses memperkasa semula kedudukan bahasa kebangsaan sebagai agenda negara. Inilah masa yang amat sesuai sekali terutama dengan menelusuri situasi semasa politik negara yang menunjukkan ketidakyakinan sebahagian besar masyarakat Melayu(terutama luar bandar) yang semakin menaruh syak terhadap kedudukan bahasa Melayu kerana kedaulatannya sudah dicabar dan kedudukannya pula dikesampingkan. Biarpun fasal 152 perlembagaan negara jelas memperuntukan hak dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi hakikatnya secara praktis, penggunaan bahasa melayu dalam situasi rasmi (pendidikan) kian merudum oleh sebab semakin hari nampaknya bahasa Melayu berada pada kedudukan nombor dua di belakang bahasa Inggeris. Maka pihak berautoritatif perlu segera menzahirkan tekad dan iltizam bagi membuktikan bahawa sesungguhnya bahasa Melayu tetap didaulatkan dan sentiasa terpelihara maruahnya dalam semua acara rasmi negara. Tuntutan ini bukanlah bersifat keterlaluan kerana dalam bajet 2005 terdapat peruntukan khas untuk mengembangkan pengajaran bahasa Inggeris dan apa salahnya jika diberikan peruntukan serupa bagi maksud memperkasa kedaulatan bahasa kebangsaan. Bahawasanya setiap rakyat Malaysia yang berjiwa kebangsaan mahu supaya peruntukan pemerkasaan bahasa kebangsan dalam bajet 2009 ditambah atau diberi dana khas untuk menarik semula keyakinanan golongan yang tebal semangat kebangsaannya, pencinta bahasa, nasionalis, guru-guru, cendekiawan dan golongan Melayu luar bandar. Dana tersebut dapat digunakan untuk menyuburkan budaya ilmu terutama yang bersifat penataran ilmu, kegiatan kebahasaan bagi tujuan kempen, penterjemahan, pengajaran dan pembelajaran, seminar, dialog, ceramah, persidangan dan bengkel. Ia mencerminkan sebahagian pembuktian dalil bahawa kerajaan benar-benar serius memperkasa kedaulatan bahasa kebangsaan.

Proses pemartabatan bahasa kebangsaan melalui penerbitan bahan bertulis perlu juga mendapat insentif daripada kerajaan agar pihak tertentu yang bertanggungjawab berupaya menyediakan kemudahan-kemudahan daripada aspek promosi, penjualan, pengedaran dan pemasaran buku bahasa kebangsaan. Dalam konteks ini, pihak yang dipertanggungjawabkan adalah Majlis buku kebangsaan Malaysia (MBKM). Sebagai badan profesional dan penasihat buku peringkat Kebangsaan yang telah diamanahkan untuk melaksanakan dasar dan saranan yang terkandaung dalam Dasar Buku Negara. Salah satu aktiviti utama MBKM adalah menganjurkan aktiviti tahunan iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Oleh itu MBKM perlu diberikan insentif berbentuk subsidi dan kemudahan potongan cukai bagi mempromosi sambil menjalankan kempen galakan membeli dan membaca buku bahasa kebangsaan. Hal demikian haruslah difokuskan memandangkan minat dan kencenderungan masyarakat semakin menguncup untuk membeli dan membaca buku dalam bahasa kebangsaan. Dalam konteks ini, keupayaan daya saing penerbit buku bumiputra terutama yang aktif dalam menerbitkan bahan bacaan berbahasa Melayu perlu diberi insentif sewajarnya.

Dalam bajet 2007 untuk menggalakkan budaya membaca dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan proses pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) potongan cukai ke atas pembelian buku dinaikkan daripada 700 ringgit kepada 1,000 ringgit setahun. Bagi bajet 2009 adalah diharapkan pihak kerajaan akan terus memberikan keistimewaan dengan menaikkan rebat kepada dua ribu ringgit atau lebih lagi. Hal demikian memandangkan, harga buku di Malaysia secara relatifnya masih mahal jika dibandingkan dengan membangun lain khususnya seperti di Indonesia. Jika dibandingkan dengan negara Indonesia yang memberikan penekanan terhadap budaya ilmu menerusi penyediaan infrastruktur yang selengkapnya kepada para penulis, pencetak,penterjemah dan pengedar buku, maka kita juga wajar bertindak lebih proaktif untuk membangunkan sumber modal insan negara.

Selain kita mengharapkan kerajaan memberi perhatian untuk membangunankan industri buku terutama dalam bahasa kebagsaan dengan peruntukan dana khas, kita juga amat berharap sejenis dana khas untuk mengangkat seni budaya kebangsaan sebagai industri ekonomi kreatif(creative economy industry). Sudah tiba masanya negara kita memberi fokus pada bidang ekonomi kreatif memandangkan industri kreatif antarabangsa berkembang sebanyak 5% setahun dan jumlahnya ditunjukkan bertambah daripada RM 7.5 trilion pada januari 2000 serta jumlahnya dijangka bertambah menjadi RM20.08 trilion pada 2020.

Dalam hal ini nampaknya langkah kerajaan Jepun yang memberi fokus dengan melabur berbilion ringgit dalam industri kreatif sudah berjaya dan mengecap hasilnya. Kini citra negara matahari terbit tersebut boleh berbangga duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk negara Barat seperti Walt Disney. Jepun juga wajar berbangga kerana produk negara mereka iaitu manga sejenis buku komik dewasa telah menjadi kegilaan generasi muda di seluruh dunia.

Hakikatnya Malaysia juga tidak kurang sumber atau bahan-bahan untuk menjana industri ekonomi kreatif. Umpamanya usaha pengisian sumber bahan dalam memartabatkan seni budaya warisan menerusi citra legenda kepahlawanan Hang Tuah lima bersaudara yang amat sinonim dengan keagungan tamadun Melayu khususnya semasa zaman kemuncak empayar Melayu. Watak Hang Tuah sebagaimana yang disebutkan dalam teks Hikayat Hang Tuah, bukan sahaja berkemahiran dalam ilmu kepahlawanan atau seni mempertahankan diri (silat) tetapi juga berkebolehan daripada aspek diplomasi dan komunikasi, kerana sebagai wakil Sultan Hang Tuah bertindak sebagai duta dalam menjalinkan hubungan diplomasi yang mengkehendakinya trampil menguasai lima bahasa asing di samping mahir dalam hal ehwal ilmu agama.

Sudah sampai masanya melakukan tranformasi teks(buku sastera), sama ada bercorak mitos atau legenda seperti pencitraan watak Hang Tuah, Badang, Hang Nadim(budak bijak) ke dalam bentuk medium elektronik. Jika manga begitu terkenal di seluruh dunia dengan komiknya sehingga dialibahasa ke dalam bahasa Inggeris, Cina dan Melayu tidak mustahil citra legenda bangsa Melayu untuk bersaing setara dengan bangsa Jepun dan Cina. Tanpa disedari ramai, masyarakat Cina juga sedang memperkembangluaskan seni budaya negara mereka dengan penghasilan animasi Legend Of The Dragon dan Shaolin Showdown. Kebanyakan produk animasi Cina dihasilkan oleh penghijrah mereka yang bermastautin di negara Barat khususnya di Amerika Syarakit. Golongan Cina terbabit percaya bahawa salah satu cara melestarikan jati diri budaya mereka terutama untuk generasi muda adalah menerusi penerbitan animasi . Agenda mereka supaya anak-anak Cina yang sudah terpisah dari tanah besar tidak lupa jatidiri dan sentiasa mengenang budaya leluhur mereka. Bukan setakat itu sahaja Jepun dan Cina sedang giat mempromosikan citra kebangsaan negara mereka melalui filem animasi, menghasilkan permainan siber, barangan permainan kanak-kanak, cetakan t-shirt, koleksi yang bermotifkan tokoh-tokoh penting dan watak pelakon utama. Pemaparan seni budaya Melayu menerusi komik dan filem animasi bukan setakat meberi manfaat sudut ekonomi semata-mata tetapi ia juga akan membantu mencorakkan lanskap budaya ke peringkat antarabangsa malah secara tidak langsung mempupuk semangat nasionalisme ke dalam minda generasi muda. Kekaguman dan kebanggaan kita terhadap produk tempatan yang berakar lokal bersifat global , perlu dibantu dan diperkukuhkan kerana ia sangat penting dalam pengisian jiwa remaja yang tercari-cari ikon dalam membenihkan rasa sayang dan cintakan Malaysia. Pembangunan seni dan budaya harus diisi sesuai dengan minat dan kecenderungan generasi muda kerana golongan inilah yang akan bangkit memegang teraju negara suatu hari kelak. Minat generasi muda yang condong dengan aplikasi peralatan teknologi maklumat wajar disambut dengan penyediaan sumber dan bahan yang bersifat lokal sesuai dengan dasar kerajaan memperkasa modal insan dalam menanamkan watak insan yang berbudi bahasa, patriotisme, integriti, dan berminda kelas pertama. Barangkali juga pemupukan dasar negara yang disampaikan menerusi kaedah animasi(visual) lebih bersesuaian dengan jiwa remaja dan mudah diserap berbanding kaedah konvensional secara verbal (ceramah dan ucapan bertele-tele). Malaysia mempunyai sekelompok karya agung yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, pekat semangat nasionalisme yang wajar diwariskan kepada generasi muda. Cuma ia perlu sedikit kreativiti dan inovasi untuk menzahirkannya ke medium komik, filem animasi atau permainan siber.

Sebagai rumusan, diperturunkan petikan ungkapan ilmuan Indonesia, Soedjatmoko yang menyatakan, “kekuatan sesebuah negara di masa mendatang tidak begitu bergantung dengan kekuatan ketenteraannya, tetapi akan lebih bergantung kepada kekuatan ekonomi dan keunggulan diplomasinya.Sementara kekuatan ekonomi yang menjadi tonggak kekuatan negaraitu pula tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kekayaan sumber alamnya atau jumlah penduduknya, tetapi akan bergantung kepada kualiti manusianya- kekuatan intelek dan keunggulan wataknya”.

Akhirnya meneruskan kehidupan dengan suasana ekonomi yang kurang selesa, penyediaan sumber prasarana sebagai santapan emosi dan rohani amat perlu dipertimbangkan dengan serius oleh semua pihak kerana kebergantungan negara dengan sumber manusia(insan) yang stabil emosi, berilmu, berdikari dan kreatif, benar-benar diperlukan untuk memacu kemajuan negara. Hakikat kehidupan adalah memperoleh damai abadi, dan bukan wang berjuta!

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin